Pengasuhan Positif

Bertindaklah Secara Rasional, Usahlah Melenting

Perjalanan sebagai ibu bapa adalah pengalaman yang penuh emosi. Luahan perasaan positif serta kelakuan elok biasanya diraikan, manakala bagi sesetengah ibu bapa, kelakuan buruk lazimnya dikecam dengan reaksi yang keras, dan bukannya dengan teguran atau respons yang membina.

Reaksi merupakan tindakbalas yang serta-merta tanpa pertimbangan. Apabila ibu bapa memberi reaksi, ia boleh membawa kepada keadaan yang lebih teruk, terutamanya apabila kanak-kanak itu turut memberi reaksi yang negatif, lalu menyebabkan kitaran reaksi yang tidak sihat. Respons pula merupakan tindakan rasional yang melibatkan pertimbangan dan penyelesaian munasabah yang boleh meredakan konflik.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk memberi respons yang baik kerana kebanyakan kita tidak dibesarkan sebegini. Ia adalah satu kemahiran yang dipupuk dengan menumpukan perhatian kepada belas kasihan, empati dan keperluan semasa seseorang itu kanak-kanak. Oleh itu, kemahiran memberi respons harus kerap dilatih supaya ia berlaku secara automatik. Anda tentu akan menghadapi pelbagai cabaran apabila memberi respons, dan anda akan melakukan kesilapan. Adalah penting untuk anda sedar bahawa kunci untuk memberi respons yang wajar bermula dengan kesedaran diri anda dan belas kasihan terhadap diri sendiri.

Penyesuaian diri & respons

Reaksi keras yang dipengaruhi oleh emosi atau yang dipanjangkan (contohnya membebel) mewujudkan tekanan yang tidak diperlukan ke atas anak anda dan anda sendiri. Dengan itu, masalah sebenar juga tidak dapat diselesaikan dan kitaran negatif itu akan berterusan. Ini mendatangkan lebih banyak kekecewaan dan kesukaran pada kedua-dua pihak.

Sekiranya anda rasa terperangkap dalam kitaran negatif ini, ubahlah pendekatan anda. Cuba jadi contoh yang baik dan kawal reaksi anda sendiri. Ini membantu anda mencapai penyelesaian jangka panjang untuk sesuatu masalah dan juga memupuk kemahiran penyesuaian diri dalam diri anak anda, lalu menguatkan daya tahan dan pengurusan emosi mereka.

Elakkan daripada memberi reaksi negatif yang kasar terhadap kelakuan anak anda yang tidak elok. Sebaliknya, berikan respons sesuai terhadap kelakuannya yang dapat membantunya memahami kenapa kelakuannya tidak elok. Ini boleh mengelakkan pertengkaran dan menunjukkan kepada anak anda cara mengendali emosi yang lebih wajar. Contohnya, menjerit ke arah anak berusia 2 tahun yang membuat tantrum akan membuatkannya lebih tertekan. Fikirkan objektif anda terlebih dahulu – jika anda mahu meredakan tantrumnya, maka fahami kenapa dia mengamuk supaya anda boleh gunakan pendekatan yang lebih sesuai. Ini boleh dicapai dengan tidak mengalah dengannya, tetapi dengan membantunya memahami cara menguruskan diri dengan wajar.

Kelakuan tidak wajar ialah satu cubaan komunikasi dan tantrum pula menunjukkan reaksi terhadap penolakan atau kekecewaan. Memahami sebab ia berlaku membolehkan anda memperakuinya dan mengajarkan cara lebih baik untuk meluahkan kekecewaan.

Andalah yang menentukan suasana apabila menangani sesuatu situasi, jadi janganlah beri reaksi berdasarkan emosi anda. Sebaliknya, ambil masa untuk bertindak dengan tenang. Tumpukan kepada matlamat dan bukan situasi ketika itu. Pertimbangkan sama ada respons anda dapat mencapai atau menghalang matlamat. Jika ia boleh menghalang, ubahlah pendekatan anda.

Untuk menangani anak anda secara positif:

  • Bertindak terhadap situasi, bukan reaksinya. Kekal tenang dan cakap dengan lembut tetapi tegas, walaupun dia menjerit atau berteriak. Jika dia tidak keruan, sambung perbualan anda bila dia lebih tenang.
  • Akui perasaan anda. Jika anda juga rasa kecewa dan sukar untuk bertenang, akui perasaan anda kepada anak anda dan tunjukkan bahawa anda mahu menyelesaikan perkara itu dengannya. Melalui cara ini, anda menunjukkan bagaimana dia juga boleh melahirkan perasaannya semasa sedih dan meminta bantuan.
  • Tenangkan diri anda. Elakkan daripada melenting apabila menghadapi kelakuan yang membuatkan anda marah. Tarik nafas dan jauhkan diri buat sementara waktu.
  • Anda harus jadi contoh. Tangani situasi dengan tenang. Kawal diri daripada memarahi atau mengugut anak anda. Cakap dengan tenang dan sediakan sokongan yang dia perlukan.

Bertenanglah dan teruskan mencuba

Apa yang sukar adalah untuk belajar menguruskan emosi dan mengawal reaksi sendiri. Apabila perasaan tidak begitu baik, selesaikan dahulu perkara ini agar anda tidak melepaskan kekecewaan pada anak anda. Cari kaedah yang berkesan untuk anda (contohnya, bercakap dengan seseorang, keluar berjalan, berkebun, dan sebagainya).

Reaksi keterlaluan yang dipengaruhi kekecewaan akan memburukkan keadaan. Ingatlah bahawa anda sedang berhadapan dengan kanak-kanak yang masih belum mahir cara menguruskan emosinya. Berikan respons dengan tenang dan elakkan daripada terlalu beremosi kerana ia boleh menakutkan anak anda.

Empati dan belas kasihan boleh menenangkan anak anda. Ia juga boleh menjadi contoh untuknya apabila menghadapi situasi seperti ini serta menunjukkan yang anda mengambil berat tentang keresahannya. Ini membuatkan anak anda rasa selamat dan disayangi.

Berhadapan dengan situasi di mana anak anda berkelakuan tidak wajar akan menguji kesabaran anda tetapi bersabarlah. Untuk kekal sabar:

  • Sesuaikan jangkaan anda. Kelakuannya berbeza bergantung kepada peringkat perkembangan dan perangainya. Memahami perkara ini membantu anda bersedia menghadapi kelakuannya.
  • Berikannya masa untuk bertenang. Kadangkala anak anda hanya perlukan masa untuk bertenang. Berikan pelukan, arahkannya membasuh muka jika dia menangis, atau bawanya pergi dari tempat itu untuk membantu meredakan keadaan.

  • Belas kasihan terhadap diri sendiri. Jangan terlalu memaksa diri. Ibu bapa sering menyalahkan diri sendiri apabila tidak dapat mengawal kelakuan dan emosi anak mereka. Bertenanglah dan jaga diri sendiri. Ambil masa untuk berehat.
  • Tanganilah tekanan dengan tenang. Perubahan dalam kelakuan anda akan disedari. Bersedia untuk menghadapi kelakuan lebih teruk daripada anak anda sebelum melihat sebarang penambahbaikan kerana kanak-kanak biasanya akan menguji had mereka dengan ibu atau bapa yang tenang. Anda harus kekal tenang dan biarkan mereka belajar menerima cara anda.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen