Pengasuhan Positif

Beri Inspirasi Kepada Anak-Anak untuk Makan Secara Sihat!

Kajian Persatuan Pemakanan Malaysia pada tahun 2013 yang menilai tabiat sarapan pelajar sekolah di Malaysia berumur 6 hingga 17 tahun (seperti dalam artikel utama terbitan ini) mendedahkan bahawa 28% daripada pelajar sekolah adalah berlebihan berat badan atau obes.

Kanak-kanak obes lebih cenderung menjadi dewasa yang obes. Obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa masalah kesihatan seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, kanser dan penyakit tidak berjangkit lain. Selain itu, obesiti dan berlebihan berat badan dalam kanak-kanak juga berkait dengan keresahan dan kemurungan. Ini boleh membawa kepada rasa rendah diri dan kualiti hidup yang rendah secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi ibu bapa untuk mula mengajar anak mereka tentang pemakanan sihat (dan gaya hidup sihat amnya) dari awal lagi. Tabiat makan yang baik, jika diamalkan sejak kecil berkemungkinan besar akan kekal dan diteruskan ke alam dewasa.

Berikut adalah beberapa tip menyeronokkan dan cara untuk menggalak dan memberi inspirasi kepada anak anda untuk makan secara sihat.

1. Masak bersama-sama

  • Melakukan sesuatu bersama anak anda merupakan cara terbaik untuk mengeratkan hubungan.
  • Masak bersama di hujung minggu atau bila anda mempunyai masa. Jangan paksa diri melakukannya kerana ini akan menghilangkan minat dan anda serta anak merasa berputus asa. Rancang dan sediakan bahan lebih awal, ini dapat membantu!
  • Ia peluang yang baik untuk anda mendidik anak anda tentang cara memasak, menu, ramuan yang digunakan, penyediaan makanan, kebersihan makanan, peralatan yang digunakan, prinsip makan secara sihat dan tabiat makan yang baik.
  • Cipta resepi sihat baharu dan cuba ramuan baharu bersama sama.
  • Galakkan anak anda mencuba sesuatu yang baharu bersesuaian umurnya (dengan penyeliaan yang sewajarnya); menggaul dan membentuk bebola daging, mengisar rempah menggunakan batu lesung, menumbuk bawang putih, menggaul salad, mengupas sebiji epal, melenyek kentang, dll.
  • Hiaskan pinggan makan dengan makanan daripada pelbagai tekstur, warna dan rasa supaya nampak menyelerakan. Terdapat banyak idea seronok dan kreatif yang anda boleh dapati dari internet untuk membantu anda.
  • Kumpulkan dan simpan buku resepi keluarga, termasuk foto hidangan bagi resepi kegemaran keluarga anda.

2. Bermain Permainan

  • Sentiasa didik dan tanamkan ilmu berkaitan pemakanan sihat.
  • Anda boleh mendorong tabiat memilih makanan sihat dengan mendidik anak dengan permainan menyeronokkan.
  • Contohnya, apabila pergi membeli-belah di pasaraya, bawa anak anda bersama dan minta mereka mencari pilihan makanan yang lebih sihat dengan membaca maklumat pemakanannya.
  • Atau, apabila anda selesai membeli-belah, lakukan permainan di mana anak anda perlu menyusun makanan mengikut aras dalam Piramid Makanan.

3. Adakan Kebun Keluarga

  • Kanak-kanak akan lebih ingin menikmati hasil titik peluh mereka sendiri.
  • Ini merupakan peluang baik untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
  • Ia mengajar kanak-kanak dari mana datangnya makanan segar dan menarik minat mereka tentang makanan berkhasiat.
  • Proses menanam makanan sendiri membuat mereka lebih menghargainya. Ia juga masa yang baik untuk mendidik anak-anak mengenai pemakanan sihat.
  • Contoh makanan yang mudah ditanam dan tidak memerlukan banyak ruang termasuk tomato, kacang bendi, cili, daun bawang, dan tauge.

4. Berikan Ganjaran

  • Adakan satu jadual di mana anak anda boleh memangkah makanan/minuman yang mereka telah makan pada sesuatu hari itu.
  • Jika mereka berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan, anda boleh berikan ganjaran seperti lawatan ke zoo atau berbasikal di sekitar kejiranan, pergi ke taman, melakukan sesuatu yang seronok yang melibatkan aktiviti fizikal. Jangan sesekali menggunakan makanan sebagai hadiah atau ganjaran!
  • Sasaran boleh ditetapkan mengikut jumlah sajian setiap hari seperti yang disarankan di dalam Piramid Makanan Malaysia.
  • Apabila merancang hidangan, jangan lupa untuk menggabungkan prinsip B.M.V.

Apa yang paling penting adalah kita mahu anak-anak membuat keputusan pemakanan yang bijak. Justeru, mempelajari mengenai pemakanan sihat adalah sangat penting. Bagi merealisasikan hasrat ini, ibu bapa harus menjadi teladan baik dan makan secara sihat. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku membeli belah yang baik disamping mempraktikkan cara seronok untuk mendidik dan meningkatkan kemahiran membuat pilihan pemakanan baik sepanjang hayat.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen