Pengasuhan Positif

Berbual Secara Positif dengan Anak Anda

‘Rahsia’ hubungan positif antara ibu bapa dan anak berpaksikan komunikasi. Cara anda berkomunikasi boleh menentukan kualiti hubungan anda dengan anak. Jika dilakukan dengan betul, ia boleh membawa kepada hubungan yang positif dan memuaskan. Bagaimanapun, komunikasi yang kurang baik boleh menjejaskan hubungan anda dengannya kerana ia boleh membuatkan dirinya berasa kecil, tidak penting dan tidak berkemampuan, menyebabkan rasa serba kekurangan dan menjejaskan prestasi masa depan.

Satu konsep penting yang harus anda ingat adalah untuk “bercakap dengan” anak anda, bukan “bercakap padanya”. Apabila anda bercakap dengannya, dia akan menjadi penyumbang yang aktif dalam perbualan itu, berbeza apabila anda bercakap padanya, di mana dia akan menyumbang sangat sedikit kepada perbualan itu. Seperti orang dewasa, kanak-kanak harus diperakui dan diperkasa. Apabila dia dapat menyumbang kepada sesuatu perbualan, dia akan rasa berguna dan diperkasa kerana dibenarkan untuk membuat pilihan.

Komunikasi diperlukan

Kanak-kanak 7-12 tahun mula berkembang dari segi kebolehan pemikiran logik dan mula menunjukkan corak pemikiran seperti dewasa, termasuklah kebolehan kefahaman lebih mendalam dan dari pelbagai sudut berbeza.

Ini jugalah masanya bagi anak-anak membina hubungan penting dengan rakan sebaya. Walaupun anda masih berperanan penting, pengaruh dan kuasa anda sebagai ibu bapa mula berkurangan pada peringkat ini. Malah, keyakinan dan harga diri anak anda lebih mudah terpengaruh oleh apa yang dia sangka sebagai perspektif orang lain terhadapnya. Inilah masanya untuk menggalakkannya agar lebih sedar akan kebolehan dan tanggungjawab diri, dengan cara memperakuinya apabila dia menunjukkan tanda-tanda berjaya dan bertanggungjawab.

Apa yang perlu difokuskan?

Anda boleh menggalakkan dan memupuk kemahiran komunikasi menggunakan maklum balas positif. Beberapa petunjuk asas termasuk:

  • Menetapkan masa untuk bercakap: Contohnya, semasa anda membawanya keluar, semasa menghantarnya ke sekolah, atau semasa menyediakan hidangan bersama-sama. Tanamkan sikap ingin tahu, tunjukkan minat anda, tumpukan perhatian kepada apa yang dia katakan dan bersedia untuk berbual, terutamanya jika dia ingin meluahkan perasaan.
  • Bersikap terbuka dan sabar dengan emosi: Kenal pasti dan namakan emosinya, contohnya kemarahan, kekecewaan atau keterujaan. Ini membantunya untuk lebih sedar tentang emosi dan mempelajari cara mengurusnya. Kanak-kanak akan mencontohi orang dewasa untuk menguruskan emosi mereka. Jadi, penting untuk memperakui emosi anak anda, bukannya memberitahunya untuk tidak mengendahkan atau menolaknya. Kita sering menggalakkan emosi positif tetapi terus menolak yang negatif. Apa yang anak anda rasakan adalah normal, jadi memperakui emosinya akan membantu dia menerimanya dan membolehkan dia rasa diterima. Jika anda kecewa dengannya, anda boleh menyuarakan perasaan anda dan berbincang dengannya cara untuk menyelesaikannya bersama-sama.
  • Perhatikan bahasa badan: Perhatikan bahasa badan anda – berhati-hati untuk tidak menggunakan bahasa badan yang bertentangan semasa bercakap dengannya untuk mengelakkan kekeliruan. Bahasa badannya juga memberikan petunjuk tentang apa yang dia fikirkan, maka perhatikan bahasa badan semasa berbual. Akui apa yang mungkin dia rasakan dan bertanya jika anda tidak pasti. Kanak-kanak boleh lihat jika anda sedih, jadi akui perasaan anda di hadapan mereka. Menyembunyikan perasaan anda hanya akan menjejaskan kepercayaan masing-masing.
  • Bincangkan kebimbangan bersama: Antara objektif membesarkan anak adalah untuk memberikan panduan agar mereka boleh berdikari. Jika dia datang meluahkan masalahnya kepada anda, daripada cuba menyelesaikannya terus, cuba bincangkan bagaimana dia boleh mengambil langkah-langkah untuk mencari penyelesaian. Beri peluang untuk dia bercakap dan anda harus mendengar, kemudian barulah mengajukan soalan padanya. Contoh soalan yang baik ialah “Apakah pilihan yang sudah kamu pertimbangkan?” Biasanya dia sudah pun tahu cara untuk menyelesaikannya tetapi dia hanya kurang yakin untuk melakukannya. Jika perlu, anda boleh merancang langkah seterusnya atau mencadangkan beberapa pilihan untuk dia fikirkan dan cuba. Penting untuk tunjukkan yang anda menyokong dan menerima pilihannya, walaupun mungkin ia bukan yang terbaik. Anak-anak juga harus belajar daripada kesilapan dan cara menguruskan kesilapan.
  • Tekankan kepentingan bersikap jujur: Sukar untuk ibu bapa membuatkan anak mereka bersikap jujur. Jika anda mahukan kejujuran, anda harus memberikan ganjaran untuk sikap itu, walau sepahit mana pun perkara itu. Pujilah kejujuran, tetapi jika ia mengecewakan, suarakan perasaan anda. Galakkan kejujuran dengan TIDAK berkonfrontasi semasa anda marah. Berkonfrontasi dalam kemarahan dengan nada menuduh dan ugutan akan membuatkan anak anda mengambil jalan mudah, iaitu dengan menipu. Jangan membuatnya rasa takut untuk beritahu perkara sebenar – jika anda marah, ambil masa untuk bertenang sebelum bercakap dengannya. Anda harus bertegas, tetapi lembut dan menghargai kejujuran. Bagaimanapun, jika terdapat akibat bagi perlakuan salah itu (contohnya denda yang dipersetujui), pastikan anda akui dan memberi ganjaran kepada sikap jujur.
  • Biarkan dia habis bercakap sebelum anda mencelah: Anda harus menjadi contoh untuk sikap hormat – jangan mencelahnya dan jangan buat anggapan sebelum dia habis bersuara. Sebelum memberi sebarang respons, bertanyalah untuk memastikan semua fakta anda betul. Komunikasi positif bermaksud saling menghormati.
  • Gunakan bahasa/idea ringkas: Bagi kanak-kanak, penting untuk memastikan arahan anda ringkas dan mudah. Komunikasi adalah untuk menyampaikan mesej kepada sesama sendiri, jadi jangan mengelirukannya dengan menggunakan perkara yang dia tidak faham kerana anda perlu berhenti dan menjelaskannya kepadanya, lalu mengganggu aliran perbualan itu.
  • Elakkan melabel kanak-kanak: Kesilapan adalah kesilapan. Jangan label seseorang berdasarkan kesilapan itu. Jika dia melakukan kesilapan dan anda mahu berbincang tentangnya, fokus pada perbuatan itu dan kesannya. Elak menggunakan label negatif seperti nakal, pemalas, si malang, si gagal, tidak guna, tidak bertanggungjawab, dan lain-lain. Contohnya, jika anda selalu mengatakan, “Kenapa kamu bodoh?”, anak anda akan percaya dia sememangnya bodoh, hanya kerana anda mengatakannya. Lebih baik anda katakan, “Apa yang kamu lakukan kurang bijak. Ada cara yang lebih baik untuk lakukannya”, agar ada harapan untuk penambahbaikan. “Bodoh” lebih kepada titik noktah, tanpa sebarang penambahbaikan.
  • Galakkan yang mahir, tinggalkan yang tidak mahir: Apabila anak anda mula mengembangkan keupayaan dan keyakinan diri, mereka mempelajari konsep baik dan buruk yang biasanya digunakan ke atas mereka dan orang lain. Bagi memperkukuh langkah mengelakkan label, bantu anak anda untuk melihat ada kelakuan yang berkemahiran dan tidak berkemahiran. Ini membantunya memahami bahawa kelakuan mahir membawa kepada hasil yang berfaedah, sementara kelakuan tidak mahir akan membawa kesan yang tidak diingini, serta kelakuan bukan hanya sekadar “baik dan buruk”. Anak-anak bertanggungjawab untuk terus menyesuaikan diri dan menambah baik diri mereka.

“Tiga perkara yang tidak dapat dikembalikan: panah yang sudah ditembak, peluang yang hilang dan kata-kata yang diucapkan.” – William George Plunkett

Bapa borek, anak rintik

Keperluan untuk adanya suri teladan ibu bapa perlu ditegaskan. Adalah lazim bagi manusia untuk menghormati dan mengagumi seseorang – suri teladan ialah seseorang yang kita mahu jadi, maka kita cuba mencontohinya sebanyak mungkin. Ini lebih ketara bagi kanak-kanak, dan ibu bapa ialah suri teladan pertama mereka. Kerana andalah ibu bapa dan orang dewasa, anda secara automatik menjadi model untuk perlakuan yang sewajarnya. Contohnya, jika anda mahukan kejujuran, maka jadilah orang yang jujur; jika anda mahukan kemaafan, maka anda juga harus minta maaf.

Jika anda mahu anak anda berkelakuan tertentu, anda harus menunjukkan cara ia dilakukan, iaitu melalui perbuatan anda. Jika anda mahu anak anda berkomunikasi dengan anda menerusi cara tertentu, maka cara anda bercakap dan berinteraksi dengannya dan orang lain akan menjadi contoh kepadanya. Lagipun, kanak-kanak belajar dengan mencontohi orang dewasa. Jadi, pastikan anda bercakap dengan anak anda, dan orang lain, dengan rasa hormat. Dengan ini, anda memberikan mesej yang lebih berkesan tentang komunikasi positif. Sentiasa konsisten dengan cara anda, bersama orang dewasa di sekeliling anda (contohnya pasangan, ibu bapa, adik-beradik, dan rakan-rakan) yang turut berperanan dalam memupuk tumbesaran anak-anak anda.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen