Pengasuhan Positif

Persaingan Adik-Beradik

Adik-beradik berperanan penting dalam pengalaman membesar dan berkongsi pelbagai kenangan bersama. Mereka biasanya kawan kita yang pertama, tetapi mereka juga boleh menjadi pesaing pertama kita. Malah, persaingan ini boleh berlaku seawal kelahiran mereka. Anak sulung mungkin rasa terancam atau terabai apabila ibu bapa mengalih perhatian kepada bayi yang baru lahir.

Menyambut kelahiran baru

Anda boleh sediakan anak anda untuk kelahiran baru agar dia lebih menerima adik barunya.

  • Beritahunya tentang bayi / adiknya dari awal dan kongsikan perasaan teruja anda.
  • Melibatkan anak anda, contohnya, membawa dia ke pemeriksaan kesihatan anda dan bayi, atau membenarkannya memegang bayi.
  • Memberi dia peluang membantu anda, contohnya, memintanya mengambil lampin semasa anda membersihkan bayi.
  • Jangan lupa berbual dengannya dan mendengar luahan hatinya, agar dia tahu anda masih memberi perhatian kepadanya.

Persaingan positif

Persaingan biasanya berlaku apabila kanak- kanak mahukan perhatian dan perakuan ibu bapa. Persaingan atau pertengkaran antara adik-beradik lazimnya berlaku kerana terdapat perbezaan perwatakan ataupun kerana adik- beradik mempunyai kemahuan yang berlainan. Justeru itu, persaingan dapat diperhatikan dari segi aktiviti kesukanan, permainan, pelajaran dan lain-lain.

Dengan pengasuhan anak yang baik oleh ibu bapa, persaingan yang sihat dan positif antara adik-beradik boleh membantu anak-anak meningkatkan kemahiran diri. Persaingan sihat juga membantu perkembangan mental serta emosi kanak-kanak dan dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka. Sebaliknya, persaingan negatif boleh membawa kepada masalah seperti kelakuan agresif dan isu-isu yang melibatkan kesihatan mental.

Bagi memupuk persaingan yang positif, ibu bapa harus menekankan kepada anak- anak kecekapan dalam menyelesaikan masalah, dan memastikan anak- anak memahami konsep persaingan sihat. Ini kerana pendekatan yang hanya tertumpu kepada kemenangan atau kekalahan sahaja akan mewujudkan persaingan yang tidak sihat dan memupuk sikap mementingkan diri dan berlagak dalam diri kanak- kanak. Konflik seperti berebut saluran TV harus dianggap sebagai masalah untuk diselesaikan bersama dan dilihat sebagai peluang untuk belajar bertolak ansur. Di sekolah pula, pencapaian peribadi seharusnya lebih dititikberatkan berbanding kedudukan dalam kelas.

Ibu bapa harus memupuk semangat bekerjasama, saling menyokong, dan keadilan dalam diri anak- anak, meskipun mereka bersaing sesama sendiri. Ketika membuat persiapan peperiksaan atau hari sukan, galakkan mereka untuk memberi sokongan sesama sendiri dan mengajar mereka etika persaingan: (1) merendah diri apabila menang, (2) menerima kekalahan dengan hati yang terbuka dan (3) lebih gigih mencuba pada masa hadapan.

Menyelesaikan konflik

Pertembungan antara kanak- kanak akibat kemahuan dan kepentingan masing-masing biasanya menyebabkan konflik. Lebih-lebih lagi, cara ibu bapa mengatasi konflik tersebut boleh memberi kesan kepada hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Berikut adalah beberapa petua untuk menyelesaikan konflik antara adik-beradik.

  • Tekankan dan galakkan tingkah laku yang baik. Bagi setiap “Jangan” berilah arahan alternatif “Buatlah”. Contohnya, “Jangan bermain dengan pisau, mainlah dengan patung.”
  • Jangan memihak kepada sesiapa. Jika anak-anak boleh bertenang, biarkan mereka selesaikan konflik sesama sendiri. Jangan terlalu menumpukan perhatian kepada siapa yang salah dan siapa yang betul.
  • Galakkan tingkah laku yang baik. Berikan ganjaran apabila mereka mematuhi peraturan, bekerjasama dan bersetuju berkongsi. Ucapan ringkas “terima kasih” dan pelukan juga amat berguna untuk mengeratkan silaturrahim antara adik-beradik.
  • Tekankan akibat tingkah laku mereka. Tegur dengan amaran atau tarik semula kebebasan mereka jika mereka terus melanggar peraturan. ‘Time-out’ (contohnya, memisahkan anak-anak yang bertengkar dengan mengarahkan seorang bertenang di dalam bilik tidur dan seorang lagi bertenang di ruang tamu) boleh memberikan mereka sedikit ruang dan masa daripada satu sama lain untuk bertenang.
  • Ajarlah mereka supaya bertolak ansur. Minta mereka mencari penyelesaian ‘menang-menang’, iaitu penyelesaian masalah yang memanfaatkan kedua-dua pihak. Sekiranya mereka tidak boleh mencapai persetujuan, tawarkan penyelesaian anda. Jika tiada penyelesaian, biarkan dahulu perkara tersebut dan bincangkan semula masalah itu pada waktu yang lain.
  • Adil tidak bermaksud saksama. Kanak-kanak memerlukan perhatian dan didikan yang berbeza berdasarkan umur dan perwatakan mereka. Pastikan anak-anak faham kenapa wujudnya perbezaan dalam tumpuan ibu bapa terhadap adik- beradik, supaya mereka lebih mengerti situasi dan bersetuju untuk bekerjasama.

Persaingan positif antara adik-beradik boleh mengajar anak-anak tentang kesedaran kendiri, empati, etika dan juga sikap hormat-menghormati, lalu menjadikan mereka individu yang lebih berkebolehan. Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting untuk menyediakan persekitaran yang bukan sahaja mengalakkan anak- anak untuk mengamalkan akhlak mulia tetapi juga mementingkan hubungan keluarga yang sihat. Setiap kanak-kanak adalah unik dengan cara mereka yang tersendiri; lihatlah serta terima diri mereka yang seadanya, dan bukan berdasarkan kedudukan mereka dalam kelas atau pertandingan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen