Tempoh tidur secara tetap yang cukup mengikut umur membawa kepada peningkatan daya tumpuan, tingkah laku, pembelajaran, daya ingatan, kawalan emosi, kualiti hidup, serta kesihatan mental dan fizikal. Menurut Akademi Pediatrik Amerika Syarikat, bayi berumur 4 bulan hingga 2 tahun perlu tidur 11-16 jam sehari (termasuk tidur sekejap) secara tetap, untuk menggalakkan kesihatan optimum.
Namun begitu, masa yang seharusnya tenang untuk bayi berehat boleh cepat berubah menjadi satu mimpi buruk sekiranya amalan tidur yang selamat tidak diambil serius oleh ibu bapa atau pengasuh. Kanak-kanak boleh tercedera atau lebih teruk, meninggal dunia (iaitu, berpunca daripada Sindrom Bayi Mati Mengejut) akibat amalan dan persekitaran yang tidak selamat.
Sindrom Bayi Mati Mengejut atau Sudden Infant Death Syndrome (SIDS)
SIDS ialah kematian yang tidak diketahui punca, seorang bayi yang kelihatan sihat, biasanya ketika tidur. Ia lazimnya terjadi pada umur antara 1 dan 4 bulan dan kebanyakan (90%) kematian SIDS berlaku sebelum bayi mencapai umur 6 bulan. Adakalanya, SIDS dikenali sebagai kematian kot kerana sering kali bayi meninggal di dalam kot atau katil mereka. Walaupun jarang berlaku di negara Asia berbanding negara Barat, adalah lebih baik untuk berhati-hati.
Berikut ialah cara anda boleh memastikan bayi anda selamat semasa tidur:
Tidur telentang
Bagi mengurangkan risiko SIDS, bayi hendaklah ditidurkan telentang sehingga mencapai umur 1 tahun – begitu juga bayi pra matang. Elakkan daripada menidurkan bayi secara meniarap di atas perut kerana ia tidak selamat dan meningkatkan risiko SIDS.
Permukaan Tempat Tidur yang Kukuh
Guna tilam yang kukuh dan alas katil yang tidak mengikut bentuk kepala bayi apabila bayi diletakkan di atasnya. Pastikan tiada permainan di persekitaran tempat tidur bayi dan alas katil yang lembut atau longgar, selimut lebih besar daripada yang diperlukan atau terlalu banyak bantal dan bantal peluk. Peratusan besar bayi yang meninggal dunia akibat SIDS ditemukan dengan kepala mereka tertutup oleh peralatan tempat tidur yang longgar.
Pakaian Tidur
Pakaikan bayi anda pakaian tidur yang ringan, tidak terlalu tebal yang anda sendiri tidak akan pakai dalam suhu yang sama. Buang semua tali yang terdapat pada baju tidur dan jangan tutup kepala bayi. Pastikan suhu bilik selesa bagi anda dan bayi tidak terlalu panas atau sejuk – terlalu panas boleh meningkatkan risiko SIDS.
Bebas bahaya
Jauhkan kawasan tempat tidur daripada bahaya seperti tali terjuntai, wayar elektrik dan tali penutup tingkap kerana ia boleh menjadi risiko tercekik.
Tidur Berasingan
Bayi tidak harus diletak di atas katil dewasa bersama ibu bapa kerana ada risiko terperangkap dan lemas. Terdapat juga risiko bayi tertindih oleh orang dewasa yang tidur di atas katil yang sama. Selain itu, rel katil (bed railing) mudah alih tidak seharusnya digunakan bagi bayi, kerana ada risiko terperangkap dan tercekik.
Tempatkan katil bayi anda berhampiran dengan katil anda supaya dia mudah dilihat dan dicapai sekiranya terjadi sesuatu. Jika anda perlu menyusukan bayi di atas katil, pindahkan dia ke katilnya apabila and hendak tidur.
Tidur Semasa Dalam Perjalanan
Peralatan tempat duduk, seperti tempat duduk kereta untuk kanak-kanak, kereta sorong, buaian, infant carrier dan gendong bayi, tidak disarankan sebagai tempat tidur rutin terutama bagi bayi kecil. Elakkan daripada tidur di atas sofa atau kerusi berlengan bersama bayi anda dan jangan tinggalkan bayi anda tanpa diawasi ketika mereka tidur.
Penyusuan Susu Ibu Mengurangkan Risiko
Penyusuan susu ibu dikaitkan dengan pengurangan risiko SIDS dan kesan perlindungan penyusuan susu ibu meningkat dengan penyusuan secara eksklusif. Ibu-ibu disarankan untuk menyusukan bayi dengan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya bagi 6 bulan pertama kehidupan. Bagaimanapun, jangan bimbang jika anda tidak dapat menyusukan bayi anda secara eksklusif kerana sebarang penyusuan susu ibu telah dibuktikan dapat melindungi bayi daripada SIDS berbanding tiada penyusuan susu ibu langsung.
Elakkan Alkohol, Dadah dan Tembakau
Penggunaan alkohol dan dadah haram semasa hamil dan selepas kelahiran harus dielakkan. Bayi kepada ibu yang mengambil alkohol semasa hamil mempunyai berat lahir yang lebih rendah, lebih kemungkinan dilahirkan pramatang, saiz lebih kecil dan menunjukkan defisit dan kurang respons perkembangan – faktor tersebut meningkatkan risiko SIDS dan juga kecederaan.
Sementara itu, ibu yang merokok semasa hamil dan masih merokok di persekitaran bayi selepas lahir juga adalah faktor risiko utama bagi SIDS. Risikonya adalah sangat tinggi apabila bayi tidur di atas katil bersama orang dewasa yang merokok, walaupun apabila orang dewasa tersebut tidak merokok di atas katil.
Dalam satu penyelidikan tempatan mengenai kecederaan tidak sengaja dan pencegahannya dalam kalangan bayi, penulisnya terkejut kerana mendapati bahawa walaupun ramai ibu bapa Malaysia mempunyai pengetahuan tentang langkah-langkah keselamatan semasa tidur, mereka memilih untuk tidak mengamalkannya. Ini menunjukkan bahawa pengetahuan tentang langkah-langkah tersebut sahaja tidak mencukupi. Anda mesti bertindak sekarang, lama kelamaan, ia akan menjadi satu tabiat semula jadi yang berfaedah apabila anda mempunyai lebih ramai anak.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen