Anda mahu jadi ibu bapa terbaik untuk anak-anak anda tetapi setiap hari terpaksa memenuhi tuntutan kerja yang tidak pernah habis! Anda rasa bersalah kerana tidak meluangkan masa yang cukup dengan anak anda. Kekecewaan mungkin timbul apabila anda tidak berjaya menyeimbangkan semua tugas dan tanggungjawab.
Jadi, apakah yang harus dilakukan sebagai ibu bapa moden yang prihatin?
Jangan bimbang, kerana jumlah masa yang ibu bapa luangkan bersama anak-anak tidak memberikan kesan kepada prestasi akademik, kelakuan dan kesejahteraan emosi kanak- kanak. Apa lebih penting ialah masa berkualiti bersama seperti membacakan cerita kepada anak anda, berkongsi makanan, berbual dengannya atau berhubung secara satu sama satu, yang akan membawa kesan positif kepadanya.
Bagaimanapun, gaya hidup moden telah menyukarkan keluarga untuk meluangkan masa bersama-sama. Ibu bapa sibuk memenuhi tuntutan kerja dan tugasan rumah, sementara anak-anak pula harus ke sekolah dan menyertai pelbagai aktiviti ko-kurikulum. Jadi, bagaimanakah kita boleh memastikan setiap interaksi bersama anak adalah berkualiti?
Masa keluarga yang berkualiti
Masa berkualiti: Waktu yang diperuntukkan khas untuk diluangkan bersama orang tersayang, dengan tumpuan yang diberikan seseorang itu.
Masa kuantiti: Jumlah masa yang diluangkan bersama.
Ibu bapa yang meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama-sama anak dapat memahami mereka dengan lebih baik. Mengenali perwatakan dan perangai anak membantu ibu bapa mengenal pasti masalah yang timbul. Apabila anak mereka kelihatan berbeza daripada biasa, ibu bapa boleh ambil langkah wajar untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sekadar meluangkan masa bersama tanpa benar- benar cuba berhubung dengan anak anda tidak akan menguatkan pertalian antara ibu bapa dan anak.
Oleh itu, ibu bapa harus cuba menukarkan masa kuantiti menjadi masa berkualiti. Berikut adalah beberapa strategi untuk mendapatkan masa berkualiti bersama anak anda:
- Jauhi gangguan. Kewujudan gajet digital, terutamanya telefon pintar, mengganggu kita daripada menumpukan sepenuh perhatian kepada orang di hadapan kita. Ini sering berlaku apabila anda berterusan membaca emel atau berita sambil menikmati hidangan bersama anak anda. Jadikan masa keluarga berkualiti dengan menyimpan peranti dan berbual dengan sepenuh perhatian.
- Rutin harian juga boleh jadi istimewa. Hargai setiap saat bersama anak anda supaya anda boleh merapatkan hubungan dengannya. Contohnya, semasa anda memandunya ke sekolah, membawanya membeli barang rumah, atau semasa rutin-rutin
lain. Tumpukan sepenuh perhatian kepada mereka dengan mengurangkan gangguan lain dan dengar dengan teliti apa yang terlintas di fikirannya. - Jadikan tugasan rumah lebih menyeronokkan! Melakukan tugas-tugas rumah bersama keluarga akan memudahkan semua orang dan menguatkan ikatan dalam keluarga. Anda boleh sama-sama membasuh pinggan, menyediakan makanan atau meminta mereka membungkus sendiri bekal makanan mereka. Ini juga satu peluang bagus untuk anda mengajar mereka kemahiran hidup.
- Wujudkan tradisi mingguan keluarga. Perkara seringkas menonton filem atau bermain papan permainan boleh menjadi tradisi keluarga anda bergantung kepada minat. Anda boleh menyediakan makan malam bertema (contohnya, hidangan
piza) bersama-sama dan menggalakkan anak-anak anda menyediakan inti pilihan mereka. Aktiviti seperti ini akan menjadi kenangan manis yang sentiasa dikenang. - Sokong minat anak anda. Daripada mendaftarkannya untuk aktiviti yang dia tidak berminat, tanyalah apa aktiviti kesukaannya. Apabila diberikan pilihan untuk meneruskan minatnya, dia akan gembira untuk meluangkan masa berlatih. Pastikan anda peruntukkan masa untuk sesi latihan, kelas atau persembahannya. Kehadiran anda menunjukkan sokongan anda terhadapnya.
- Raikan acara istimewa. Tanya pendapatnya semasa merancang acara istimewa. Hari jadi atau hari ulang tahun ialah peluang baik untuk meluangkan masa berkualiti dan berseronok bersama keluarga. Anda tidak perlu banyak menghabiskan wang kerana makan malam ringkas dan kek hari jadi di restoran pun akan menjadi kenangan manis.
- Berbual secara satu sama satu. Cari masa sesuai untuk berbual dengan setiap anak anda secara berseorangan. Kadangkala lebih mudah mereka meluahkan perasaan dan memberitahu kebimbangan mereka dengan cara ini. Ini juga akan menguatkan hubungan peribadi anda dengan setiap anak.
Nota khas untuk bapa: Kajian menunjukkan bahawa bapa memainkan peranan penting seperti ibu sebagai penjaga, pelindung, penyokong kewangan dan paling penting, contoh teladan bagi kelakuan sosial dan emosi. Anda mungkin kurang meluangkan masa bersama anak berbanding ibu, tetapi pastikan setiap interaksi diluangkan sehabis baik.
Sebagai ibu bapa, dengan berusaha menjadikan setiap saat bersama anak-anak berkualiti, anda juga secara tidak langsung mengajar mereka cara menjadi orang dewasa dan ibu bapa yang baik satu hari nanti. Tunjukkan kepada anak-anak anda betapa pentingnya masa anda bersama-sama mereka, dan anda akan menguatkan lagi hubungan dan mewujudkan suasana rumah yang penuh kasih sayang.
Komen