Pengasuhan Positif

Melancong dengan Anak-anak Anda Tanpa Kebimbangan

1. Rancang, rancang, rancang!

  • Destinasi: Tempatan atau luar negara? Pilih destinasi yang boleh dinikmati seluruh ahli keluarga. Melancong berombongan dilihat sebagai satu cara yang mudah untuk melihat segalagalanya, tetapi jangan padatkan jadual lawatan anda dengan terlalu banyak aktiviti terutamanya jika bayi atau kanak-kanak kecil mengikuti anda. Kunci utama adalah fleksibiliti.
  • Penginapan yang mesra kanak-kanak: Jika hotel adalah pilihan anda bagi penginapan, periksa sama ada hotel tersebut adalah mesra kanak-kanak dan jika mereka mempunyai pakej tawaran keluarga untuk pilihan yang lebih murah.
  • Kemudahan penjagaan kanak-kanak: Jika anda mahukan sedikit masa untuk bersendirian dengan pasangan anda, kenal pasti sama ada kemudahan penjagaan kanak-kanak ada disediakan. Setelah anda tiba, ambil sedikit masa untuk melawat pusat penjagaan kanak-kanak tersebut dan jika anda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka, bersedia untuk mengubahsuai rancangan anda
  • Berjumpa dengan doktor: Berbincang dengan doktor anda sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum perjalanan anda.
    1. Jika anak anda mempunyai sebarang masalah kesihatan dan memerlukan ubat-ubatan tertentu, pastikan anda mendapatkan ubat-ubatan tersebut daripada doktor anda dan melabelkannya dengan betul. Minta doktor anda memberi rujukan kepada pakar berhampiran dengan destinasi yang anda lawati yang boleh merawat anak anda jika berlaku kecemasan
    2. Sediakan gelang tangan pengenalan untuk anak anda dengan maklumat tambahan mengenai kumpulan darahnya, alahan atau masalah kesihatan yang dihidapinya di samping butiran penting untuk dihubungi.
    3. Pastikan vaksinasi bagi keluarga anda adalah yang terkini. Vaksinasi yang berkaitan dengan pelancongan seperti demam kuning, hepatitis A/B atau tifoid (deman kepialu) diperlukan jika anda hendak melancong ke negara-negara berisiko tinggi. Nota: Tiada vaksinasi yang berkaitan dengan perjalanan diberikan kepada kanak-kanak di bawah 18 bulan.
  • Dokumen undang-undang/Visa: Semak pasport anda (atau sebarang dokumen tambahan contohnya visa) yang perlu disediakan atau dikemas kini jika anda melancong ke luar negara.

Libatkan mereka

Jika anak anda telah cukup matang, tanya kepada mereka di mana mereka ingin pergi dan apa aktiviti-aktiviti yang ingin mereka lakukan. Melibatkan mereka untuk mencari dan menyediakan panduan maklumat pelancongan mini mengenai destinasi yang dipilih untuk menjadikan mereka lebih teruja dengan percutian tersebut.

2. Senarai semak apa yang perlu dibawa

  • Pakaian yang sesuai: Ketahui keadaan cuaca di tempat pelancongan anda. Untuk iklim panas, bawa pakaian yang nipis. Untuk iklim sejuk, bawa pakaian yang tebal. Barangan lain yang perlu dibawa termasuklah cermin mata hitam, krim pelindung matahari, topi dan kasut yang sesuai.
  • Kot bayi: Bawa kot bayi mudah alih atau kot perjalanan untuk kemudahan bayi anda. Ia boleh digunakan sebagai katil sekiranya tiada yang bersesuaian untuknya di hotel anda. Kot yang baik biasanya datang dengan penutup untuk melindunginya daripada cahaya langsung dan bertindak sebagai kelambu.
  • Anduh bayi: Sesuai untuk bayi berusia lebih dari seminggu dan berat lebih daripada 3.5kg. Pilih yang bertali lebar untuk pengagihan berat badan sama, dan anduh tersebut juga harus menyediakan sokongan leher dan belakang yang mencukupi.
  • Kereta sorong dan/atau kereta bayi: Ini adalah yang terbaik jika anda mempunyai anak kecil kerana dia boleh merehatkan kakinya yang letih jika anda menghabiskan masa seharian untuk berjalan-jalan, tidur sebentar, dan juga boleh bertindak sebagai pembawa beg anda.
  • Kit pertolongan cemas: termometer, ubat-ubatan, pembalut, penghalau serangga atau krim untuk gigitan pepijat, ubat cirit-birit, antasid, krim antiseptik.
  • Bawa bantal/selimut, buku, mainan atau CD, makanan dan minuman kegemaran anak anda!

3. Keselamatan perjalanan

  • Jika anda memandu, pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik dan ambil perhatian berkenaan kawasan rehat atau tempat-tempat menarik yang anda boleh berhenti untuk berehat. Gunakan kerusi kanak-kanak selalu dan pastikan ia dipasang dengan betul.
  • Bersedia untuk memastikan anak anda dilayan semasa perjalanan. Anda boleh melakukan ini dengan buku-buku, mainan, muzik, dan permainan.

4. Senarai semak perkara-perkara yang perlu dilakukan apabila anda berada di sana.

  • Cari lokasi: Ketahui di mana balai polis yang berhampiran, hospital dan pasar raya atau kedai-kedai runcit.
  • Di mana untuk menyusu: Bagi ibu yang menyusu badan, ketahui di mana tempat-tempat yang sesuai untuk menyusukan bayi untuk mengurangkan sebarang masalah yang mungkin berlaku.
  • Kekal terhidrat: Sentiasa bawa botol air ke mana sahaja anda pergi ketika melancong.
  • Kekalkan rutin anak-anak anda: Lakukannya sebanyak yang mungkin. Cuba untuk tidak menukar diet dan pastikan dia makan secara sihat. Jangan lupa juga untuk mengambil makanan yang seimbang.
  • Makan di tempat yang bersih: Pastikan anda makan di premis-premis yang bersih untuk mengurangkan kemungkinan terkena cirit-birit.
  • Mengekalkan kebersihan: Basuh tangan anak-anak anda dengan air bersih dan sabun, atau gunakan pembersih tangan dan/atau tisu basah. Barangan tersebut amat berguna kerana anda mungkin tidak mempunyai akses kepada air bersih dan sabun.
  • Dapatkan rehat secukupnya: Kanak-kanak kecil memerlukan waktu rehat yang cukup, sekurang-kurangnya10 jam setiap hari.
  • Bawa bekalan lebih: Jangan lupa untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan dan bawa pakaian dan lampin tambahan.
  • Utamakan keselamatan: Pastikan anda mengawasi anak anda setiap masa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, terutamanya di kawasan yang sesak. Anda boleh menawarkan mereka ganjaran sebagai insentif untuk membuatkan mereka sentiasa berada berhampiran dengan anda. Jika anda mempunyai anak-anak remaja (dan mereka cenderung untuk memilih untuk berjalan secara bersendirian), tetapkan tempat pertemuan sekiranya anak anda terpisah daripada kumpulan.

Perubahan rancangan!

Jika anak anda tiba-tiba jatuh sakit sebelum perjalanan, pastikan dia mendapat rawatan yang betul dan rehat yang secukupnya. Nilai keadaannya beberapa hari sebelum perjalanan; jika dia masih berasa tidak sihat, adalah lebih baik untuk menangguhkan perjalanan tersebut. Walaupun akan ada sedikit kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan keselesaan keluarga anda perlu diutamakan!

Sebaliknya, anda boleh menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarga anda dalam keselesaan rumah anda sendiri. Berkelah, bermain permainan papan, peluang melakukan kerja rumah, tidur dan lain-lain. Ingat, setiap masa yang dihabiskan bersama keluarga anda adalah amat berharga!

Melancong dengan anak-anak boleh menjadi mudah jika anda telah melakukan penyelidikan dan perancangan terlebih dahulu. Apabila perkara tidak berlaku seperti yang dirancang, bertenang dan bertindak secara fleksibel. Lagipun,percutian ini untuk anda juga bukan hanya untuk anak anda sematamata!

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen