Pengasuhan Positif

Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual: Pendidikan & Latihan

Kanak-kanak yang mengalami kurang upaya intelektual atau intelectual disability (ID) boleh belajar dan maju, tetapi lebih perlahan menguasai kemahiran baru. Kanak-kanak ini akan kekal dengan ketidakupayaan dalam pembelajaran dan kemahiran hidup berdikari di sekolah dan sebagai orang dewasa.

Kesan pada kanak-kanak yang mengalami ID yang diketahui punca contohnya: ralat metabolisme pra lahir, Sindrom Down, dan lain-lain harus dibincang dengan doktor, memandangkan ia berbeza mengikut jenis masalah dan keseriusan ID. Jadual berikut menunjukkan kesan sebagai orang dewasa berdasarkan IQ dewasa.

Sokongan Di Sekolah

Menempatkan seorang kanak-kanak kurang upaya intelektual dalam kelas ‘aliran umum’ tanpa memahami dan mengambil tahu keperluan individu mereka, tidak dapat menjamin pendidikan yang sempurna, saksama dan inklusif untuk mereka. Mereka akan berasa sukar mengikuti kurikulum pendidikan umum.

Masalah tingkah laku dan keresahan akan berlaku sekiranya:

  • kanak-kanak bosan dalam kelas
  • kurikulum terlalu mencabar
  • jangkaan tidak realistik oleh orang dewasa
  • dibuli

Dalam kelas pendidikan khas, kanak-kanak perlu diberi peluang untuk melibatkan diri, contohnya semasa pendidikan seni, pendidikan fizikal dan muzik. Ramai kanak-kanak yang mengalami ID ringan dan sesetengah yang mengalami ID sederhana boleh menguasai sedikit kebolehan membaca. Guru pendidikan khas menggunakan gabungan strategi – kesedaran fonemik (bunyi huruf dan suku kata), pengecaman perkataan, kefahaman, dan bahasa lisan. Adalah penting untuk memahami bahawa kanak-kanak ID bukan ‘nakal’, ‘degil’ atau ‘bodoh’, tetapi mereka benar-benar mempunyai kesukaran untuk belajar dan menguasai kemahiran baru. Bersabar, kekal positif dan berikan ganjaran bagi tingkah laku yang baik dan usaha yang dilakukan.

Membina Kemahiran Hidup

Walaupun perkembangan akademik adalah penting, ibu bapa tidak harus mengabaikan perkembangan kemahiran adaptif anak mereka (juga dipanggil kemahiran kefungsian atau hidup). Latihan kemahiran hidup merupakan salah satu intervensi terpenting bagi orang kurang upaya intelektual. Kemahiran hidup termasuk kemahiran penjagaan diri seperti makan, memakai baju dan mandi, serta kemahiran aktiviti harian seperti membeli-belah, urusan bank, penggunaan telefon dan mengemas rumah. Keupayaan untuk melakukan perkara ini dengan sendiri membantu penyediaan mereka untuk hidup berdikari.

Apa yang anda boleh lakukan dari awal adalah dengan melibatkan mereka dalam aktiviti harian di rumah kerana ini membolehkan mereka untuk:

  • Mempelajari kemahiran baru dan membina sifat berdikari
  • Berasa dihargai, berguna dan dihormati
  • Menjadi lebih aktif dan mengambil bahagian
  • Memperbaiki kemahiran komunikasi
  • Menjelajahi, memilih dan meningkatkan keazaman diri.

Petua untuk mengajar kemahiran hidup

  • Mula mengajar satu kemahiran baru apabila anak anda menunjukkan minat atau dia sudah bersedia. Bantu anak anda memahami tujuan sesuatu aktiviti dan langkah-langkah yang terlibat. Ini membantunya mempelajari kemahiran tersebut dengan lebih mudah.
  • Ajar satu kemahiran langkah demi langkah dengan membahagikannya. Mandi, sebagai contoh:
    1. Menanggalkan pakaian
    2. Memakai tuala
    3. Membuka air mandian
    4. Memberus badan dengan sabun dan membilas
    5. Mengeringkan badan menggunakan tuala
  • Wujudkan rutin untuk memudahkan anak anda belajar kemahiran hidup harian dan menjadi lebih berdikari.
  • Guna gambar sesuatu aktiviti mengikut aturan dan aturkan bila ia akan berlaku setiap hari. Ini adalah satu cara yang baik untuk menggalakkan anak anda berdikari dan membantunya belajar aktiviti rutin.
  • Beri maklum balas secara langsung dan serta-merta untuk membentuk hubungan antara sebab dan kesan.

Mengajar Kesihatan Seksual & Kesedaran

Kanak-kanak kurang upaya intelektual adalah 5 kali lebih berkemungkinan menjadi mangsa penganiayaan seksual berbanding individu yang membesar secara normal. Ibu bapa dan pendidik merupakan individu utama yang memberi maklumat mengenai kesihatan reproduksi dan kesihatan seks. Pendidikan seks adalah bahagian penting dalam pencegahan penganiayaan seksual. Tidak terlalu awal untuk mengajar anak anda tentang bahagian “sulit” tubuh mereka yang tidak harus didedah atau disentuh oleh orang lain. Garis panduan am bagi ibu bapa boleh diperolehi dari www. myhealth.gov.my/en/sexual-health-for-special-adolescent/.

Bantuan Kerajaan bagi Mereka yang Mengalami ID

Semua kanak-kanak yang didiagnosis sebagai ID atau ‘kurang upaya intelektual’ layak mendapat ‘kad kanak-kanak kurang upaya’. Rawatan di hospital kerajaan adalah percuma, dan kanak-kanak yang berdaftar di sekolah kerajaan sejak Darjah 1 layak menerima RM150 sebulan (daripada Kementerian Pendidikan). Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Jabatan Kebajikan www.jkm.gov.my.

Orang yang Ingin Membantu Anda Berada di Sana

Terdapat banyak pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan (NGOs) yang mempunyai maklumat dan sumber bagi individu yang mengalami ID.

  • Pusat maklumat dan sokongan orang kurang upaya Kiwanis: Maklumat mengenai profesional, ahli terapi, pusat intervensi awal, klinik kerajaan, pendidikan dan perkhidmatan sosial: www.disabilitymalaysia.com
  • Malaysian Information Network on Disabilities: www.mind.org.my
  • Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan: runs programs for individuals with intellectual disability throughout the lifespan, including early intervention, special needs school, a sheltered workshop and vocational training: mysamh.org
  • Malaysian Care: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai beberapa program untuk kanak-kanak yang mengalami kurang upaya perkembangan: www.malaysiancare.org
  • United Voice: persatuan di Malaysia terulung yang diketuai oleh individu yang mengalami kurang upaya pembelajaran. Persatuan ini menjalankan program latihan pekerjaan dan latihan vokasional untuk penempatan pekerjaan: www.unitedvoice.com.my

Adalah penting untuk mengingati bahawa mereka yang mengalami ID juga mempunyai kekuatan yang tidak harus dipandang ringan. Intervensi awal yang sesuai dengan keperluan khusus seseorang individu akan memberi kesan yang berbeza. Pendidikan khas, program vokasional dan sokongan komuniti akan membuahkan hasil positif dalam kehidupan di masa akan datang. Dengan rawatan yang betul, seorang yang kurang upaya intelektual boleh menjalani kehidupan yang sempurna dan produktif.

Baca Seterusnya

Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual

Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual: Pendidikan & Latihan

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen