Pengasuhan Positif

Elakkan Anak Anda dari Alahan

Alahan berlaku apabila sistem imun bertindak balas secara keterlaluan terhadap alergen, iaitu bahan asing yang biasanya tidak berbahaya. Sejak beberapa dekad lalu, penyakit alahan semakin meningkat.

Alahan boleh menjejaskan seseorang secara berbeza, bergantung kepada faktor seperti jenis alahan dan betapa sensitif seseorang itu terhadap alergen. Antara contoh alahan termasuklah alahan kepada ubat, makanan, atau bulu haiwan peliharaan. Alahan protein susu lembu (CMPA) juga sering terjadi dan dianggarkan dialami sehingga 8% kanak- kanak seluruh dunia.

Cara alahan terjadi

Pelbagai faktor menyumbang kepada berlakunya alahan. Paling penting, sistem imun perlu mempelajari cara bertindak balas sewajarnya kepada bahan asing, dan didapati bahawa pendedahan awal yang mencukupi kepada rangsangan berbeza membawa kepada tindak balas lebih baik.

Proses ini membantu ‘melatih’ sistem imun anak anda untuk bertindak balas secara optimum dan mengenal pasti bahan tidak berbahaya dengan lebih baik tanpa menganggapnya seperti penceroboh. Walaupun ‘latihan’ ini mudah dilakukan dengan pendedahan mencukupi kepada persekitaran, sistem imun tetap perlu diperkuat dan ini bermula dari usus.

Permulaan baik yang penting

Usus yang menempatkan bertrilion mikroorganisma yang dikenali sebagai mikrobiota usus, berkait rapat dengan kesihatan usus dan sistem imun. Terbentuk sejak dari lahir, ‘pembenihan’ terawal datang daripada kelahiran semulajadi dan penyusuan susu ibu. Faktor lain untuk perkembangan mikrobiota usus termasuklah pemakanan ibu dan bayi, bahan cemar dalam persekitaran, dan penggunaan antibiotik.

Mikrobiota usus yang sihat mengandungi keseimbangan sebanyak 85% bakteria baik dan 15% bakteria tidak baik. Ketidakseimbangan mikrobiota usus dipanggil disbiosis usus. Kajian terkini menunjukkan bahawa ini mungkin penyebab atau pencetus bagi penyakit alahan. Mikrobiota usus sebenarnya membantu mengawal bagaimana tubuh kita bertindak balas terhadap antigen yang menyebabkan tindak balas alahan. Oleh itu, penting untuk kita mengurangkan berlakunya disbiosis.

Apakah sebab disbiosis

Berikut adalah beberapa kemungkinan faktor bagi disbiosis:

  • Perubahan diet yang mendadak, contohnya pengambilan gula atau kanji terproses yang berlebihan.
  • Pengambilan bahan kimia secara tidak sengaja, contohnya racun perosak pada buah-buahan atau sayur-sayuran, atau penggunaan pembersih rumah yang berlebihan dan meninggalkan sisa.
  • Ubatan terutamanya antibiotik juga boleh membunuh bakteria baik. Jika anak anda sakit, jangan minta antibiotik jika tidak dipreskripsi oleh doktor. Antibiotik tidak berkesan terhadap penyakit virus dan terbukti boleh menjejaskan komposisi mikrobiota kerana menghapuskan kedua-dua bakteria baik dan tidak baik. Maklumkan kepada doktor jika anda menyusukan bayi dan ketahui sama ada ubatan itu selamat digunakan dan kesan sampingannya.

Merendahkan risiko disbiosis

Anda boleh mengurangkan risiko disbiosis usus bagi anak anda dengan mengamalkan penyusuan susu ibu yang eksklusif selama enam bulan pertama, diikuti dengan makanan pelengkap pada 6 bulan (dan teruskan pemberian susu ibu sehingga 2 tahun). Susu ibu juga mengandungi bakteria baik daripada ibu yang membantu mengembangkan mikrobiota usus bayi.

Apabila anak anda semakin membesar, hidangkan makanan sihat (lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan) dengan kaedah memasak yang lebih sihat (kurang gula, minyak dan garam). Bagi mengekalkan mikrobiota usus yang seimbang, sertakan makanan kaya probiotik dalam dietnya (contohnya, yogurt, makanan ditapai) atau produk makanan dengan probiotik tambahan. Probiotik pula memerlukan prebiotik, iaitu makanan bagi probiotik yang didapati dalam serat pemakanan bagi merangsang tumbesaran bakteria baik. Ia boleh didapati daripada pisang, bawang, asparagus, dan bawang putih.

Mengekalkan kesihatan usus yang baik untuk anak anda adalah penting kerana lebih 80% daripada sistem imun terletak di usus dan berkait dengan alahan. Akhirnya, ingatlah walaupun probiotik mungkin boleh mengurangkan atau merawat alahan, anda tidak harus bergantung sepenuhnya kepada probiotik. Sebaliknya mulakan amalan gaya hidup sihat yang disertai dengan aktiviti fizikal yang tetap sejak usia muda kerana ini akan membolehkan anak anda membesar secara sihat dan kuat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen