Pengasuhan Positif

Pilihan Makanan Yang Tepat & Selamat

Ketika membeli bahan makanan di pasar, ibu bapa perlu mempertimbangkan pelbagai faktor. Selain nilai pemakanan, kita juga perlu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kualiti makanan.

Keselamatan makanan bermaksud memastikan makanan selamat daripada risiko kimia, fizikal atau biologi, bermula daripada proses pembuatan sehingga penggunaan. Ini adalah penting untuk mencegah sebarang ancaman kesihatan daripada makanan yang tidak selamat. Makanan yang tercemar mungkin mengandungi patogen yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan seperti keracunan makanan, taun/ kolera, demam tifoid (kepialu), hepatitis A dan disenteri.

Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada Mac 2020, ramai orang mula memasak di rumah dengan lebih kerap, dan perlu membeli lebih banyak bahan mentah dari pasar. Pesanan khidmat penghantaran juga meningkat secara mendadak. Oleh itu, kita perlu berwaspada dengan keselamatan makanan ketika membeli-belah.

Dari kebun dan kilang…

Keselamatan makanan bermula ketika penghasilan makanan, di kebun dan kilang, sebelum hasil dan produk makanan memasuki pasaran. Dari segi undang-undang, Malaysia mempunyai Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 yang mengawal penghasilan dan perdagangan makanan.

Piawaian tempatan dan antarabangsa yang menyeluruh, seperti ISO 22000 (piawaian keselamatan makanan antarabangsa), MyGAP (Amalan Pertanian Baik Malaysia), GMP (Amalan Perkilangan Baik), HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal) dan MeSTI (Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri), juga dilaksanakan untuk memastikan dan mengawal keselamatan dan kualiti makanan semasa proses penghasilan.

…ke troli dan bakul

Kebanyakan pengguna tidak boleh mengawal sendiri proses penghasilan makanan, tetapi kita boleh memastikan kita membeli makanan secara selamat di pasar. Berikut adalah beberapa langkah:

  • Utamakan kebersihan. Pertama sekali, pilih kedai/pasar yang bersih untuk membeli- belah. Selalu cuci beg kitar semula anda. Bagus juga jika anda dapat membasmi kuman di troli atau bakul sebelum membeli-belah.
  • Periksa pembungkusan. Pastikan tiada lubang atau kesan koyak. Jangan ambil bungkusan/tin yang kemek, berkarat atau kembung. Pastikan juga penutup/ kedap keselamatan belum dibuka.
  • Lihat tarikh luput. Mana-mana produk tidak boleh dijual atau diguna selepas tarikh “luput” atau “guna sebelum”, walaupun ia masih kelihatan elok. Produk yang mempunyai tarikh “baik sebelum” pula masih boleh diguna selepas itu jika ia belum rosak.
  • Kesan tempat asal produk. Pastikan alamat pengeluar dan pengedar dinyatakan pada bungkusan agar anda boleh mengesan sumber asal produk tersebut. Sesetengah produk mempunyai kod QR untuk mengesan sumber asalnya, serta tempat pengeluaran dan pengedaran.
  • Sahkan kesahihan produk. Sentiasa awasi jika ada kes pemalsuan produk. Buat kajian sendiri dan periksa tanda kesahihan pada bungkusan produk seperti yang dimaklumkan oleh pengeluar asal.
  • Ambil barangan mengikut turutan. Sediakan senarai membeli-belah untuk memudahkan proses pembelian. Ambil bahan kering dan tidak mudah rosak terlebih dahulu. Produk sejuk beku dan hasil segar perlu diambil akhir sekali. Letakkan buah dan sayur di atas barang lain.
  • Asingkan mengikut jenis. Kumpulkan semua bahan sejuk beku bersama agar kekal sejuk lebih lama. Letak daging, ayam dan makanan laut dalam bekas/beg plastik untuk mengelakkan airnya menitis pada barang lain. Asingkannya daripada sayur, buah dan makanan lain.
  • Bawa pulang secepat mungkin. Makanan mudah rosak tidak boleh berada di luar peti sejuk lebih daripada 2 jam (atau 1 jam dalam cuaca panas). Guna kotak penyejuk jika anda perlu ke tempat lain selepas membeli-belah. Pada hari yang panas, letak makanan di dalam kereta dan jangan letak dalam bahagian but kereta.

Penghantaran makanan dan barang runcit

  • Pilih restoran yang anda pasti dengan kualiti dan kebersihannya, misalnya restoran yang anda biasa kunjungi.
  • Restoran yang mempunyai sijil BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) adalah lebih selamat. Tanya atau periksa dalam talian sebelum membuat pesanan.
  • Premis makanan yang baik akan menyertakan tiket untuk memaklumkan masa makanan disediakan. Buang jika ia telah berada dalam transit lebih daripada 4 jam.
  • Periksa bungkusan makanan atau produk sama ada terdapat kerosakan atau pencemaran semasa barang diterima.
  • Jangan terima makanan atau barang runcit yang kelihatan atau berbau tidak elok. Maklumkan kepada kedai/premis tentang hal ini.

Setiap tahun, penyakit bawaan makanan menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan ramai yang meninggal dunia, dan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak. Penyakit ini boleh menjejaskan hidup, terutamanya bagi kumpulan yang lebih lemah seperti bayi, kanak-kanak kecil, warga emas dan pesakit kronik atau yang terjejas imuniti. Oleh itu, amat penting bagi kita untuk mencegah penyakit bawaan makanan dengan mengamalkan kebersihan dan mengambil langkah-langkah di atas.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen