Pengasuhan Positif

Adakah Anak Anda Bersedia untuk Menghadapi Cabaran Dunia?

Sekolah merupakan peringkat seterusnya dalam kehidupan anak anda yang memberi kesan ketara dalam membentuk minat, kebolehan, identiti, personaliti, dan hubungan sosial mereka serta perkara-perkara penting yang lain seumpamanya. Alam persekolahan amat penting dalam kehidupan mereka kerana ia memberi gambaran awal tentang dunia sebenar yang penuh dengan perkara yang tidak diketahui. Benar, ia satu perasaan yang menakutkan bagi sesetengah kanak-kanak, namun satu peluang yang mengujakan untuk pertumbuhan mereka. Kemampuan untuk menghadapi dan beralih dengan baik ke alam persekolahan akan memberi kelebihan kepada anak anda untuk mereka cemerlang dalam kehidupan sehingga dewasa.

Tidak perlu dikatakan lagi, lonjakan ke arah alam persekolahan memerlukan kesediaan mental, fizikal dan sosial yang boleh dididik dan dipupuk terlebih dahulu di rumah sejak dari bayi. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan anak anda disediakan dan dilengkapi dengan semua ini serta kemahiran lain yang mereka perlukan untuk melakukan yang terbaik dan mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Persediaan Mental Anak Anda Untuk Ke Sekolah

Waktu kelas berjam-jam, tempat serta orang baru, rutin dan peraturan yang berlainan, konsep pembelajaran dan tanggungjawab yang berbagai-bagai, risiko diejek dan disisihkan; bagi kebanyakan kanak-kanak yang pertama kali ke sekolah, perasaan takut berpunca daripada memikirkan perkara yang tidak diketahui.

Namun, kanak-kanak yang bersedia dari segi mental dapat mengatasi perubahan ini dengan lebih baik. Aspek paling penting bagi seorang kanak-kanak dalam membuat persediaan dari segi mental ialah sokongan ibu bapa dan ini bermula di rumah. Anak-anak kepada ibu bapa yang responsif dan melibatkan diri kemungkinan besar akan mendapat pencapaian yang lebih baik di sekolah. Ia juga mempengaruhi kebolehan anak mengatasi kegagalan dan tekanan, sekaligus, mempengaruhi tingkah laku mereka di dalam bilik darjah.

Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh amalkan dengan anak anda untuk membantunya bersedia dari segi mental untuk ke sekolah:

aturkan-rutin-harian

Aturkan rutin harian

Wujudkan rutin tetap untuk bersedia ke sekolah. Jangan lupa untuk berlatih tidur pada waktu yang tetap untuk memastikannya mendapat tidur yang mencukupi. Dengan adanya rutin, anak-anak akan lebih bekerjasama, kurang bimbang, membina keyakinan, dan juga mengajar mereka bagaimana untuk lebih berdikari dan bertanggungjawab.

Bincang dengan anak anda mengenai sekolah

Bincangkan perkara-perkara positif yang mereka bakal lalui atau alami di sekolah (contohnya bagaimana untuk mengenali kawan-kawan baharu, mempelajari perkara baharu) dan bersikap lebih terbuka dalam mendengar cerita-cerita mereka. Jawab semua persoalan mereka mengenai sekolah, guru, dll. Yakinkan mereka bahawa semuanya akan berjalan dengan lancar dan anda akan membantunya jika mempunyai sebarang kesulitan. Adalah lebih baik bagi anak anda jika dia mendapat banyak maklumat mengenai pengalaman baharu ini. Elak daripada membuat kenyataan bersifat negatif dan/atau buruk tentang persekolahan untuk menakut-nakutkan anak (contohnya memberi amaran dia akan dirotan oleh guru jika berperangai buruk atau tidak melakukan kerja sekolah).

Lawat sekolah

Lakukan lawatan ke sekolah bersama-sama beberapa kali sebelum mula persekolahan. Pada hari suai kenal (diadakan oleh kebanyakan sekolah) tunjukkan anak anda tempat-tempat penting dalam proses penyesuaian mereka seperti tandas, kantin, pejabat Pengetua, kedai buku sekolah, dll.

Dengar luahan anak anda

Galakkan mereka untuk menyuarakan semua kebimbangan dan keperluan mereka kepada anda atau orang dewasa lain yang dipercayai dan jangan takut untuk bersuara tentang sesuatu. Beritahu anak anda bahawa anda menghargai fikiran dan soalan-soalannya. Adalah baik jika anda dan anak anda dapat berkenalan dengan guru kelas sebelum sesi persekolahan bermula.

Ajar dan kukuhkan tingkah laku serta kemahiran positif lain

Mengajar anak-anak kemahiran sosial, menyelesaikan masalah, dan meleraikan konflik adalah kondusif untuk kesihatan mental yang baik. Kebanyakan nilai-nilai tersebut boleh diajar dengan memberi beberapa tanggungjawab di rumah yang berpadanan dengan umur, aktiviti bermain tidak berstruktur dan menggalakkan penglibatan sosial. Anda juga boleh bertanyakan soalan dan mengadakan peluang untuk merangsang anak anda berfikir. Elak daripada mengganggu atau mengecil-gecilkan kebimbangan/masalah/idea/pendapat mereka. Hormati komen-komen mereka. Lama-kelamaan, anak anda akan mempunyai rasa harga diri yang lebih tinggi dan mampu menghadapi cabaran dengan lebih berkeyakinan.

physically-active-and-healthy

Kekal aktif secara fizikal dan tingkatkan kesihatan

Tabiat makan secara sihat, senaman secara tetap dan tidur yang mencukupi melindungi kanak-kanak daripada berasa stres ketika dalam situasi yang sukar. Senaman yang tetap juga mengurangkan emosi negatif seperti kebimbangan, kemarahan, dan kemurungan.

Persediaan mental boleh memberi banyak manfaat dalam membantu anak anda menyesuaikan diri. Di samping kesediaan sosial dan fizikal (yang akan diterangkan oleh rakan-rakan saya nanti), anda akan memberi banyak kelebihan kepada anak anda berbanding rakan-rakannya. Mempunyai asas yang teguh dari awal akan membantu anak anda mendapat pengalaman persekolahan dan kehidupan yang lebih bermakna dan produktif.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen