Pengasuhan Positif

Probiotik Untuk Usus

Pepatah yang mengatakan bahawa ‘anda adalah apa yang anda makan’ mungkin lebih benar daripada apa yang anda sangkakan. Kesihatan usus adalah penting untuk kesejahteraan tubuh badan anda. Malah, boleh dikatakan usus ialah otak kedua anda. Kesihatan usus berkait rapat dengan sistem penghadaman, pencernaan, imun, endokrin, peredaran, dan sistem saraf pusat, dan seterusnya, boleh mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal anda.

Satu faktor utama yang menentukan kesihatan usus anda ialah mikrobiota usus, iaitu pelbagai populasi mikroorganisma yang boleh ditemui di dalam usus anda. Pemeliharaan keseimbangan mikrobiota usus adalah penting untuk kesihatan usus yang optimum. Ketidakseimbangan mikrobiota usus terjadi apabila populasi, kepelbagaian, dan kandungan bakteria baik dan buruk di dalam usus anda berubah dari nisbah normal, lalu mengakibatkan gangguan dan kerosakan pada lapisan mukosa saluran penghadaman. Ini akan menjejaskan kesihatan usus secara negatif, dan seterusnya tubuh dan minda anda.

Untuk memastikan kesihatan usus di tahap yang baik, anda perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil diet seimbang. Diet yang seimbang, sederhana, dan pelbagai adalah penting dalam penjagaan kesihatan usus anda. Kesihatan usus anda juga dapat dikekalkan dengan mengamalkan tabiat baik, seperti senaman secara tetap dan tidur yang mencukupi, serta mengelakkan tabiat buruk, seperti penggunaan alkohol dan antibiotik yang berlebihan. Selain itu, terdapat juga makanan tertentu yang boleh membantu mengimbangkan nisbah mikrobiota baik dan buruk di dalam usus anda, seperti probiotik, prebiotik, dan serat. Probiotik ialah mikroorganisma hidup yang apabila dimakan boleh memberi manfaat kesihatan kepada anda. Ia boleh dimakan dalam bentuk suplemen kesihatan, produk kesihatan preskripsi, atau produk makanan asli, seperti yogurt dan kimchi. Apabila populasi mikrobiota usus anda tidak seimbang kerana masalah cirit-birit atau selepas rawatan antibiotik, probiotik boleh dimakan untuk memulihkan nisbah mikrobiota baik dan buruk yang normal di dalam usus anda.

Belajar mengenai probiotik!

Terdapat banyak spesies mikrobiota berbeza yang dikelaskan sebagai probiotik. Ia terdiri daripada bakteria dan yis. Malah, tubuh anda mengandungi bertrilion bakteria, virus dan yis, dan lebih kurang 400 jenis bakteria probiotik yang berbeza. Beberapa spesies probiotik yang biasa dikenali dijelaskan dibawah.

Lactobacillus ialah kumpulan bakteria probiotik terbesar di dalam usus. Terdapat lebih daripada 50 spesies Lactobacilli, seperti L. acidophilus, L. rhamnosus GG, dan L. bulgaricus. Ia boleh ditemui secara semula jadi di dalam sistem penghadaman, urinari, dan genital, dan juga dalam makanan asli dan tambahan. Lactobacillus berpotensi diguna untuk mencegah atau merawat cirit-birit akut (juga dikenali sebagai gastroenteritis akut yang sering disebabkan oleh jangkitan virus), sindrom usus rengsa (IBS), jangkitan saluran kencing (UTI), jangkitan yis vagina, selesema, penyakit kulit, jangkitan pernafasan viral pada kanak-kanak, serta mengurangkan intolerans laktosa dan paras kolesterol.

Bifidobacterium meliputi kira-kira 30 spesies yang berbeza, seperti B. bifidum, B. lactis, dan B. longum. Ia merupakan salah satu spesies bakteria pertama yang membiak di dalam usus bayi, terutama sekali di dalam bayi yang diberi susu ibu, dan boleh membantu menghadam susu ibu. Penyusuan susu ibu membantu mengembangkan mikrobiota usus bayi, dan kanak-kanak yang diberi susu ibu untuk sekurang-kurangnya enam bulan didapati mempunyai lebih banyak Bifidobacteria berbanding mereka yang diberi susu botol. Bifidobacterium, sebagaimana Lactobacillus, juga digunakan untuk membantu mencegah atau merawat pelbagai masalah usus, jangkitan, dan masalah kulit.

Streptococcus thermophilus, yang boleh dijumpai di dalam usus besar, menghasilkan kuantiti enzim laktase yang banyak untuk mengurai laktosa di dalam susu menjadi asid laktik, dan banyak digunakan dalam penghasilan yogurt dan keju. Spesies lain genus Streptococcus, seperti S. pneumoniae, mungkin patogenik, tetapi S. thermophilus telah dibuktikan selamat sebagai probiotik. Suhu pertumbuhan optimumnya juga dalam julat yang sesuai untuk mikrobiota usus kita. Ia juga boleh memperbaiki penghadaman, meningkatkan keimunan, dan membantu mengatasi masalah kesihatan lain.

Saccharomyces boulardii adalah berbeza daripada probiotik yang disebutkan sebelum ini. S. boulardii ialah keluarga terdekat S.cerevisiae, yang dikenali sebagai yis ibu roti. Bagaimanapun, ia mempunyai suhu pertumbuhan optimum lebih tinggi iaitu pada 37°C dan bertahan lebih baik dalam pH berasid, membolehkannya sampai ke usus dalam keadaan aktif. Ia juga tidak perlu disimpan dalam peti sejuk. Kerana S. boulardii ialah spesis yis, ia tidak terjejas dengan antibiotik, yang cuma menyasarkan bakteria. Oleh itu, ia sesuai untuk mengembalikan imbangan mikrobiota usus selepas rawatan antibiotik. Kerana itu, ia berguna terutamanya untuk merawat penyakit cirit-birit akut dan cirit-birit yang berkaitan dengan penggunaan antibiotik. S. boulardii boleh ditemui di dalam makanan yang ditapai, seperti kefir atau kombucha, yang mempunyai kombinasi yis dan probiotik bakteria.

Tahukah Anda?
Saccharomyces boulardii ditemui pada awal 1920-an oleh seorang ahli mikrobiologi Perancis, Henry Boulard, apabila dia memerhatikan bahawa orang di Indo-China yang meminum minuman daripada kulit laici dan manggis tidak terkena cirit-birit dan simptom taun ketika wabak tersebar. Strain ini dinamakan sempena namanya selepas penemuan tersebut dan sering dijual sebagai ubat cirit-birit.

Probiotik merupakan sumber pemakanan yang penting dalam diet kita untuk penjagaan kesihatan usus. Selain daripada makanan yang disebut di atas, kita juga boleh mendapatkan probiotik daripada makanan tradisi yang ditapai seperti tempe mentah dan pulut tapai. Probiotik juga boleh digunakan untuk mencegah atau mengurangkan simptom pelbagai masalah usus seperti sembelit, sindrom usus rengsa, penyakit cirit-birit akut, cirit-birit berkaitan dengan penggunaan antibiotik, dan pelbagai masalah lain. Bagaimanapun, setiap strain probiotik adalah unik di mana ada strain tertentu yang lebih berkesan merawat masalah-masalah tertentu, seperti mana setiap individu mempunyai cap jari yang unik. Adalah penting mendapat nasihat daripada doktor untuk penggunaan probiotik yang paling sesuai bagi menjamin kesihatan usus anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen