Pengasuhan Positif

Memastikan Keseimbangan Mikrobiota Usus untuk Kesihatan yang Lebih Baik

Mikrobiota usus merujuk kepada komuniti mikroorganisma yang hidup di dalam sistem penghadaman. Mikroorganisma ini boleh mempengaruhi kesihatan dan membantu mengawal sistem imun kita.

Keseimbangan mikrobiota usus adalah penting kerana bakteria baik di dalam sistem penghadaman memainkan peranan penting seperti:

  • Menguatkan sistem imun – sistem penghadaman merupakan salah satu barisan pertahanan yang penting terhadap penyakit. Bakteria baik berperanan penting membantu melawan toksin dan jangkitan dari mikroorganisma berbahaya.
  • Penyerapan nutrien – bakteria baik membantu memaksimumkan penyerapan nutrien dengan membantu badan meleraikan makanan kepada komponen yang mudah diserap.

Sebaliknya, mikrobiota usus yang tidak seimbang boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti cirit-birit, sindrom usus rengsa atau sembelit, masalah jantung, jangkitan dan kanser.

Kesemua faktor ini memainkan peranan dalam memastikan kualiti hidup anak anda. Oleh itu, memiliki mikrobiota usus yang seimbang akan memastikan kesihatan usus yang lebih baik.

Permulaan mikrobiota usus

Bayi anda akan mendapat ‘dos’ microflora usus yang pertama daripada ibu dan persekitarannya. ‘Pembenihan’ awal mikrobiota usus (iaitu ketika bersalin dan melalui susu ibu) memainkan peranan penting bukan sahaja untuk tumbesarannya tetapi juga ketika dewasa. Mikrobiota usus bayi merangkumi campuran pelbagai jenis bakteria, contohnya Bifidobacteria dan bakteria asid laktik seperti Lactobacillus, di mana kedua-duanya merupakan jenis bakteria baik yang boleh diperolehi sejak lahir atau daripada makanan yang kaya probiotik. Kajian menunjukkan nisbah Lactobacillus dan Bifidobacteria di dalam bayi yang menyusu adalah sebanyak 2:8.

Selain membekalkan pemakanan yang diperlukan oleh bayi, susu ibu juga mengandungi prebiotik (makanan untuk bakteria baik) dalam bentuk oligosakarida yang menggalakkan pertumbuhan kumpulan bakteria baik tertentu. Kajian telah menunjukkan bahawa mikrobiota usus bayi yang diberi susu ibu adalah lebih stabil dan sekata berbanding bayi yang diberi susu formula, dan bakteria jahat juga kurang membiak di dalam usus mereka.

Menggalakkan Pertumbuhan Bakteria Baik

Bagi membantu bayi atau anak-kecil anda mencapai mikrobiota usus yang seimbang, anda hendaklah memastikan mereka mengambil makanan yang kaya dengan prebiotik dan probiotik dengan secukupnya. Prebiotik merupakan makanan kepada probiotik, atau bakteria baik di dalam sistem penghadamannya.

Sebaik sahaja bayi anda tidak lagi menyusu susu ibu, anda boleh terus mengekalkan mikrobiota usus yang baik untuk anak anda melalui:

Sediakan diet / pemakanan yang sihat: tidak kira jika anda memulakan pemberian makanan pelengkap atau menyediakan makanan biasa untuk anak anda yang lebih tua, pastikan anda menyediakan makanan yang sihat dan kurangkan makanan/minuman bergula dan makanan ringan. Bagi anak yang lebih tua, pastikan anda menyediakan makanan bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran kepada mereka. Memberi anak anda nutrien yang cukup bersama serat adalah penting untuk memperoleh diet atau pemakanan seimbang dan sihat.

Pastikan dia makan lebih buah-buahan dan sayur-sayuran: Ini adalah sumber antioksidan, fitokimia, vitamin dan mineral yang baik. Sesetengah buah dan sayur juga merupakan sumber prebiotik, seperti pisang, asparagus, bawang putih dan bawah merah. Lentil juga mempunyai galakto-oligosakarida (GOS), yang menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan menghalang bakteria tidak baik.

Beri lebih banyak makanan kaya probiotik: sumber probiotik yang baik termasuk produk tenusu yang difermentasi (seperti yogurt, minuman susu kultur), produk soya yang ditapai (seperti tempe), kimchi dan jeruk. Periksa kandungan gula dan garam di dalam produk komersial untuk mengelakkan anak anda makan gula atau garam berlebihan.

Pastikan dia mendapat tidur yang cukup: Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan tidur yang cukup bagi memastikan kesihatan dan tumbesaran mereka tidak terjejas. Pada tahun 2016, satu kajian telah mengkaitkan kekurangan tidur dengan perubahan mikrobiota usus yang seterusnya meningkatkan risiko obesiti dan diabetes jenis 2.

Kesihatan individu boleh dipengaruhi oleh kepelbagaian mikroorganisma yang terdapat di dalam usus. Ianya penting untuk mengawal perkembangan sistem imuniti dan usus dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, pastikan anak anda mendapat permulaan yang baik di dalam kehidupan, bukan hanya dari sejak lahir (bersalin dan penyusuan ibu), tetapi juga ketika dia membesar agar kuat dan sihat dengan mengamalkan petua berikut.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen