Pengasuhan Positif

Kembali ke Sekolah (untuk Ibu Bapa!)

Penglibatan ibu bapa dalam persekolahan anak lebih daripada sekadar menghadiri mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). Ibu bapa yang turut serta secara aktif dalam persekolahan dan kerja sekolah anak boleh memberikan kesan besar kepada kejayaan akademik, sosial serta kehidupan harian anak mereka. Lebih-lebih lagi, anda akan rasa puas hati kerana dapat menyumbang kepada pendidikannya secara aktif dan langsung.

Kelebihan penglibatan ibu bapa

Perkara-perkara kecil seperti membantu anak anda bersiap sedia untuk ke sekolah atau menghadiri acara sekolahnya menunjukkan bahawa anda menghargai pendidikannya. Penglibatan anda boleh menggalakkan kehadirannya ke sekolah, memupuk sikap positif terhadap sekolah, membuat kawan, belajar dengan lebih baik, menyesuaikan diri, dan membentuk hubungan lebih kuat dengan anda.

Bagaimana untuk melibatkan diri?

  • Ambil tahu tentang minat dan ideanya tentang dunia sekeliling.
  • Tetapkan matlamat bersama anak anda berdasarkan kebolehannya dan bekerjasama untuk mencapainya. Ia boleh jadi matlamat jangka pendek atau panjang.
  • Luangkan masa berduaan yang berkualiti dengannya untuk berbual tentang harinya di sekolah, serta siapa rakan dan gurunya. Walaupun cuma 5-10 minit, pastikan anda memberikan sepenuh perhatian kepadanya.
  • Ulangkaji pelajaran bersama-samanya dengan meminta dia mengajar anda. Ini boleh membantu menguatkan pemahamannya. Dengan sukatan pelajaran yang berbeza berbanding waktu kita dahulu, mungkin anda juga boleh mempelajari perkara baru!
  • Tetapkan masa untuk kerja sekolah dan bincangkannya bersama sekiranya dia perlukan pertolongan. Pastikan dia diberikan ganjaran kerana menyiapkan tugas pada waktu yang ditetapkan.
  • Perhatikan kelemahan anak anda untuk dibincangkan dengan guru kelasnya pada waktu bersesuaian.
  • Maklumkan kepada guru kelasnya sekiranya terdapat sebarang isu (contohnya, kesihatan, kehilangan orang tersayang, dsb.) yang boleh menjejaskan prestasi sekolahnya.

Libatkan diri secara aktif di sekolah

Sesetengah sekolah menawarkan peluang untuk ibu bapa terlibat secara aktif. Ini termasuklah menghadiri acara sekolah untuk memberikan sokongan kepada anak anda semasa persembahan sekolah, hari sukan, hari kantin, dan sebagainya. Sesetengah sekolah menggalakkan ibu bapa menjadi sukarelawan untuk tugas-tugas tertentu, seperti hari kitar semula, hari kantin, hari sukan dan sebagainya. Tanyalah guru untuk mengetahui bagaimana anda boleh menyumbangkan khidmat anda.

Satu lagi aspek penting yang tidak harus diabaikan ialah hubungan antara ibu bapa dan guru. Binalah hubungan positif dengan guru anak anda. Hubungan dengan guru anak anda sangat penting, jadi cuba berhubung untuk menyelesaikan masalah, walaupun anda tidak setuju dengan kaedah guru tersebut. Apabila menemui gurunya, lakukannya untuk bekerjasama bagi membantu anak anda. Anda harus konsisten dengan guru di sekolah semasa menguruskan kelakuan dan pembelajaran anak anda. Berkonfrontasi dan memarahi guru hanya akan memburukkan hubungan itu dan boleh mewujudkan kejanggalan bagi anak anda, terutamanya jika ia dilakukan dalam kehadirannya.

Jangan terlibat secara berlebihan

Ingat, anda ialah penyumbang utama dalam pendidikannya, jadi berikanlah sokongan yang diperlukan, tetapi bukanlah sehingga melakukan segalanya untuk dia. Matlamat anda ialah untuk menggalakkan dia lebih berdikari dan belajar cara menguruskan perkara dengan sendiri, bukannya bergantung kepada anda untuk segalanya, jadi biarkan dia menguruskan beg sekolahnya sendiri, dan juga kerja rumah atau tugasan (contohnya, projek seni) tanpa bantuan.

Melakukan kerja rumah atau tugasan bersama anak anda mungkin dapat menaikkan grednya dalam jangka pendek, tetapi untuk jangka panjang, ia akan menyekat perkembangan daya tahannya serta kemahiran pembelajaran dan pengalaman berdikari kerana anak anda tidak melakukannya sendiri. Sebaliknya, dia mungkin menjadi terlalu bergantung dan kurang kemahiran kendiri apabila dia mencapai umur dewasa. Elakkan ‘pengasuhan helikopter’ dan berikan ruang yang dia perlukan untuk mengembangkan kebolehannya. Dengan galakan yang wajar, dia mampu mencapai kejayaan apabila dewasa kelak. Berusahalah untuk melibatkan diri dengan sewajarnya sekarang agar anda mendapat hasilnya nanti. Anda juga merupakan teladan baginya untuk berdikari. Jadi, daripada melakukan semuanya untuk anak anda, anda harus menunjukkan bagaimana caranya dan biarkan dia merasa sendiri cabaran dan dugaan, agar pembelajaran menjadi sesuatu yang istimewa untuknya.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen