Pengasuhan Positif

“Ibu, Perut Saya Sakit Lagi!”

Kesakitan di bahagian perut atau usus dikenali sebagai sakit abdomen. Si manja anda menghidapi sakit abdomen berulangan jika mengalaminya sekurang kurangnya 3 kali yang amat menyakitkan dan mengganggu aktiviti hariannya selama tempoh sekurang kurangnya 3 bulan. Kajian menunjukkan bahawa 10% daripada kanak-kanak Malaysia berumur 11-16 tahun mengalami sakit perut berulangan.

Ia sebenarnya bukannya suatu penyakit, tetapi penerangan sesuatu gejala. Ia kadang-kala mungkin disebabkan jenis punca organik, di mana terdapat kemungkinan sesuatu penyakit/gangguan seperti jangkitan saluran kencing, intoleransi laktosa, keradangan usus, pankreatitis, gastritis, esofagitis, sembelit, pengulseran peptik atau sembelit.

Disebabkan Penyakit Organik?

Tanda-tanda yang mencadangkan punca organik:

  • Tempat kesakitan. Semakin jauh kesakitan itu daripada bahagian tengah abdomen, semakin besar kemungkinannya penyakit organik.
  • Gangguan tidur. Jika kesakitan tersebut amat sakit sehingga menyebabkan si manja terjaga semasa tidur, kemungkinannya lebih tinggi terdapat suatu penyakit organik.
  • Umur.Semakin muda si manja, kemungkinannya lebih tinggi berlakunya penyakit organik.
  • Kehadiran gejala seperti demam, najis berdarah, keradangan (sendi, kuilt atau mata), kekurangan berat badan, gangguan tumbesaran, anemia, jaundis, tekanan darah tinggi, abses pada dubur, ulser mulut yang berulangan.
  • Sejarah keluarga. Beberapa penyakit yang berlaku dalam sejarah keluarga seperti keradangan usus, penyakit ulser peptik atau penyakit buah pinggang.

Kesakitan yang kerap boleh mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan keseluruhan si manja. Ia juga mengganggu kehadiran sekolah, selera makan, tidur, kelakuan dan emosinya. Jika si manja merasa sakit perut, berjumpalah dengan doktor.

Si Manja Mungkin Menghadapi Stres

Kajian menunjukkan lebih daripada 95% daripada kes-kes sakit abdomen berulangan tidak disebabkan penyakit tertentu. Namun, ia tidak bermakna kesakitan itu palsu atau direka. Dalam kes-kes di mana puncanya bukan disebabkan punca organik, ia kerap dikaitkan dengan stres, kebimbangan atau kemurungan. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya menunjukkan kanak-kanak berumur 9-15 tahun yang mengalami peristiwa kehidupan mutakhir seperti kematian dalam keluarga, perubahan alamat rumah, gagal dalam peperiksaan sekolah atau dibuli di sekolah, mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk mengalami sakit abdomen berulangan.

Disebabkan stres?

Jika doktor anda tidak dapat mengesan punca organik sakit abdomen berulangan anak anda, ia mungkin disebabkan stres atau kebimbangan. Anda boleh membantu dengan mengambil lebih perhatian untuk yang berikut:

Masa. Perhatikan masa anak anda mengadu ‘sakit perut’. Adakah berlakunya peristiwa tertentu kebelakangan ini? Tetapi, ada masanya tiada faktor-faktor yang jelas.

Gejala-gejala lain. Adakah tanda-tanda seperti sembelit, cirit birit, masalah makan, mimpi buruk atau takut pergi ke sekolah muncul?

Sejarah keluargaAdakah terdapat masalah berkaitan dengan stres dalam sejarah keluarga seperti sakit kepala, keradangan usus, sakit belakang atau kejanggalan haid?

Apabila Perut Si Manja Sakit…

Bantulah si manja rasa lebih selesa di rumah dengan:

  • Suruh anak anda untuk baring.
  • Berbual dengannya tentang perkara yang mungkin mengakibatkan dia rasa bimbang atau terlalu stres.
  • Alihkan perhatiannya dengan aktiviti menarik seperti membaca atau bermain.
  • Jika situasi masih kekal, anda digalakkan untuk mendapatkan rawatan seawal mungkin kerana terdapat kemungkinan sebab lain, dan penting agar tidak terlepas kemungkinan punca organik.

Awas! Jangan beri anak anda ubat sakit perut yang dibeli melalui kaunter melainkan jika telah dipreskripsikan oleh doktor.

Keceriaan Si Manja

Anda perlu memerhatikan si manja secara menyeluruh, keluarga, suasana rumah dan juga dinamik sekolah si manja. Sebagai ibu bapa, ia adalah tanggungjawab anda untuk memastikan si manja membesar dalam persekitaran keluarga dan sekolah yang menggalakkan dan saling memahami. Ambil tindakan yang sewajarnya sebaik sahaja anda mengesyaki ada sesuatu yang mengganggu si manja dan menyebabkan sakit perut yang berulangan, agar si manja sentiasa ceria.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen