Pengasuhan Positif

Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual

Membesarkan anak yang kurang upaya intelektual mungkin merupakan satu tugas yang amat sukar dan menggentarkan. Terdapat pelbagai cabaran yang anda akan lalui dan untuk memberikan anak anda kasih sayang dan bimbingan, anda sebagai ibu bapa perlu menerima dirinya dahulu. Dengan sokongan, bimbingan dan persiapan yang betul, anda pasti boleh mengatasi cabaran tersebut. Anda juga perlu pelajari kemahiran yang diperlukan untuk mengurus kelakuan dan perangai yang sukar, menghadapi stres anak anda agar dapat hidup bersama dengan bahagia.

Memahami Penyakitnya

Dengan memahami spektrum kurang upaya intelektual, ibu bapa tahu apa untuk dijangka dan apa yang perlu dibuat untuk didikan dan masa depan anak tersebut.

Ibu bapa anak kurang upaya intelektual atau intellectual disability (ID) berhadapan dengan stres setiap hari melihat anak mereka bekerja keras; walaupun melakukan tugasan yang paling mudah. Ia merupakan satu keadaan yang kekal sepanjang hayat dan oleh sebab itu, ramai ibu bapa akan berasa sedih, marah, dan kecewa. Adakalanya, perasaan ini menjurus kepada rasa bersalah, putus harapan, dan juga kemurungan. Meskipun berperasaan demikian, di dalam hati mereka tetap rasa kasih sayang yang mendalam dan mahu melihat anak mereka mencapai potensi maksimum serta berharap agar mereka akan hidup menjadi individu yang berdikari.

Apakah Kurang Upaya Intelektual?

The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5) yang diterbitkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika Syarikat mentakrifkan ID sebagai satu masalah perkembangan yang bermula semasa zaman kanak-kanak dan bercirikan defisit ketara dalam kedua-dua fungsi intelektual dan tingkah laku adaptif, termasuk kemahiran konseptual, sosial dan praktikal.

Diagnosis DSM-5 bagi ID dilakukan oleh seorang pakar perubatan terlatih (contohnya pakar psikiatri, pakar kanak-kanak atau pakar psikologi klinikal) dan melihat pada tiga kriteria berikut:

  1. Defisit fungsi intelektual yang disahkan oleh penilaian klinikal dan ujian kecerdasan individu terpiawai (contohnya taakulan, menyelesaikan masalah, merancang, pemikiran abstrak, menilai, pembelajaran akademik, dan belajar daripada pengalaman),
  2. Defisit fungsi adaptif (keupayaan untuk memandu arah mengatasi desakan atau cabaran kehidupan harian dengan berkesan) yang tidak normal bagi peringkat perkembangan seorang kanak-kanak dari segi kebolehan untuk berdikari dan keupayaan untuk memenuhi tanggung jawab sosial; dan
  3. Permulaan defisit-defisit tersebut dalam zaman kanak-kanak.

ID bukannya satu kecelaruan mental. Bagaimanapun, terdapat peningkatan risiko kecelaruan mental yang terjadi bersama dalam seseorang yang didiagnos mengalami ID. Ia sering dikaitkan dengan kecelaruan komunikasi, ketakupayaan pembelajaran, palsi serebrum, sawan dan pelbagai penyakit yang diturunkan melalui genetik (contohnya skizofrenia, kemurungan, dan gangguan kurang tumpuan atau ADHD).

Punca & Simptom ID

Kurang upaya intelektual boleh berpunca dari sebarang keadaan yang mengganggu perkembangan otak sebelum lahir, ketika lahir atau dalam zaman kanak-kanak. Punca paling lazim kurang upaya intelektual ialah:

  • Penyakit genetik. Ini termasuk penyakit seperti Sindrom Down dan sindrom Fragile X.
  • Masalah semasa hamil. Penggunaan alkohol atau dadah, malnutrisi, atau pre eklampsia.
  • Masalah ketika melahirkan anak. Kekurangan oksigen semasa kelahiran, kelahiran pra matang atau kurang berat lahir.
  • Penyakit atau kecederaan. Jangkitan seperti meningitis, kecederaan kepala teruk, hampir lemas, terdedah kepada bahan toksik seperti plumbum, dan pengabaian atau penganiyaan.

Dalam dua per tiga daripada semua kanak-kanak kurang upaya intelektual, puncanya tidak diketahui.

Tanda-tanda dan simptom ID boleh mula muncul semasa peringkat bayi, atau tidak ketara sehingga seorang kanak-kanak mencapai umur masuk sekolah. Dalam mana-mana kes, kebanyakannya bergantung kepada tahap ketidakupayaan. Simptom lazim termasuk:

  • Perkembangan bahasa yang lambat bagi umur.
  • Lambat duduk, merangkak atau berjalan.
  • Kesukaran mengingat.
  • Tidak berupaya untuk mengaitkan tindakan dengan akibat.
  • Masalah tingkah laku seperti tiba-tiba membuat perangai tanpa provokasi.
  • Kesukaran menyelesaikan masalah atau pemikiran logik.

Menjaga Anak Anda

Tiada penyelesaian pantas bagi ID; ia merupakan perjuangan sepanjang hayat. Tetapi, seperti semua ibu bapa, anda mempunyai sepanjang hidup untuk melengkapkan anak anda dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk hidup sendiri dan berkembang maju. Ingat sahaja untuk:

Lupakan Apa Orang Lain Katakan

Stigma mungkin menyumbang kepada kesihatan psikologi yang rendah dengan meningkatkan tekanan psikologi dan mengurangkan kualiti hidup. Jangan biarkan stigma ID menggagalkan anda atau anak anda. Pastikan dia berintegrasi sepenuhnya dengan komuniti mereka. Beri sokongan kepadanya, dengar pada mereka, sayangi mereka dan memperkasakan mereka.

Libatkan Diri Secara Aktif

Ahli keluarga perlu mengambil bahagian dalam membuat keputusan tentang perkhidmatan dan tidak takut untuk bersuara serta menyokong kanak-kanak atau orang dewasa ID. Semakin aktif penglibatan ahli keluarga, semakin kurang mereka berasa tidak berupaya. Apabila ibu bapa semakin terlibat dalam penjagaan anak-anak mereka, semakin kurang kemungkinan anak mereka perlu dimasukkan ke institusi. Mereka juga lebih kemungkinan akan menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

Minta Bantuan

Jangan takut meminta bantuan dan sokongan daripada ahli keluarga. Sesetengah ibu bapa berasa malu untuk meminta bantuan kerana takut ditolak atau orang tidak memahami keadaan mereka. Anda akan terkejut betapa banyak bantuan orang akan berikan jika anda memintanya. Jaringan sokongan keluarga yang positif membolehkan ibu bapa mempunyai seseorang yang mereka boleh minta bantuan dan bergantung. Kumpulan sokongan ibu bapa tempatan, persatuan, NGO di kawasan juga menjadi sumber sokongan dan kekuatan dalam melobi untuk perkhidmatan.

Mulakan Rawatan Awal

Intervensi awal membantu memaksimumkan potensi kanak-kanak dan meminimumkan beban penyakit. Pengalaman awal seorang kanak-kanak memainkan peranan kritikal dalam perkembangan otak. Ia juga diperkukuhkan oleh hubungan yang stabil dengan orang dewasa yang penyayang dan responsif, persekitaran yang selamat dan menyokong, dan pemakanan yang sesuai.

Luangkan Sedikit Masa “Saya”

Menjaga seorang kanak-kanak ID banyak memberi tekanan kepada mana-mana ibu bapa. Keperluan anda juga perlu dijaga. Dapatkan rehat secukupnya; makan dengan baik; luangkan masa untuk diri sendiri; dan berhubung dengan orang lain untuk mendapatkan sokongan emosi. Dapatkan ahli keluarga lain atau kawan untuk mengambil alih tempat anda sementara anda menikmati sedikit masa berjauhan.

Seperti kanak-kanak lain, kanak-kanak ID berkembang dan belajar pada kadar yang berbeza dan cara yang berlainan. Apa yang penting adalah untuk anda terus bersabar dan memberi sokongan dengan penuh kasih sayang, serta berusaha sedaya upaya untuk membantu anak anda mengasah kebolehan adaptifnya agar dia boleh mencapai potensi hidup sepenuhnya. Dengan bantuan anda dan mereka di sekeliling anda, anak anda akan menjalani kehidupan yang gembira dan memuaskan.

Baca Seterusnya

Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual: Pendidikan & Latihan

Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual: Penyakit Mental Yang Terjadi Bersama Kurang Upaya Intelektual

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen