Pengasuhan Positif

Mendapat Faedah Susu Sepenuhnya

Susu dan produk tenusu merupakan sumber terbaik bagi banyak nutrien penting yang kritikal bagi pertumbuhan dan perkembangan sempurna anak anda. Selain daripada membekalkan anak anda dengan tenaga (kalori), susu adalah makanan yang padat dengan nutrien dan mengandungi nutrien penting seperti kalsium, protein, vitamin A, D, dan B2 (Riboflavin).

Namun begitu, beberapa kajian di Malaysia mendapati bahawa pengambilan produk susu adalah berkurangan di dalam diet kanak-kanak dan remaja. Apabila kanak-kanak membesar, mereka mempunyai kecenderungan untuk mengurangkan pengambilan susu. Malangnya, trend ini juga dipadankan dengan peningkatan pengambilan minuman yang kurang berkhasiat (contohnya, minuman berkarbonat, kordial, minuman buah, dll). Trend ini membimbangkan ekoran daripada masalah semasa seperti obesiti kanak-kanak dan malnutrisi (contohnya, kekurangan pengambilan nutrien penting atau berlebihan gula).

getting-the-full-benefits-of-milk-1jpg

Secara purata, mereka mengambil kurang daripada dua sajian susu sehari, (1 sajian = 1 gelas), iaitu kurang daripada saranan Panduan Diet Malaysia (Panduan Diet Malaysia, diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan). Panduan Diet Malaysia menyarankan pengambilan di antara dua hingga tiga sajian setiap hari.

Maka, ia adalah idea yang baik untuk menggalakkan anak anda untuk mengambil susu dan produk susu mengikut jumlah yang disarankan. Dengan mewujudkan tabiat minum susu awal, ia membantu memastikan anak anda akan meneruskan tabiat ini sehingga dewasa.

mendapat-faedah-susu-sepenuhnya

Seperti kata pepatah, sarapan adalah sajian utama paling penting. Ini disokong dengan hasil kajian yang baru berakhir, Kajian MyBreakfast dalam kalangan Kanak-kanak sekolah: Penemuan, Implikasi & Penyelesaian (MyBreakfast Study of School Children: Findings, Implications & Solutions); satu kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) yang mendedahkan beberapa fakta membimbangkan:

  1. 1 dalam 4 kanak-kanak melangkau sarapan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu,
  2. mereka yang tidak mengambil sarapan adalah 1.34 kali lebih berkemungkinan mengalami berlebihan berat badan,
  3. kurang daripada separuh kanak-kanak yang ditinjau (29.9% kanak-kanak perempuan dan 41.2% kanak-kanak lelaki) mencapai sekurang-kurangnya 80% daripada saranan pengambilan nutrien bagi kalsium.

Dengan menjadikan susu sebahagian daripada sarapan anak anda, anda boleh memastikan dia memperolehi kebaikan susu. Oleh kerana susu boleh dibungkus dan dibawa sebagai bekalan, ia pastinya pilihan yang mudah untuk sarapan. Selain itu, ia juga boleh digabungkan dengan makanan lain untuk membekalkan anak anda dengan tenaga dan nutrien yang dia perlukan. Ini akan memudahkan anak anda mencapai saranan pengambilan nutriennya. Sebagai bonus tambahan, memenuhi keperluan nutrien harian akan juga membantu anak anda mencapai potensi akademik sepenuhnya kerana dia dapat memberi perhatian dan tumpuan yang lebih baik di dalam kelas di sekolah.

getting-the-full-benefits-of-milk-3

Menghidangkan susu

Terdapat banyak cara untuk menggalakkan anak anda minum lebih banyak susu, seperti:

  • hidangkannya sejuk – sejukkan susu anak anda di dalam peti sejuk atau tambah beberapa kiub ais sebelum dihidangkan.
  • susu kocak – guna susu yang telah disejukkan dan kisar di dalam pengisar/pemproses makanan bersama sedikit ais. Jadi lebih kreatif dan tambah buah atau serbuk coklat.
  • guna susu semasa memasak – anda boleh tambah susu ke dalam resepi anda, contohnya, tambah susu dalam biskut, puding, susu kocak, smoothie, sup cendawan/ayam untuk menjadikan ia lebih berkrim. Anda juga boleh membuat telur masak hancur dengan menambah lebih susu ke dalam telur sebelum memasaknya. Satu lagi pilihan bagi resepi yang menggunakan santan ialah dengan hanya menggantikannya dengan susu.
  • apabila menyediakan minuman di rumah, jangan guna susu pekat manis – guna susu segar, UHT atau susu tepung.
  • jika anak anda mengalami intolerans laktosa, anda boleh membuat susu atau produk susu yang lebih mudah diterima oleh anak anda. Berikan anak anda susu dalam jumlah yang kecil atau lebih baik lagi, berikan produk tenusu yang bebas laktosa. Sebagai ganti, anda boleh memberinya produk susu yang difermentasi, contohnya, yogurt, keju, minuman yogurt atau hidangkan susu sedikit-sedikit (anggaran ½ cawan) secara berkala sepanjang hari.
  • susu berperisa adalah pilihan yang boleh diterima jika ia membuat anak anda minum lebih banyak susu.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen