Pengasuhan Positif

Bagaimana untuk kekal tenang

Bertenang adalah kemahiran yang mencabar tetapi penting untuk dipelajari dan diamalkan oleh ibu bapa. Namun, jangan terlalu salahkan diri jika anda pernah hilang sabar. Amalkan sifat yang terbuka dan terimalah kelemahan anda terlebih dahulu, sebelum mencari cara untuk mengawal emosi. Lebih-lebih lagi, jika anda menghadapi terlalu banyak konflik dalaman yang belum diselesaikan, ia boleh menghalang anda daripada berkomunikasi secara efektif dengan anak anda.

Mengawal situasi

Lakukan yang terbaik untuk mengawal kemarahan dan cuba untuk mengetahui pencetus kemarahan anda. Biasanya, seseorang akan berteriak apabila hilang sabar dan nadanya boleh membawa banyak maksud – nada atau bahasa yang kasar boleh memburukkan keadaan. Namun begitu, jeritan ada gunanya dalam situasi yang cemas kerana boleh menarik perhatian dengan pantas (contohnya, anda boleh menjerit “JANGAN!” diikuti dengan amaran tegas untuk tidak bermain dengan pisau dapur).

Gunakan nada yang tegas dan jelas. Elakkan daripada menengking anak anda semasa marah atau kecewa kerana ini boleh mengganggu emosinya. Anak anda mungkin menganggap anda tidak lagi menyayanginya, dan ini boleh merendahkan keyakinan dirinya serta meningkatkan risiko anak anda mencontohi kelakuan anda ataupun berkelakuan agresif.

Jadilah contoh yang baik

Anda haruslah menjadi contoh yang baik kepada anak anda. Jika anda inginkan anak yang cekap mengurus emosinya, anda haruslah menunjukkan pengurusan emosi yang baik. Sebarang kesilapan yang anda lakukan harus diakui dan digantikan dengan perlakuan yang lebih baik. Ini akan membantu anak kecil membezakan kelakuan yang baik dengan yang buruk.

Jika anda pernah menengking anak anda, cuba meminta maaf daripadanya apabila anda sedar yang menengking itu mungkin menyebabkan lebih banyak masalah (contohnya, anak anda menangis dan ini memburukkan lagi situasi). Apabila anda sudah bertenang, beritahu dia yang anda rasa bersalah dan tidak sepatutnya menjerit. Ini akan membantu anak memahami bahawa perbuatan tersebut tidak boleh diterima dan mendorongnya untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.

Redakan kemarahan anda

Ketenangan adalah kebebasan daripada gangguan fikiran atau emosi yang kuat, jadi carilah cara untuk menguruskan tekanan dan rasa marah anda kerana ia lebih mudah untuk mencegah kemarahan berbanding mengawalnya. Walaupun teknik pernafasan boleh mengelak kemarahan daripada bertambah buruk (ia membantu tubuh anda bertenang), ia kurang berkesan jika anda sudah pun hilang sabar.

Tarik nafas yang mendalam dan ulangi beberapa kali untuk memperlahankan degupan jantung dan berasa tenang. Bayangkan tenaga yang segar mengalir masuk dalam setiap nafas, dan kemarahan atau kekecewaan mengalir keluar apabila anda menghembus. Pengamalan teknik pernafasan ini akan membantu anda menjadi lebih mahir dalam menenangkan diri.

Walaupun anda tidak dapat mengawal tindakan atau reaksi anak anda, anda boleh mengawal respons anda. Tangani rasa marah anda terlebih dahulu sebelum menguruskan anak anda.

Terdapat tiga langkah yang boleh digunakan:

  • Beri perhatian: Belajar mengenalpasti pencetus, corak atau tabiat yang kurang efektif dan cuba untuk menanganinya. Jangan salahkan diri apabila gagal pada mulanya – lama- kelamaan anda akan dapat mengenal pasti sebab yang mencetuskan kemarahan anda!
  • Berhenti seketika: Kenal pasti emosi anda. Sebelum anda hilang sabar, hentikan segala aktiviti dan tenangkan diri. Ini juga merupakan peluang untuk mengajar anak anda cara menguruskan emosi.
  • Berikan ruang: Berikan masa dan ruang untuk semua orang bertenang. Tangani isu tersebut apabila kemarahan sudah reda. Berikan peluang kepada anak untuk meluahkan perasaan jika dia sudah bertenang.

Cuba jadi contoh terbaik bagi anak anda dalam mengawal kemarahan – kanak-kanak mempunyai kecenderungan semula jadi untuk mencontohi ibu bapa mereka.

Perkara lain untuk dipertimbangkan

Tiada menang-kalah dalam pengasuhan/pengurusan tingkah laku anak anda. Jika anda fikir ia satu pertandingan antara ibu bapa dengan anak, anda sudah pun kalah. Lebih penting untuk memberi fokus kepada objektif yang anda ingin mencapai bersama anak. Bertegaslah dalam isu-isu penting (seperti menyiapkan kerja sekolah pada waktunya) dan cuba untuk melepaskan hal-hal yang remeh buat seketika (seperti membiarkan kasut bersepah di pintu). Jika tidak, anda hanya akan membazir masa dan tenaga untuk perkara-perkara kurang penting yang mengalih perhatian daripada perkara- perkara mustahak.

Kelakuan buruk anak bukanlah tindakbalas peribadi/ pembalasan dendam terhadap ibu bapa. Ia berlaku akibat kekurangan kemahiran dalam menghadapi cabaran di sekeliling mereka. Anak anda masih belum mampu menguruskan dirinya secara matang, terutamanya apabila tidak mendapat sesuatu yang diingini. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengamalkan rasa empati terhadap anak dan mendorong anak untuk mencari jalan penyelesaian ketika menghadapi sebarang dugaan.

Jaga diri anda

Kesihatan fizikal yang baik akan membantu anda kekal positif. Jadi, makanlah secara sihat dan amalkan aktiviti fizikal yang mencukupi. Rehat dan masa tidur yang mencukupi mungkin sukar untuk dicapai, namun cubalah sebaik mungkin untuk mendapat rehat yang memadai kerana ini akan meningkatkan tahap toleransi anda dan mengurangkan tekanan.

Menjaga keluarga boleh meletihkan anda, jadi janganlah mengabaikan diri sendiri. Tetapkan waktu peribadi dalam jadual anda untuk melakukan perkara yang anda suka seperti berkebun, mendengar muzik, dan lain-lain.

Rujuk kepada pakar jika anda menghadapi kesukaran dalam menguruskan kemarahan. Kerap hilang sabar boleh dianggap sebagai simptom kemurungan, terutamanya jika seseorang itu biasanya penyabar. Jangan takut untuk mendapatkan bantuan bagi menangani isu ataupun dugaan yang anda hadapi. Lebih baik (dan lebih murah) untuk menangani masalah emosi dari awal, sebelum ia bertambah buruk.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen