Pengasuhan Positif

Cirit Birit Akut dalam Kalangan Kanak-kanak Bukan Gangguan Semata-mata

Cirit birit merujuk kepada pembuangan najis cair atau peningkatan kekerapan membuang air besar. Ia boleh bermula secara tiba-tiba dan berlarutan tidak lebih daripada dua minggu (akut) atau berpanjangan (kronik). Cirit birit akut merupakan masalah kesihatan yang sering terjadi di kalangan kanak-kanak dan dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama kematian di kalangan kanak-kanak di kebanyakan negara membangun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF:

  • Setiap tahun, dua billion kes penyakit cirit birit direkodkan di seluruh dunia.
  • Walaupun boleh dicegah dan dirawat, penyakit cirit birit merupakan penyebab utama kematian dalam kalangan kanakkanak berusia di bawah lima tahun.
  • Sekitar 760 ribu kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun meninggal dunia akibat penyakit cirit birit setiap tahun.
  • Sekitar 78% daripada kematian tersebut berlaku di benua Afrika dan Asia Tenggara.
  • Setiap kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun mengalami secara purata tiga episod cirit birit akut.

kematian-rotavirus-pada-kanak-kanak-bawah-5

Cirit birit akut tidak berjangkit jarang berlaku dalam kalangan kanak kanak. Jangkitan usus (atau gastroenteritis) merupakan penyebab utama berlakunya cirit-birit.

  • Dalam kebanyakan kes cirit birit berjangkit, rotavirus atau adenovirus merupakan penyebab utama.
  • Keracunan makanan juga boleh menyebabkan cirit birit. Kuman seperti Salmonella, E. coli dan juga parasit boleh menyebabkan keracunan makanan.
  • Di negara-negara di mana tahap sanitasinya rendah, sumber air yang tercemar dengan bakteria merupakan salah satu lagi penyebab lazim cirit birit berjangkit.

Apakah yang boleh berlaku?

Simptom-simptom ketidakselesaan perut sering kali diikuti dengan demam atau muntah-muntah. Kanak-kanak yang menghidap cirit birit akut sama ada akibat jangkitan virus atau bakteria juga boleh mengalami dehidrasi.

simtom-ketidakselesaan-perut

Bila perlu berjumpa Doktor

Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap cirit birit akut mempunyai simptom yang ringan dan akan pulih selepas beberapa hari. Namun, anda harus berwaspada dan segera membawa anak anda berjumpa doktor sekiranya:

  • Jika anak anda berusia ≤6 bulan.
  • Jika anak anda mempunyai masalah perubatan (contohnya masalah jantung atau buah pinggang, sejarah kelahiran pra matang).
  • Adalah biasa untuk mengalami demam ketika episod cirit birit. Namun bagi pesakit kanak-kanak, demam panas yang berterusan adalah indikasi penting untuk mereka diperiksa oleh doktor.
  • Jika anak anda kelihatan lesu atau kurang aktif (tanda dehidrasi yang serius).
  • Jika anak anda mengalami muntah-muntah yang berterusan.
  • Jika terdapat darah di dalam najis atau muntah mereka.
  • Jika anak anda mengalami kesakitan perut/abdomen yang teruk.

Merawat Anak Anda

Komponen utama bagi merawat cirit birit akut ialah mencegah dehidrasi melalui penggunaan cecair dan pengganti elektrolit (contohnya larutan garam rehidrasi oral atau ORS). Bagi anak yang muntah-muntah, ORS perlu diberi dalam kuantiti yang sedikit setiap kali. Bagi bayi, penyusuan susu ibu atau susu formula hendaklah diteruskan selagi anak boleh menerimanya.

Tiada bukti kukuh yang menyokong untuk menukar susu formula biasa (termasuklah pemberhentian penyusuan badan) ke formula bebas laktosa atau formula soya semasa episod cirit birit berlaku. Jika anak anda tidak dapat mengekalkan pengambilan cecair secukupnya, beliau mungkin memerlukan penggantian cecair intravena. Walau bagaimanapun, doktor akan menentukan pilihan rawatan terbaik untuk anak anda.

Langkah-langkah mencegah penyebaran jangkitan

Jika anak anda mengalami cirit birit akut yang berjangkit, anda boleh membantu melindungi ahli keluarga lain daripada dijangkiti dengan:

  • menggunakan tandas
  • mengasingkan anak anda daripada ahli keluarga lain
  • menggunakan peralatan makan berasingan untuk anak anda
  • membasuh tangan anda selepas menyentuh anak anda, atau barang-barangnya
  • membasuh pakaian anak anda secara berasingan menggunakan air panas
  • mengunakan kain lap berasingan untuk membersihkan bayi selepas menukar lampin
  • membasuh tangan anda dengan sempurna setiap kali selepas menukar lampin
  • membasuh tandas sekerap yang boleh

Strategi-strategi pencegahan yang lain termasuk:

prevention-strategies

  1. Rotavirus dikenalpasti sebagai penyebab utama cirit birit yang teruk dan akut. Vaksin rotavirus sangat berkesan dalam mencegah gastroenteritis rotavirus dan harus dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada cara mencegah cirit birit rotavirus di kalangan kanak-kanak di Malaysia.
  2. Berikan anak anda penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi enam bulan pertama kehidupannya dan teruskan sehingga mereka berusia dua tahun dengan ditambah dengan makanan pelengkap.
  3. Didik anak anda mengenai kebersihan diri, gunakan air minum yang selamat dan kekalkan kebersihan persekitaran anak anda.

Kesimpulannya, cirit birit akut merupakan masalah yang boleh diatasi dan apa yang diperlukan hanyalah untuk memastikan kanak-kanak yang mengalami masalah ini mengekalkan pengambilan cecair secukupnya untuk mencegah dehidrasi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen