Pengasuhan Positif

Bersalin di Rumah

Bersalin di rumah mungkin menarik bagi sesetengah orang. Walau bagaimanapun, pastikan anda mendapat nasihat doktor sebelum anda membuat keputusan untuk berbuat demikian. Terdapat beberapa perkara yang anda harus ketahui sebelum membuat keputusan untuk bersalin di rumah. Kini, kerajaan Malaysia tidak menggalakkan kelahiran di rumah memandangkan terdapat banyak bahaya yang berkaitan yang tidak disedari oleh bakal ibu. Meskipun ianya berbahaya, bersalin di rumah semakin menjadi trend pada masa kini.

Tahukah anda?

Para doktor kini mengamalkan sistem ‘tag’ untuk mengenal pasti kemungkinan terjadinya komplikasi ketika bersalin. Mereka yang ditag dengan tag putih/hijau boleh memilih untuk bersalin di rumah. Walau bagaimanapun, mereka yang ditag sebagai kes ‘risiko tinggi’ tidak seharusnya mengambil risiko kerana terdapat kemungkinan besar berlakunya kematian ibu dan/atau anak.

Membuat persediaan terlebih dahulu

pregnancy-doctor-visit

Jika anda berkeras untuk bersalin di rumah, terdapat dua perkara utama yang perlu dipertimbangkan:

1) Adakah anda mampu? Walaupun anda boleh membuat segala persiapan yang anda mahu, status kehamilan anda boleh berubah daripada tiada risiko kepada berisiko tinggi walaupun di saat-saat akhir. Ketika usia kehamilan semakin lanjut, banyak faktor yang perlu diberi perhatian. Oleh itu, anda perlu mendapatkan nasihat seorang profesional sebelum membuat keputusan sama ada untuk bersalin di rumah atau di hospital.

2) Siapakah yang akan menyambut kelahiran? Sentiasa dapatkan anggota kesihatan yang terlatih (seperti doktor atau bidan terlatih) untuk membantu kerana mereka telah menjalani latihan yang berkaitan dan tahu bertindak untuk mencegah atau mengatasi komplikasi.

Perancangan anda untuk bersalin di rumah haruslah fleksibel kerana kemungkinan terdapat perkembangan di saat-saat akhir yang mengubah status anda daripada kelahiran berisiko rendah kepada kelahiran berisiko tinggi seperti kedudukan songsang (punggung janin berada di bawah), plasenta previa (plasenta menutup serviks), atau tali pusat nukal (tali pusat membelit leher janin). Lebih selamat bersalin di hospital sekiranya situasi tersebut berlaku. Ibu-ibu yang melahirkan anak kali pertama juga dinasihati agar tidak bersalin di rumah.

Memilih seorang doula

Siapakah doula?

Doula merupakan seorang wanita yang pernah melahirkan bayi, dan yang akan hadir bersama untuk memberi anda sokongan, bantuan, dan nasihat ketika dan selepas proses kelahiran bayi anda.

Anda mungkin telah membuat sedikit pembacaan mengenai melahirkan anak di rumah dan berancang untuk bersalin di rumah dengan mendapatkan perkhidmatan seorang doula dan bukan seorang doktor atau jururawat. Walau bagaimanapun, anda harus faham bahawa seorang doula hanya boleh membantu dengan kelahiran bukan dengan cara perubatan kerana mereka tidak mempunyai sebarang latihan atau kemahiran dalam bidang perubatan. Mereka hanya boleh memberi sokongan mental, emosi, dan fizikal dengan memberi galakan verbal kepada ibu dan mungkin membantu dengan cara-cara lain untuk membuat ibu selesa.

Mereka tidak boleh menyokong ibu dalam kapasiti perubatan dan mereka pastinya BUKAN professional kesihatan. Jika terjadi sesuatu, doktor dan jururawat memainkan peranan – tidak seperti doula, mereka dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda bahaya. Oleh itu, seorang doula tidak dilatih untuk bertindak jika berlaku kecemasan. Terdapat beberapa situasi komplikasi semasa kelahiran yang boleh menyebabkan kematian.

Jangan pandang ringan

Walaupun bersalin di rumah sudah menjadi trend, ia juga mempunyai risiko. Terdapat golongan berpelajaran tinggi di Malaysia yang berpendapat bahawa bersalin di rumah adalah proses semula jadi dan harus dilakukan tanpa mengambil kira risikonya. Sedihnya, ia telah menyebabkan beberapa kematian seperti yang dipaparkan di dada akhbar. Kementerian Kesihatan Malaysia tidak menyarankan bersalin di rumah kecuali di bawah penyeliaan anggota kesihatan yang terlatih dan berpengalaman..

Kesimpulannya, utamakan keselamatan. Jika anda berasa bahawa proses bersalin tidak akan berjalan dengan mudah, lebih selamat untuk membatalkan rancangan anda untuk bersalin di rumah. Ia bukan sahaja akan mengancam nyawa bayi yang belum lahir, malah nyawa ibunya juga. Oleh itu, berfikir dahulu sebelum bertindak.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen