Pengasuhan ialah satu perjalanan yang panjang dan ibu bapa harus sentiasa memperkayakan dan mendidik diri mereka sama seperti anak mereka yang membesar daripada seorang anak yang suci kepada seorang dewasa yang matang.
Kehidupan sentiasa berubah dan pelbagai kemahiran atau amalan pengasuhan daripada zaman kanak-kanak anda atau yang anda pelajari semasa membesarkan anak anda, mungkin kini dilihat sebagai ketinggalan zaman, atau mungkin anak anda sudah melepasi peringkat itu. Contohnya, kaedah pengasuhan berdasarkan ketakutan dahulunya popular, tetapi kini kebanyakan pakar setuju bahawa ia tidak berkesan. Sebaliknya, mendidik anak untuk mengawal diri sendiri adalah pendekatan yang terbaik.
Walaupun perkara asasnya sama bagi setiap peringkat, namun pendekatan yang digunakan harus disesuaikan dengan usia dan peringkat perkembangan setiap anak. Terdapat tiga perkara yang anda harus sentiasa ingati:
- Setiap anak adalah berbeza. Akui bahawa setiap anak adalah unik. Kenal pasti perbezaan ini, terutamanya antara adik-beradik dan kanak-kanak lain. Lebih penting lagi, pastikan jangkaan anda bersesuaian dengan kebolehan dan minatnya. Kanak-kanak akan menunjukkan prestasi yang baik apabila tahap yang ditetapkan bertujuan untuk mencabar tetapi tidak menjangkaui kebolehan mereka.
- Kesihatan dan kesejahteraan fizikal tidak memadai. Penuhi keperluan emosi dan rohani anak anda kerana perkara tersebut menjadikan hidup mereka bermakna. Untuk keperluan emosi, berikan anak anda kasih sayang, perhatian, penerimaan dan masa kualiti bersama. Keperluan rohaninya boleh dibentuk dengan agama, nilai-nilai murni, etika, prinsip dan moral. Bagaimanapun, ingatlah bahawa kanak-kanak memerhati kelakuan ibu bapa, jadi anda haruslah ‘cakap serupa bikin’.
- Menggalakkan komunikasi terbuka. Belajarlah untuk mendengar dan berikan peluang untuk anak anda menyuarakan pendapatnya (semestinya dengan penuh hormat). Ini membantu anda mengetahui apa yang dia sedang hadapi, lalu memberikan anda perspektif lebih baik untuk memperhalusi pendekatan pengasuhan anda. Ini satu petua yang baik: kita ada dua telinga dan satu mulut, jadi banyakkanlah mendengar berbanding bercakap; dan sentiasa berfikiran terbuka tentang perkara yang penting bagi anak anda.
Ilmu adalah penting
Anda harus sentiasa ambil tahu tentang amalan pengasuhan dan ilmu lain berkaitan pengasuhan dan kesihatan anak. Bagaimanapun, apabila merujuk Internet dan media sosial, akan sentiasa ada risiko untuk dipengaruhi atau ditipu oleh maklumat tidak tepat atau palsu.
Untuk meneroka internet dengan selamat, anda harus tahu di mana untuk mencari maklumat yang boleh dipercayai. Mulakan dengan sumber dalam talian yang boleh dipercayai ini:
- Program Pengasuhan Positif Malaysia
- Healthy Children oleh Akademi Pediatrik Amerika
- Doktor Budak
Ambil tahu
Pada masa yang sama, sentiasa awasi apa yang mempengaruhi fikiran dan kelakuan anak anda. Ini termasuklah kawan-kawan, penggunaan internet dan media sosial, jenis hiburan atau bahan bacaan yang dia suka, serta caranya meluangkan waktu lapangnya.
Konsep ‘melepaskan’
Walaupun gaya dan strategi pengasuhan haruslah dinamik dan disesuaikan berdasarkan usia dan peringkat perkembangan anak anda, salah satu bahagian penting yang sukar difahami ramai ibu bapa ialah konsep ‘melepaskan’.
Ini harus dilakukan secara berperingkat, dan bukanlah bermaksud anda boleh terus membiarkannya melakukan apa sahaja, tetapi cukup untuk mempercayainya menangani sendiri perkara tertentu.
Jika anda berterusan ‘menyelamatkan’ anak anda daripada sebarang kesakitan atau bahaya, anda sebenarnya merampas peluangnya untuk mengembangkan daya tahannya dengan mempelajari cara menghadapi kesakitan dan kekecewaan. Ini penting dan berkait rapat dengan kebolehannya untuk berdikari dan belajar bergantung pada diri sendiri tanpa input atau arahan berterusan daripada ibu bapa. Semakin anak anda membesar dan matang, anda sepatutnya boleh mengurangkan secara berperingkat penyeliaan dan panduan untuknya. Pastikan anda sentiasa ada untuknya apabila perlu, tetapi berikan kebebasan kepadanya untuk menyelesaikan masalah dengan caranya sendiri.
Terima perubahan
Anda mungkin rasa takut apabila memikirkan tentang anak anda yang membesar dan berdikari dengan sangat cepat. Saya mahu meyakinkan anda agar tidak bimbang, kerana pengasuhan ialah untuk seumur hidup, maka anda juga perlu ‘membesar’ bersama- sama anak anda. Tugas ibu bapa tidak kekal statik, dan tidak berakhir apabila anak anda menjadi seorang dewasa.
Kemahiran paling penting untuk mana-mana ibu bapa ialah komunikasi. Ingatlah untuk kerap berhubung dengan pasangan dan anak anda. Inilah kaedah terbaik untuk memperoleh maklum balas tentang keberkesanan kaedah atau strategi pengasuhan anda.
Walaupun begitu, jangan terus tidak peduli tentang masalah anak anda terutamanya jika mereka menghadapi masalah yang sudah lama berlaku dan tidak dapat diuruskan walaupun dengan usaha terbaik anda. Ini mungkin disebabkan oleh masalah perkembangan kanak-kanak yang mungkin memerlukan bantuan profesional. Dalam kes ini, jangan teragak- agak untuk berbincang dengan pakar perunding/terapi. Sebagai ibu bapa, kita harus akui yang kita juga memerlukan bantuan untuk memberikan yang terbaik untuk anak kita. Hakikatnya, inilah sebahagian daripada proses membesar sebagai ibubapa.
Komen