Pengasuhan Positif

Penyakit Pneumokokal: Adakah Anak-Anak Anda Dilindungi?

Secara global, lebih daripada 2 juta orang meninggal dunia akibat jangkitan pneumokokal setiap tahun di mana satu juta merupakan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Jangkitan pneumokokal berpunca daripada bakteria, streptococcus pneumoniae, yang biasanya dikenali sebagai pneumokokus. Jangkitan telinga tengah (atau otitis media), sinusitis dan bronkitis merupakan jangkitan pneumokokal yang tidak invasif dan tidak menunjukkan simptom teruk, tetapi lebih lazim terjadi. Manakala, meningitis (radang selaput membran saraf tunjang dan otak) dan bakteremia (jangkitan bakteria darah) adalah invasif, lebih teruk dan mengancam nyawa.

Kanak-Kanak Paling Berisiko

Semua kanak-kanak boleh dijangkiti; bagaimanapun, bayi dari sejak lahir sehingga berumur 24 bulan adalah yang paling berisiko, disebabkan paras rendah antibodi pneumokokal yang beredar di dalam darah mereka. Kanak-kanak yang mempunyai imuniti yang rendah (sama ada dilahirkan dengan sistem rendah imun kongenital atau sistem imun yang lemah berikutan jangkitan seperti HIV/AIDS atau kesan sampingan rawatan perubatan), bayi dan kanak-kanak yang pergi ke pusat asuhan, dan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik seperti asma dan penyakit jantung kongenital juga adalah di antara mereka yang paling berisiko tinggi terhadap jangkitan.

Mengesan Sesuatu Jangkitan

Simptom penyakit adakalanya bertindih, kelihatan sama seperti selsema biasa dan sesetengah simptom pula adalah tidak ketara dan sukar untuk dikesan secara keseluruhannya. Berjumpalah dengan doktor atau pakar kanak-kanak dengan segera sekiranya anak anda menunjukkan mana-mana gabungan simptom berikut atau apabila dia tidak sembuh selepas hari 3-5.

Melindungi Anak Anda Daripada Jangkitan

  1. Amalkan kebersihan yang baik di rumah dan pastikan pusat asuhan anak anda juga menjaga kebersihan premis mereka.
  2. Sekiranya anak anda sudah cukup besar, ajar dia tentang amalan kebersihan yang baik di rumah, sekolah dan di tempat awam (contohnya, membasuh tangan dengan sabun dan menutup mulut dan hidung apabila bersin).
  3. Elakkan sentuhan rapat (contohnya bercium, berpeluk, atau berkongsi peralatan makan yang sama) dengan orang yang sakit.
  4. Menyusukan bayi anda dengan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk 6 bulan pertama, mempertingkatkan nutritisi pemakanan bayi anda, dan mengelakkan pencemaran udara (merokok, api yang digunakan untuk memasak, ekzos kereta) apabila mampu.
  5. Pastikan anak anda mendapat suntikan imunisasi terhadap jangkitan pneumokokal.

Pencegahan Melalui Imunisasi

Kaedah paling berkesan untuk mencegah jangkitan pneumokokal ialah melalui imunisasi. Pada masa kini, terdapat dua jenis vaksin pneumokokal di pasaran:

  • Vaksin Pneumokokal Konjugat (PCV)
  • Vaksin Pneumokokal Polisakarida (PPSV23)

PCV disarankan untuk kanak-kanak dalam empat dos bersiri; setiap dos pada umur 2, 4 dan 6 bulan dan yang terakhir di antara 12 hingga 15 bulan. PCV boleh digunakan untuk kanak-kanak seawal usia 6 minggu, ia mencetuskan ingatan imun yang lebih baik dan membekalkan imuniti kelompok.

Apakah ‘Imuniti kelompok’?

Apabila sebahagian besar sesebuah komuniti diberi imunisasi terhadap sesuatu penyakit berjangkit, kebanyakan ahli komuniti akan dilindungi daripada penyakit tersebut termasuklah mereka yang belum diimunisasi kerana peluang untuk jangkitan merebak adalah sangat rendah.

Ia juga mengurangkan kadar penyakit pneumokokal rintang antibiotik invasif atau antibiotic-resistant invasive pneumococcal disease (IPD) dengan ketara dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kecil. Sebaliknya, PPSV23 hanya boleh digunakan untuk kanak-kanak berusia lebih daripada 2 tahun. Bagaimanapun, anda harus mendapatkan nasihat doktor mengenai vaksin yang terbaik untuk anak anda.

Bagi mereka yang pernah dijangkiti dan mendapat jumlah imuniti yang terhad, ia mungkin tidak mencukupi untuk melindungi mereka daripada jangkitan seterusnya. Oleh sebab itu, jadual imunisasi terhadap jangkitan pneumokokal amat disyorkan. Mendapatkan vaksin influenza pada setiap tahun juga adalah penting kerana jangkitan flu meningkatkan peluang anda untuk dijangkiti penyakit pneumokokal.

PCV tidak tergolong di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, tetapi ia boleh didapati di hospital kerajaan dan swasta, serta klinik-klinik terpilih di seluruh negara. Dapatkan maklumat lanjut mengenai vaksin daripada doktor anda dan berikan anak anda suntikan imunisasi hari ini.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen