Pengasuhan Positif

Alamak, Anak Saya Tercirit!

Pembuangan air besar tidak terkawal atau tercirit/terkincit (juga dikenali sebagai enkopresis), ialah pembuangan najis dalam seluar secara tidak sengaja yang berulang. Ibu bapa tidak harus marah atau memalukan anak-anak mereka. Ia berlaku di kalangan kanak-kanak 4 tahun ke atas yang sudah berlatih untuk ke tandas.

Enkopresis dikaitkan dengan sembelit yang berpanjangan dan ini menyebabkan pengumpulan najis di rektum. Seterusnya, pembuangan najis yang tidak terkawal menyebabkan pakaian kanak-kanak menjadi kotor dan situasi ini boleh memalukan kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Tanda & simptom

  • Kesan najis atau cecair najis berada pada seluar dalam/pakaian
  • Sembelit berserta najis kering/keras pada seluar dalam/pakaian
  • Najis besar yang sukar dipam ke dalam tandas
  • Anak mengelak buang air besar
  • Tempoh yang panjang antara waktu buang air besar
  • Kurang berselera untuk makan
  • Sakit abdomen
  • Kencing malam (enuresis)
  • Jangkitan pundi kencing yang kerap (terutamanya anak perempuan)

Mencegah masalah

Pemakanan seimbang yang kaya dengan serat dan air adalah satu cara untuk mencegah enkopresis, kerana ia berkait rapat dengan sembelit yang berterusan. Prebiotik dan probiotik juga boleh membantu. Prebiotik ialah serat pemakanan yang ditemui di dalam buah-buahan, bijirin penuh dan kekacang. Probiotik pula membantu menambah bakteria ‘baik’ di dalam usus anda, yang mana ianya memberi manfaat untuk kesihatan sistem penghadaman dan pencernaan badan kita. Antara produk makanan yang kaya dengan probiotik ialah minuman susu berkultur, tempe, kimchi, yogurt buatan sendiri (tairu) dan pulut tapai.

Dietary

Antara sebab-sebab selain daripada pola pemakanan yang tidak sihat, sembelit boleh menjadi simptom yang kronik kerana:

  • Keresahan atau masalah semasa latihan untuk ke tandas
  • Pola pemakanan serat yang rendah
  • Tidak minum air secukupnya
  • Gaya hidup yang tidak aktif (seperti tidak kerap bersenam)
  • Ketakutan/kegelisahan/tidak suka tandas di luar rumah (contohnya di tadika, sekolah atau di pusat membel-belah)
  • Tidak menghiraukan keinginan membuang air besar
  • Takut membuang air besar (anak yang mengalami sembelit mungkin mengalami kecederaan pada rektumnya, menyebabkannya takut membuang air besar)

Bila harus berjumpa doktor

Temui pakar pediatrik jika anak anda:

  • Lebih 4 tahun dan sentiasa tercirit di dalam seluarnya
  • Masih tercirit di dalam seluar selepas ‘bersih’ (kes yang kronik)
  • Sering mengalami sembelit (walaupun tanpa enkopresis)

Doctor

Dalam kes yang terpencil, gangguan neurologikal atau perkembangan saluran penghadaman serta pencernaan juga boleh menyebabkan enkopresis.

Sebelum berjumpa doktor, perhatikan kepada kelakuan yang luar biasa, diet, pengambilan air, aktiviti fizikal, dan pembuangan najis selama beberapa minggu. Kitaran sembelit dan enkopresis hanya boleh dihentikan dengan membersihkan najis tersumbat dalam usus, dengan memastikan anak anda membuang air besar dengan kerap. Ini membolehkan ususnya kembali ke saiz normal dalam masa beberapa minggu.

Untuk mengatasi masalah ini, doktor akan memberikan ubatan (laksatif), enema atau supositori rektum. Elakkan dari menggunakan kaedah ini dengan kerap, kecuali jika disyorkan oleh doktor. Selepas usus anak anda dibersihkan, galakkan mereka untuk membuang air besar dengan teratur. Tanya doktor sekiranya anak anda memerlukan pelembut najis (contohnya laktulos) untuk membantu melancarkan pergerakan usus.

Night

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen