Tiada seorang pun ibu bapa yang boleh berada bersama anak mereka pada setiap minit, setiap hari, meskipun ibu bapa tersebut seorang yang berkebolehan dan amat komited. Sebahagian daripada tugas untuk menjadi ibu bapa yang baik ialah dengan memastikan anak mendapat penjagaan atau asuhan yang baik terutamanya pada tahun-tahun awal selepas dilahirkan sehingga anak berumur empat tahun. Anak anda mungkin diasuh sepenuhnya oleh anda dan dia mungkin juga diasuh oleh orang lain. Jenis penjagaan sangat penting tetapi yang lebih utama ialah kualiti penjagaan.
Asuhan kanak-kanak yang berkualiti adalah asuhan yang memenuhi keperluan anak anda. Anda mampu menyediakannya hanya jika anda memahami keperluan anak anda pada setiap peringkat kehidupannya. Selain daripada keperluan fizikal – makanan yang berkhasiat, kasih sayang, tidur yang mencukupi – anda juga perlu memikirkan aspekaspek yang lain:
Keperluan emosi
Penyelidikan menunjukkan penghujung usia setahun adalah masa terbinanya asas perkembangan emosi. Pada tempoh ini, seorang kanakkanak perlu mengembangkan perasaan kestabilan dan selamat. Ini dapat diperoleh daripada penjaga yang membelanya dengan konsisten dan responsif.
Keperluan intelektual
Perkembangan otak berlaku amat pesat bermula daripada lahir sehingga kanak-kanak berumur lima tahun. Anak anda memerlukan rangsangan intelektual. Ini tidak bermaksud pendidikan secara formal tetapi lebih kepada persekitaran yang membolehkannya bermain, membuat penemuan dan penerokaan di dalam keadaan yang selamat dan belajar mengikut rentaknya sendiri.
Membuat keputusan tentang penjagaan anak adalah sukar. Jangan tergesa-gesa. Sebaliknya, ambil masa untuk berbincang dan merumuskan perkara-perkara berikut dengan pasangan anda terlebih dahulu:
- Berapa pendapatan yang diperlukan oleh keluarga dan bagaimana anda boleh mencapainya?
- Apakah peranan anda? Adakah salah seorang bekerja sepenuh masa manakala seorang lagi menjaga anak? Jika kedua-duanya bekerja, siapakah yang akan menjaga anak?
- Bagaimanakah anda menguruskan hal ini? Keputusan yang terbaik adalah sesuatu yang berkesan kepada anak anda dan keluarga. Setelah mencapai kata sepakat, cari satu jalan yang membolehkan anda, pasangan dan penjaga anak bekerjasama bagi memastikan anak anda memperoleh penjagaan yang berkualiti.
“Anak Saya, Saya Jaga Sendiri”
menjaga anak anda, syabas! Ia adalah penting untuk anda bersama anak anda – bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi dari segi mental dan juga emosi. Ini amat penting terutamanya semasa tahun-tahun awal bila anak anda perlu diyakinkan dengan keselamatan dan kepercayaan. Berikut adalah cara anda boleh memberi yang terbaik kepada anak anda:
Sokongan suami
Seorang ibu yang berada sepenuh masa di rumah yang mempengaruhi anaknya secara positif merupakan ibu yang mendapat sokongan daripada suaminya. Bantulah suami untuk memahami apa yang anda lalui dan libatkannya di dalam membesarkan anak-anak.
Cari rangkaian
Jika anda tidak mempunyai saudara-mara, carilah satu rangkaian ibu lain yang menjaga anak mereka sendiri. Anda bukan sahaja boleh bertukar-tukar masa menjaga anak malah rangkaian ini turut memberi anda peluang untuk bergaul dan memperoleh galakan yang diperlukan.
Dapatkan pengetahuan & maklumat
Oleh kerana tiada latihan formal untuk menjadi seorang ibu, ambillah inisiatif untuk membaca hal-hal berhubung perkembangankanak-kanak dan keibubapaan. Anak anda akan beroleh manfaat daripada seorang ibu yang berpengetahuan dan serba tahu.
Jadilah seorang yang realistik
Bukan setiap detik yang anda luangkan bersama bayi akan menjadi detik yang sempurna. Ada masanya anda berasa bosan dan ada ketikanya anda dibelenggu kesepian. Di samping mengharungi saat-saat gembira bersama bayi, bersedialah untuk berdepan dengan kekecewaan.
Kekalkan keseimbangan
Setiap pekerjaan memerlukan rehat. Sekali atau dua kali dalam seminggu, luangkanlah masa untuk berjoging, manjakan diri dengan berendam di dalam air mandian atau keluar minum bersama teman-teman. Ini akan menenangkan anda dan kurangkan ketegangan.
Luangkan masa berkualiti bersama
Anda mungkin berada bersama anak 24 jam 7 hari seminggu tetapi masa berkualiti bukanlah bermaksud anda melakukan urusan rumah manakala anak anda menghiburkan dirinya sendiri di depan televisyen. Waktu makan atau waktu anak melakukan kerja rumah juga tidak diambil kira sebagai masa berkualiti. Lakukan sesuatu yang bermakna bersama anak pada setiap hari: membaca buku, menyanyi atau bermain.
“Bagaimana pula jika saya tidak boleh duduk di rumah?”
Jika anda tidak dapat berada di rumah untuk menjaga anak anda sendiri, usahlah rasa bersalah. Sebaliknya, curahkan tenaga untuk mencari penjaga yang terbaik untuk anak anda – ini mungkin datuk, nenek, pengasuh bayi, pembantu rumah ataupun pusat asuhan kanak-kanak. Tetapi sebelum anda membuat keputusan, berikut adalah beberapa perkara yang anda dan pasangan perlu faham dan terima:
Bertimbangrasa
Jangan ambil kesempatan di atas sikap penjaga yang tidak berkira dalam soal masa menjaga anak-anak anda. Bertimbangrasa dan fahamilah bahawa mereka juga perlukan masa untuk berehat. Ambil berat kebajikan penjaga agar mereka juga akan melakukan hal yang serupa kepada anak anda.
Terima kekurangan diri
Oleh kerana penjaga seperti datuk nenek, pengasuh bayi atau pembantu rumah jarang sekali mendapat latihan dalam hal perkembangan kanak-kanak, maka rangsangan intelektual yang diterimanya adalah minima. Justeru, anda perlu memberikan rangsangan intelektual apabila berada bersama anak.
Bersikap lebih kurang
Meskipun nilai-nilai asas dan pendekatan perlu diikuti, penjaga tidak semestinya perlu melakukannya dengan cara yang sama sepertimana yang anda lakukan. Asalkan keselamatan anak anda tidak dipertaruhkan atau kuasa anda sebagai ibu bapa tidak diperlekehkan, cubalah berkompromi. Cara penjagaan yang berbeza tidak akan menjejaskan anak anda.
Mengambil pengasuh bayi yang baik
Pilihan pengasuh bayi biasanya melalui cadangan ahli keluarga atau kawan-kawan. Ini mungkin memberi anda keyakinan tetapi jangan menganggap ianya sempurna. Penjagaan bayi bukan setakat makanan yang berkhasiat, rumah yang bersih dan pengasuh berpengalaman sahaja.
- Selidik personalitinya: apakah kepercayaannya, nilai dan pendekatannya dalam mengasuh kanak-kanak.
- Kunjungi rumah pengasuh. Adakah rumahnya bersih? Adakah terdapat sebarang potensi masalah keselamatan?
- Berapa ramai kanak-kanak di bawah jagaannya termasuk anaknya sendiri?
- Perhatikan kanak-kanak di bawah jagaannya: bagaimanakah perilaku mereka?
- Siapakah yang turut tinggal bersamanya? Adakah dia sering menerima kunjungan tetamu yang sama?
- Bagaimana pula jika dia perlu meninggalkan rumah pada waktu kecemasan? Siapakah yang akan menggantikan tempatnya menjaga kanak-kanak?
- Adakah dia turut menjalankan perniagaan lain selain daripada menjaga kanak-kanak?
Kebanyakan pengasuh bayi tidak mempunyai lesen. Jadi, terpulanglah kepada anda untuk mengawasi kualiti penjagaan yang diterima oleh anak anda. Sesekali, hubungi atau buat kunjungan mengejut ke rumahnya sewaktu anak anda berada di sana.
Mengupah pembantu rumah
Meskipun pada masa kini terdapat kemudahan perkhidmatan persidangan video, tugas mencari pembantu rumah yang baik masih tetap mencabar. Gunakanlah agensi yang bereputasi baik dan anda perlu spesifik tentang jenis pembantu rumah yang anda kehendaki untuk menjaga anak anda. Amat sukar untuk mendapat pembantu rumah yang memahami hal perkembangan kanak-kanak dan berkemampuan untuk memberi rangsangan intelektual kepada anak anda, malah pembantu rumah yang baik boleh memberikan kestabilan emosi. Selidik:
- Sama ada dia menyayangi kanak-kanak?
- Adakah dia mempunyai pengalaman menjaga kanak-kanak?
- Adakah dia sihat dari segi psikologi?
- Apakah budaya, nilai dan kepercayaannya?
- Bolehkah dia bekerja untuk tempoh waktu yang lama?
Pemerhatian teliti adalah penting, terutamanya bagi pembantu rumah yang masih baru dan masih menyesuaikan diri kepada rumahtangga anda dan cara pengasuhan anda.
Jelaskan kepada pembantu rumah anda bahawa tugasnya adalah sebagai pengasuh anak anda dan bukan hambanya. Terdapat sesetengah tugas yang anak anda harus laksanakan sendiri – misalnya, mengemaskan mainannya atau mencuci cawannya sendiri selepas minum. Hanya melalui cara ini dapat anak anda mempelajari berdikari dan mengalami kepuasan melaksanakan sesuatu.
Terdapat ramai ibu bapa Malaysia yang risau anak mereka akan meniru bahasa atau perlakuan tidak elok yang ditunjukkan oleh pembantu rumah. Akibatnya bergantung kepada berapa banyak masa yang anda luangkan bersama anak anda: adakah anda mengambil alih tugas menjaga anak sebaik sahaja anda pulang ke rumah atau adakah pembantu rumah yang membesarkan anak anda?
Kasih anak anda
“Seorang penjaga yang baik akan menyayangi dan menjaga anak anda, dan secara semulajadinya, anda anda akan membalas kasih sayang tersebut. Keadaan ini tidak akan menjejaskan kasih sayang anak terhadap anda – sebagai ibu bapa, anda tetap merupakan insan yang paling penting dalam kehidupannya. Usah rasa terancam. Terus sayangi diri anak dan jadikan setiap masa anda bersamanya waktu yang sangat berharga.”
Memeriksa pusat asuhan kanak-kanak
Jika datuk nenek, pengasuh bayi atau pembantu rumah bukan pilihan anda, anda boleh hantarkan anak anda ke pusat asuhan kanak-kanak. Oleh kerana terdapat banyak pilihan, anda harus menyelidik dan berbincang dengan ibu bapa lain sebelum membuat pilihan anda. ‘Penyiasatan’ anda harus merumuskan perkara-perkara berikut:
Adakah ia didaftarkan?
Perkara yang paling penting ialah menyemak sama ada pusat asuhan tersebut berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ajukan pertanyaan sama ada kakitangan yang bertugas telah menjalani kursus asas asuhan kanak-kanak.
Lihat sendiri
Adakah pusat asuhan tersebut bersih, ceria, luas dan mempunyai aliran udara yang baik? Perhatikan langkah-langkah keselamatan: Adakah terdapat bucu-bucu tajam? Adakah mainan yang disediakan tidak mempunyai bahagian-bahagian yang kecil? Adakah sinki dan tandas yang disediakan mengikut saiz kanak-kanak?
Perhatikan
Lihat bagaimana kakitangan dan kanak-kanak berinteraksi sesama mereka. Adakah kanak-kanak kelihatan gembira dan produktif? Adakah kakitangan responsif terhadap keperluan kanak-kanak?
Jadual aktiviti
Sesuatu jadual seharusnya bersesuaian dengan usia dan mempunyai peruntukan masa yang mencukupi untuk kanak-kanak bermain dan berehat. Jika terlalu banyak aktiviti bercorak akademik, ini bermakna kurang perhatian diberikan kepada perkembangan emosi.
Penjagaan berterusan
Kanak-kanak berkembang maju apabila penjagaan yang diterimanya di rumah mempunyai persamaan dengan penjagaan di pusat asuhan. Tanyakan tentang nilai-nilai yang diamalkan oleh pusat asuhan tersebut dan pandangannya tentang disiplin.
Tugas keibubapaan tidak boleh diwakilkan kepada penjaga. Anda dan pasangan perlu memainkan peranan anda. Dan untuk berjaya, memerlukan pengorbanan daripada ibu dan bapa. Sama ada anda perlu meluangkan lebih banyak masa bersama anak atau mengambil cuti untuk berkunjung ke pusat asuhan, anda seharusnya komited terhadap apa juga perkara bagi memastikan anak anda mendapat penjagaan yang sebaik mungkin – dari penjaganya dan juga dari anda.
Tanda-tanda amaran
Penjagaan yang selamat adalah satu kemestian tanpa mengambil kira apa juga cara pengurusannya. Awasi tanda-tanda berikut yang mungkin menandakan anak anda diabaikan atau didera:
- Berat badan menyusut
- Terdapat tanda atau lebam pada tubuh anak
- Menunjukkan kemajuan yang perlahan dalam pertuturan
- Anak kelihatan sugul dan suka menyisihkan diri
- Anak menangis dan enggan pergi ke pusat jagaan
Jika anda mengesyaki anak anda didera, hubungi talian 24 jam TELEDERA di 1-800-88-3040 dengan segera.
Komen