Pengasuhan Positif

Bahaya Lemas & Pencegahannya

Kajian komprehensif kebangsaan yang pertama mengenai kejadian lemas dalam kalangan kanak-kanak tahun 2000 – 2007 telah diterbitkan dalam Malaysian Journal of Paediatrics and Child Health (MJPCH). Kajian tersebut merumuskan bahawa sekitar 600-700 orang maut akibat lemas setiap tahun di Malaysia. Dalam kalangan mereka, 250-300 (44.5%) merupakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Kadar purata kebangsaan kematian lemas di kalangan kanak-kanak ialah 3.05 bagi setiap 100,000 populasi, ianya agak rendah berbanding kadar 13.9 yang direkodkan bagi negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana di rantau Pasifik Barat. Meskipun begitu, lemas masih merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan kanak-kanak berumur 1 hingga 18 tahun, iaitu penyebab kedua selepas kematian berkaitan kemalangan jalan raya. Langkah berjaga-jaga yang diambil untuk memastikan anak anda selamat daripada lemas akan berubah apabila anak anda semakin membesar, menjadi lebih cerdas dan lebih berdikari.

Adakah anda tahu?

Kejadian lemas boleh berlaku dengan begitu cepat dan di dalam air yang secetek 6 sm. Ditinggalkan tanpa pengawasan, tab mandi yang berisi, kolam renang, kolam randuk, tab air panas, dan juga timba berisi air dan sinki boleh membawa maut.

Bayi dan kanak-kanak Kecil

Kanak-kanak sejak dari lahir hingga 1 tahun lazimnya tidak mudah lemas memandangkan mereka sangat memerlukan dan banyak bergantung kepada ibu bapa untuk rutin harian. Namun, terdapat kes-kes di mana bayi lemas (terutamanya ketika mandi) kerana mereka ditinggalkan seketika oleh ibu bapa atau pengasuh untuk menjawab panggilan telefon atau semasa pergi mengambil tuala.

  • Jangan sekali-kali tinggalkan bayi di dalam tab mandi tanpa pengawasan. Jika anda perlu menjawab telefon atau membuka pintu, jangan bergantung kepada adik-beradik yang lebih besar untuk mengawasi bayi; balut bayi anda dengan tuala dan bawanya bersama.
  • Jangan sekali-kali gunakan tempat duduk tab mandi atau gelang penyokong tanpa diawasi oleh orang dewasa. Tempat duduk tersebut boleh terbalik atau bayi boleh melorot ke dalam air.
  • Jangan sekali-kali tinggalkan tab mandi, timba, atau bekas berisi air tanpa pengawasan.

baby-in-bath-tub-seat

Kanak-kanak Petatih dan Pra sekolah

Kanak-kanak dalam kumpulan umur ini mempunyai kebolehan fizikal yang diperlukan untuk mencapai lebih jauh, bergerak lebih pantas dan membuka tombol pintu atau kunci yang ringkas. Dengan kemahiran yang baharu diperolehi ini, risiko terhadap kecederaan juga meningkat.

  • Alat boleh kembung seperti anak baju, pelampung lengan, rakit dan pelampung boleh memberi rasa selamat yang palsu apabila berada di dalam kolam. Jangan sekalikali menganggap alat-alat tersebut boleh menggantikan pengawasan orang dewasa.
  • Pasang alat mengunci penutup mangkuk tandas dan sentiasa pastikan pintu tandas tertutup. (Atau pasangkan penutup tombol pintu atau kunci).
  • Alih semua alat permainan keluar daripada kolam renang apabila kanak-kanak selesai berenang untuk mencegah mereka daripada cuba untuk mengambilnya apabila tidak diawasi.
  • Buang semua air dari kolam randuk setelah anda selesai menggunakannya. Jika anda mempunyai kolam yang kekal, pastikan ia dipagarkan dengan sempurna.
  • Berhati-hati dengan kolam renang awam di kondominium – sentiasa perhatikan jika terdapat kanak-kanak yang dibiarkan tanpa pengawasan di sekitar kolam renang tersebut.
  • Kebanyakan kanak-kanak boleh belajar berenang pada sekitar umur 5 tahun – tetapi kebolehan untuk berenang tidak semestinya dapat mencegah kanak-kanak daripada lemas, pengawasan orang dewasa masih diperlukan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak perlu diajar berenang supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan dalam kecemasan.

Kanak-kanak sekolah dan Remaja

Lemas paling lazim dalam kalangan mereka yang berumur di antara 10-14 tahun dan kanak-kanak lelaki adalah 3-4 kali lebih berisiko untuk lemas berbanding kanak-kanak perempuan. Kes-kes yang dilaporkan kebanyakannya berlaku di laut, kolam dan sungai.

  • Di pantai-pantai awam, berenanglah hanya di kawasan yang dikhususkan untuk berenang. Jangan biarkan kanak-kanak berenang di dalam parit besar, loji pembersihan air, kolam memproses air atau kawasan takungan awam yang bukan dikhaskan untuk berenang – didik mereka tentang bahayanya.
  • Jangan biarkan kanak-kanak bermain berdekatan atau duduk di dalam lubang saliran kolam atau tab panas. Anggota tubuh atau rambut boleh terperangkap akibat sedutan injap atau paip yang kuat.
  • Jangan sekali-kali membiarkan anak anda terjun ke dalam air yang tidak diketahui keselamatannya.
  • Daftar anak anda ke program penyelamat nyawa di mana mereka boleh belajar dan membiasakan diri dengan keselamatan air melalui latihan amali.
  • Pada permukaannya yang kelihatan tenang, arus sungai dan laut tidak kelihatan; kanak-kanak serta orang dewasa kerap membuat kesilapan dalam menjangka bahayanya – didik anak dan diri anda mengenai keselamatan air.
  • Pastikan anak anda tidak bermain di dalam air semasa banjir atau bencana seumpamanya. Sentiasa jaga keselamatan keluarga anda dan bersedia untuk menghadapi sebarang kecemasan.

Ibu bapa yang paling berwaspada pun tidak dapat memastikan anaknya tidak akan ditimpa sebarang kemalangan, ia boleh terjadi pada masa yang paling tidak dijangka. Justeru itu, ambil inisiatif untuk mempelajari resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan simpan nombor telefon kecemasan perubatan (iaitu ambulan, doktor atau jabatan bomba) di dalam dail pantas telefon dan bersedia untuk bertindak. Sedikit pengetahuan mungkin dapat menyelamatkan nyawa anak anda atau kanak-kanak lain.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen