Pengasuhan Positif

Seni Kebapaan

Walaupun tiada satu pendekatan khusus yang boleh digunakan bagi semua situasi oleh para bapa, apa yang penting adalah untuk anda menjadi seorang bapa yang melibatkan diri dalam semua aspek membesarkan anak anda.

Malah, bapa memainkan peranan sama penting dengan seorang ibu dalam membentuk perkembangan kemahiran sosio-emosi, kognitif, bahasa dan motor anak-anak. Kajian menunjukkan bahawa para bapa yang memainkan peranan aktif sejak awal kehidupan anak mampu meningkatkan perkembangan mereka.

Sebagai seorang bapa dan suami, terdapat banyak aspek yang perlu anda libatkan diri, dari saat anda menerima berita mengenai kehamilan pasangan anda dan berterusan sepanjang hayat anda. Sama seperti hubungan lain, nilai penglibatan anda terletak pada kualiti interaksi dan bukan jumlah masa yang diluangkan. Sebagai contoh, tiada gunanya anda meluangkan masa bersama anak jika anda duduk sebelahnya sambil bermain alat elektronik, dan mengabaikannya.

Dengan melaburkan masa bersama anak anda, anda akan membantu memastikan dia membesar menjadi anak yang mempunyai emosi dan keyakinan diri yang baik dan tidak mudah terjerumus dalam masalah, sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Sejak dari awal

Sebagai seorang bapa, anda tidak boleh mengelakkan diri daripada terlibat menjaga bayi anda. Dengan memberi bayi anda kasih sayang sepenuhnya (anda boleh lakukannya dengan bermain atau respon kepada tangisannya), hubungan rapat dapat dipupuk. Malah, adalah baik untuk berinteraksi dengan bayi anda walaupun semasa kehamilan – anda boleh bercakap, menyanyi, atau ‘bermain’ dengannya dengan menyentuh perut pasangan anda, pada penghujung kehamilan.

art-of-fatherhood-2

Perkembangan akademik dan kebapaan

Beberapa kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang bapanya lebih terlibat dalam pengasuhan mereka mendapat pencapaian yang lebih baik di sekolah. Kajian yang sama juga mencadangkan bahawa masa yang diluangkan bermain dengan anak-anak semasa mereka bayi membolehkan anak mencapai IQ tinggi dan kebolehan bahasa serta kognitif yang lebih baik.

Di sekolah, anak-anak ini lebih mudah menerima pembelajaran, lebih sabar, dan lebih bersedia untuk mengatasi tekanan dan kekecewaan persekolahan berbanding dengan kanak-kanak yang kurang penglibatan bapa mereka.

Manfaat kebapaan yang baik terhadap pencapaian akademik anak anak dan perkembangan sosial serta emosinya tidak terhad kepada kanak-kanak petatih atau kanak-kanak kecil sahaja tetapi juga berpanjangan sehingga ke alam remaja dan dewasa.

Langkah-langkah yang harus anda ambil

Oleh itu, apa yang boleh anda lakukan? Terdapat beberapa aspek penting yang anda perlu sedari, khususnya :

  • Kekalkan hubungan positif dengan pasangan anda – bagaimana anda melayan pasangan anda menjadi teladan kepada anak, pastikan anda menghormati dan menyayangi pasangan anda. Anak-anak yang membesar dalam persekitaran di mana mereka melihat ibu mereka dianiayai atau didera kemungkinan besar akan melayan pasangan mereka dengan cara yang sama apabila mereka dewasa kelak. Mereka juga berisiko tinggi terhadap kemurungan dan mungkin lebih agresif. Dari segi kesihatan, stres yang terjadi akibat konflik ibu bapa boleh melemahkan sistem imun dan membawa kepada masalah kesihatan.
  • Luangkan masa berkualiti bersama anak anda – ini membolehkan anda mengeratkan kasih sayang dengan anak anda dan mengenali satu sama lain dengan lebih rapat, seterusnya memahami emosinya dengan lebih baik. Anda boleh memainkan peranan unik dalam perkembangannya tetapi cara paling baik adalah dengan melakukan aktiviti aktif dan fizikal, seperti bermain badminton atau bola sepak berbanding aktiviti pasif seperti menonton TV bersama. Ini akan banyak membantu kesejahteraan emosi, perkembangan sosial, dan kecergasan fizikal anak anda.
  • Kerja berpasukan mengeratkan hubungan – Cuba lakukan kerja-kerja rumah bersama anak anda. Ini membolehkan anda meluangkan masa berkualiti bersamanya sambil memupuk rasa tanggungjawab.
  • Galakkan pertumbuhan intelek anak anda – berusaha untuk merangsang minda anak dengan membaca kepadanya, berjumpa dengan guruguru kelasnya atau aktiviti lain yang mampu memberi fokus kepada kebolehan akademik/inteleknya.

Jangan takut untuk menunjukkan anda mengambil berat tentangnya

Tidak kira betapa sibuk, pastikan anda meluangkan sedikit masa untuk anak anda – kebanyakan anak-anak melihat masa yang diluangkan bersama mereka sebagai tanda anda menyayangi mereka. Tidak salah untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian kepada anak anda lebih-lebih lagi ketika dia masih bayi. Sebagai seorang bapa anda harus memberi respon terhadap tangisan seorang bayi.

Ambil setiap peluang yang ada untuk mengeratkan kasih sayang dengan bayi anda dengan cara mendukung atau memeluknya seberapa kerap yang boleh. Jangan biarkan ibu melakukan semua penjagaan asas seperti menyusu atau menukar lampin – lakukan bahagian anda seberapa kerap yang boleh. Pengasuhan anda mungkin tidak menyerlah seperti seorang ibu, tetapi ia sama penting. Malah, beban kerja pengasuhan harus dikongsi bersama kedua-dua ibu dan bapa.

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen