Kebanyakan ibu bapa pasti pernah menangani tantrum anak mereka, sama ada di rumah mahu pun di tempat awam. Ia pengalaman biasa bagi ibu bapa dan satu kelakuan normal dalam kalangan kanak-kanak petatih dan pra-sekolah. Tantrum ialah tempoh singkat di mana berlakunya kemarahan secara tiba-tiba atau perlakuan tidak wajar seperti menangis, menjerit, memekik dan menunjukkan ketidakpuasan hati dengan tindakan menendang dan memukul.
Tantrum adalah perkara biasa dalam proses membesar apabila kanak-kanak mula belajar menjadi lebih berdikari dan mahu mengawal sendiri hidup mereka. Kerap kali mereka kecewa apabila keperluan mereka tidak dipenuhi, serta tidak dapat menyuarakan perasaan akibat kemahiran bahasa yang terhad. Tantrum tercetus apabila seorang kanak-kanak berasa penat, lapar, tidak diendahkan, resah atau bimbang. Bagi menghadapinya, ibu bapa harus memahami emosi anak mereka dan melakukan yang terbaik bagi mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan tantrum mereka.
Meraung atau terkawal?
Apakah yang boleh anda lakukan apabila anak anda tantrum? Setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menangani tantrum, bergantung kepada situasi. Berikut ialah panduan asas untuk menangani tantrum.
- Bertenang: Pekikan dan jeritan anak anda mungkin membuatkan anda rasa marah, kecewa dan malu jika ia berlaku di hadapan orang lain. Bagaimanapun, anda harus bertenang dan tidak susah hati. Ingat bahawa perkara ini juga berlaku kepada ibu bapa lain. Kemudian barulah anda boleh membuat keputusan rasional dalam menguruskan tantrumnya.
- Jangan peduli: Jangan hiraukan tantrum dan teruskan dengan apa yang anda sedang lakukan. Bagaimanapun, awasi anak anda senyap-senyap untuk memastikan dia selamat. Sukar untuk tidak mengendahkannya, terutama apabila orang lain sedang melihat, tetapi ini penting agar anak anda belajar yang dia tidak akan mendapat perhatian dengan bertindak sedemikian.
- Kekal konsisten: Apabila membuat dan mengenakan peraturan kepada anak anda, anda perlu konsisten setiap masa. Anak anda mungkin mengamuk kerana tidak mendapat sesuatu yang anda larang. Jangan mengalah. Sentiasa tegas dengan keputusan anda untuk mengajarnya bahawa had dan peraturan adalah penting. Pastikan semua penjaga terlibat memahami perkara ini dan kekal konsisten.
- Fokus pada kelakuan baik: Sebaik sahaja anak anda bertenang, anda boleh berikan perhatian semula kepadanya. Pujilah anak anda atas kelakuan positifnya walaupun ia sesuatu yang kecil dan peluklah anak anda. Dengan ini, anda memberi ganjaran atas kelakuan baiknya dan dia pasti akan kekal tenang dan terus berkelakuan baik. Sentiasa yakinkannya yang anda menyayanginya dan hanya perlakuan tantrum itu yang tidak dipersetujui anda.
- Strategi lain: Jauhkannya daripada tempat berlakunya tantrum itu bagi mengelakkan ia berulang. Ini berguna jika dia mengamuk kerana mahukan sesuatu di tempat itu. Anda juga boleh cuba memberikannya pelukan yang erat agar dia rasa selamat dan disayangi. Atau anda boleh cuba gelak atau senyum kerana ia menunjukkan anda mengawal keadaan dan tidak akan mengalah terhadap permintaannya.
Pencetus tantrum
Lebih mudah untuk mencegah tantrum daripada berhadapan dengannya. Ia sangat membantu jika anda tahu apa yang mencetuskan tantrum anak anda.
- Mula dari awal: Melatih kawalan emosi harus bermula sejak bayi. Jangan cuba menjangka keperluan bayi anda. Membiarkannya dalam seminit dua apabila dia mula menangis sambil anda menyiapkan susunya bukanlah sesuatu yang berbahaya. Bercakap dengannya untuk menenangkannya.
- Elak kebosanan: Rasa bosan boleh membuatkan anak anda membuat perangai. Beri anak anda sesuatu untuk dilakukan jika dia perlu menunggu lama, contohnya, semasa temu janji di klinik. Bawa mainan kegemarannya atau buku mewarna untuk melekakannya. Anak anda mungkin lebih suka gajet, tetapi jangan biarkannya menggunakan gajet terlalu kerap.
- Berikan masa berehat: Rasa penat boleh mencetuskan tantrum. Berikan anak anda masa tidur atau rehat petang jika penat. Jangan membawanya keluar jika dia beritahu yang dia penat. Anda boleh tetapkan waktu lain untuk keluar jika tiada orang yang boleh menjaganya. Bawa kereta sorong bayi jika perlu.
- Jangan biarkan lapar: Ketahui bila kemungkinan anak anda akan mula buat perangai kerana lapar. Tangani rasa lapar dengan memberikannya snek sihat seperti potongan buah atau sayuran antara waktu makan. Sentiasa bawa snek tersebut apabila keluar.
- Sembunyikan objek larangan: Objek larangan mungkin snek kegemarannya atau objek berbahaya seperti pisau. Dia mungkin mahu mendapatkan objek-objek ini walaupun tidak dibenarkan, lalu menyebabkannya mengamuk. Sembunyikan objek-objek ini dan letakkannya di tempat yang tidak boleh dicapai.
- Alih perhatian: Mengalih perhatiannya boleh menjadi satu cara untuk mengelakkan kebosanan dan kekecewaan. Mulakan aktiviti baru bagi mengalih perhatiannya daripada perkara yang dilarang. Semasa membeli-belah, anda boleh memintanya untuk mencari barang tertentu yang anda perlukan untuk mengelakkannya daripada berasa bosan.
Menangani tantrum ialah perkara biasa dalam membesarkan anak-anak. Apabila mereka membesar, mereka akan belajar mengawal diri, bekerjasama serta bersabar dengan kekecewaan. Bagaimanapun, anda harus berbincang dengan penjaga atau guru jika tantrum berlaku di pusat jagaan atau sekolah. Tantrum juga mungkin berkait dengan masalah kesihatan, walaupun itu jarang berlaku. Rujuklah pakar pediatrik jika anda mempunyai persoalan.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen