Menurut Kamus Oxford, superfood atau makanan super (luarbiasa) adalah kumpulan makanan yang kaya dengan nilai pemakanan dan dianggap sangat berfaedah untuk kesihatan dan kesejahteraan. Namun, sebenarnya tiada istilah atau kriteria superfood yang ditetapkan oleh manamana pihak berwajib. Pusat Penyelidikan Kanser UK menyatakan istilah superfood ialah helah pemasaran dengan asas saintifik yang tidak kuat. Jadi, apakah sebenarnya trend superfood ini?
Superfood diperkenalkan oleh ahli pemasaran dan menjadi trend di Internet, dengan pelbagai senarai yang dikeluarkan setiap tahun seperti biji chia, kombucha, quinoa, beri goji, sayur kale, teh hijau, koko, ikan salmon dan banyak lagi. Produk makanan yang diperkaya dengan kandungan tertentu seperti omega-3, antioksidan, atau vitamin juga diwar-warkan sebagai superfood. Teh hijau sering diiklan membantu penurunan berat badan dan dapat mencegah kanser, sementara DHA (sejenis omega-3) didakwa berfaedah untuk perkembangan otak kanak-kanak.
Melihat pada populariti superfood, artikel ini mengkaji kebenaran di sebalik dakwaan ini dan cara memupuk tabiat pemakanan yang sihat tanpa hanya tertumpu kepada superfood.
Adakah superfood benar-benar ‘super’?
Sebahagian superfood sememangnya mempunyai nilai pemakanan yang berkhasiat untuk kesihatan. Omega-3 adalah sejenis asid lemak perlu yang penting untuk metabolisme. Teh hijau pula kaya dengan katekin, sejenis antioksidan yang mampu menghapuskan radikal bebas berbahaya untuk kesihatan. Superfood biasanya diperkenalkan bersama bukti kajian yang menunjukkan kandungan tinggi bahan berkhasiat dalam makanan tersebut, atau bagaimana bahan ini boleh mencegah malah menyembuhkan penyakit-penyakit yang berbeza. Namun biasanya kajian tersebut tidak disimpulkan dengan baik, dengan hasil penemuan yang tidak tetap, dan tidak mungkin satu jenis makanan boleh mempunyai kesan ke atas sebarang penyakit dengan sendirinya.
Tidak dinafikan, kajian saintifik ini berasas, tetapi biasanya ia tidak mencerminkan pemakanan kita yang sebenar. Kajian menunjukkan katekin boleh menyekat pertumbuhan sel kanser, namun ujian makmal selalunya menggunakan ekstrak tulen bahan itu. Tambahan pula, kajian awal ke atas model haiwan tidak menggambarkan secara tepat kesan terhadap metabolisme tubuh manusia kerana adanya faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Sesetengah kajian ke atas subjek manusia yang menggunakan satu atau beberapa bahan daripada tumbuhan atau haiwan, menggunakan rekabentuk kajian yang lemah dengan jumlah subjek yang sedikit, tempoh kajian yang singkat, kurangnya maklumat keselamatan, serta adanya kesan jangka pendek yang memerlukan keputusan berhati-hati bagi penggunaan.
Superfood masih boleh menjadi sebahagian daripada pemakanan keluarga anda. Namun, mengambil sejenis makanan secara berlebihan tidak akan membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Kompaun bioaktif koko dalam coklat gelap sememangnya mempunyai faedah kesihatan, tetapi jika dimakan secara berlebihan, kandungan gula dan lemak yang tinggi boleh membawa kepada masalah kesihatan lain. Penggemar superfood yang mengamalkan tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat juga tidak akan mengalami perubahan seperti yang diharap. Daripada mengikut trend semasa, memupuk tabiat pemakanan yang baik adalah kunci utama untuk kesihatan.
Tumpu pada pemakanan sihat
Daripada bergantung kepada pengambilan superfood, amalkan pemakanan sihat yang seimbang, sederhana, dan pelbagai (BMV) untuk keluarga anda. Capai diet seimbang dengan memakan lebih banyak sayur, buah dan bijirin penuh, serta kurangkan garam, gula, lemak dan minyak seperti yang disarankan. Amalkan kesederhanaan, dengan tidak memakan sesuatu terlalu banyak atau terlalu sedikit. Kepelbagaian makanan dalam diet penting untuk memberikan nutrien berbeza yang diperlukan.
Satu cara untuk anak anda amalkan diet sihat adalah dengan menggalakkan mereka makan buahan dan sayuran pelbagai warna yang menunjukkan kehadiran pigmen yang berbeza. Contohnya, warna merah pada tomato menunjukkan tingginya likopen iaitu sejenis antioksidan. Warna oren kekuningan pada lobak merah atau betik mengandungi beta-karotin, yang akan ditukar menjadi vitamin A, manakala warna biru atau ungu seperti beri biru dan ubi bit mengandungi antosianin, juga sejenis antioksidan.
Ibu bapa patut berhati-hati dengan kandungan nutrien dalam produk makanan yang dibeli. Baca label, perhatikan panel maklumat pemakanan dan bahan yang digunakan, serta ketahui apa yang diberikan kepada anak anda. Ajar anak tentang diet sihat, dan didik mereka untuk membaca label dan kandungan semasa membeli makanan. Berwaspada dengan helah pemasaran, jangan terpedaya dengan pembungkusan menarik dan perkataan bombastik.
Tabiat pemakanan mempunyai kesan lebih besar ke atas kesihatan anda berbanding pengambilan beberapa superfood. Superfood boleh diambil tetapi anda tidak perlu bergantung penuh kepadanya. Apa pun, tiada satu makanan yang boleh memberikan semua nutrien yang diperlukan untuk kesihatan. Lebih praktikal untuk sentiasa mengamalkan BMV dalam diet anda berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.
Superfood tempatan?
Superfood popular dalam talian selalunya mahal dan sukar didapati di Malaysia kerana trend ini bermula dari negara barat. Tetapi, kita juga ada versi ‘superfood’ tempatan yang lebih mudah didapati seperti tempe (kaya dengan protein, serat dan kalsium), bayam (vitamin K, kalsium, zat besi), rambutan (serat, vitamin C), betik (vitamin A, folat) dan banyak lagi.
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen