Pengasuhan Positif

Rayalah Dengan Selamat

Perjalanan selamat Apabila anda menjadi seorang ibubapa, anda perlu memikirkan bukan sahaja keselamatan diri sendiri, tetapi keselamatan anak-anak anda. Ada sesetengah perkara yang tidak boleh dielakkan, namun anda harus melakukan apa yang termampu untuk menghalang kemalangan jalan raya daripada mencederakan atau membunuh anak anda.

  1. Tempat duduk keselamatan. Sekiranya kemalangan berlaku, tiada apa-apa yang mampu melindungi anak anda selain tempat duduk keselamatan khas untuk kanak-kanak yang dipasang dengan baik di dalam kereta. Tempat-tempat duduk khas ini mungkin dapat menyelamatkan nyawa anak anda. Terdapat pelbagai jenis tempat duduk bagi kanak-kanak dengan umur dan saiz badan yang berbeza. Jadi pastikanlah yang anda membeli tempat duduk yang sesuai untuk anak anda. Tempat duduk bayi adalah untuk bayi berumur 12 bulan ke bawah (atau mempunyai berat 10 kg) dan dipasang menghadap bahagian belakang kereta.
  2. Tempat duduk yang boleh diubahsuai adalah untuk kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun dan boleh dipasang menghadap bahagian depan atau belakang kereta, bergantung kepada berat badan kanak-kanak tersebut. Tempat duduk ‘booster’ adalah untuk kanak-kanak berumur 4-10 tahun atau yang mempunyai berat badan antara 18 kg dengan 22 kg. Tempat duduk ini mengangkat kanak-kanak kepada ketinggian di mana mereka dapat menggunakan tali keledar untuk orang dewasa dengan selamat. Sekiranya anda tidak pasti tempat duduk keselamatan yang mana anda harus beli, tanyalah pakar pediatrik anda. Sama ada anda hanya membuat perjalanan 5 minit ke kedai runcit ataupun menziarahi ibubapa anda di kampung, tempat duduk keselamatan kanak-kanak adalah wajib bagi memastikan anak-anak anda selamat.
  3. Pasangkan tali keledar. Lakukannya untuk diri sendiri; lakukan untuk anak-anak anda, juga. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, anak-anak kecil mesti duduk di dalam tempat duduk khas. Jika anak anda sudah terlalu tinggi atau berat untuk tempat duduk ‘booster’, maka dia sudah cukup besar untuk menggunakan tali keledar dalam tempat duduk belakang kereta. Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak harus dibenarkan duduk di tempat duduk penumpang di hadapan. Pada setiap waktu, pastikan bahawa pemandu serta penumpang memakai tali keledar untuk keselamatan.
  4. Patuhi had laju. Walaupun anda bertolak dua jam lewat dari masa yang dirancangkan, janganlah memandu dengan laju. Apabila hari hujan, darjah penglihatan anda amat rendah dan anda mungkin perlu memandu dengan lebih perlahan bagi memberi anda lebih banyak masa untuk bertindak jika bertemu dengan objek-objek di atas jalan raya, seperti pohon pokok yang terjatuh atau kereta yang rosak.
  5. Tumpukan perhatian. Berehatlah sekurang-kurangnya sejam sekali dengan berhenti di tempat rehat sebelah lebuhraya. Jika anda mengantuk, tidur sebentar, selama 15-30 minit. Berhenti dengan kerap juga akan memberi peluang kepada anak-anak anda untuk menggerakkan kaki, yang akan membantu mencegah perasaan kurang selesa dan merungut. Jika perlu, ambil giliran memandu dengan suami/isteri anda atau penumpang lain yang mempunyai lesen memandu yang sah. Tetapi ini bermakna bahawa anda pula yang terpaksa menghiburkan kanak-kanak!
  6. Berhati-hati. Jika pemandu-pemandu yang lain memandu secara berbahaya atau tanpa menghiraukan keselamatan, jauhkan diri daripada mereka. Sekiranya anda memasuki hentian rehat bagi menjauhi mereka dan mereka mengikuti anda, jangan keluar dari kereta anda! Pilihlah hentian rehat yang lebih besar di mana terdapat lebih banyak orang, dan jangan membuka kunci atau pintu kereta jika terdapat orang yang menimbulkan syak wasangka berdekatan dengan tempat anda berhenti.
  7. Kuncilah kereta. Kereta perlu dikunci setiap masa, bukan hanya ketika kereta tidak bergerak. Sekiranya salah seorang daripada penumpang kereta anda tidak menutup pintu dengan rapat, kunci dapat menghalangnya daripada terbuka sewaktu kereta bergerak (hingga setakat yang tertentu). Untuk keselamatan tambahan, periksa setiap pintu kereta anda dan pastikan semua pintu dikunci dengan sempurna sebelum anda sendiri masuk. Jika kereta anda dipasang dengan kunci khas yang tidak dapat dibuka oleh kanakkanak, gunakanlah kemudahan tersebut.

Makan secara selamat

Perayaan (terutamanya perayaan di Malaysia!) selalu merupakan waktu untuk makan dengan banyak. Mungkin semasa makan malam keluarga, anda gembira dapat bertemu dan berbual-bual dengan sepupu anda yang sudah lama tidak bertemu, tetapi jangan lupa mengawasi anak-anak anda makan.

  • Jangan benarkan mereka bermain semasa makan. Hal ini termasuk banyak kerenah di meja makan, bergaduh menggunakan makanan, dan bermain-main dengan makanan. Jika anak anda sudah kenyang, arahkan anak anda meninggalkan meja makan.
  • Sewaktu makan, perhatikan apa yang anak anda makan. Walaupun anak anda biasa makan seorang diri, dia mungkin tidak biasa jika terdapat hidangan baru. Berhati-hati agar tiada tulang atau biji yang kecil dalam makanannya. Bagi memastikan keselamatannya, potonglah segala makanannya menjadi kepingan-kepingan kecil dan pastikan semua bahagian yang berbahaya dikeluarkan dahulu.
  • Perhatikan apa yang dia makan sebelum waktu makan. Ada beberapa jenis makanan ringan yang dihidangkan pada waktu perayaan yang tidak sesuai untuk anak kecil. Makanan tersebut menyebabkan anak anda menghadapi risiko tercekik, atau tercucuk mulut, gusi atau kerongkong. Makanan-makanan ini termasuk:
    • Biskut yang mengandungi kacang dalam bentuk keseluruhan atau ditumbuk
    • Jeruk buah-buahan (lazimnya, biji tidak dikeluarkan daripadanya)
    • Gula-gula dan manisan dengan tekstur melekit atau berserbuk (contohnya dodol, kacang tumbuk, rava ladoo, tong yuen dan kuih-kuih tradisional yang mempunyai pulut sebagai bahan asas)
    • Gula-gula jeli dan jeli, termasuk agar-agar dan konnyaku

Bermain selamat, kekal selamat

Menziarahi rumah keluarga lama, atau rumah di mana ibubapa anda kini tinggal, memang akan menimbulkan perasaan nostalgia waktu kecil anda. Sementara anda berbual-bual dengan saudara kandung dan sepupu anda yang sudah dewasa, perhatikanlah generasi muda apabila mereka bermain:

  • Jauhkan anak-anak daripada dapur, api dan lubang dipenuhi arang kayu yang digunakan untuk memasak.
  • Jika beza umur anak-anak yang bermain amat besar, pastikan bahawa anak-anak yang paling besar sedar bahawa mereka tidak boleh bermain secara kasar dengan sepupu mereka yang lebih kecil, dan memberitahu orang dewasa jika seseorang daripada mereka jatuh atau ditimpa kemalangan. Jangan membiarkan anak-anak kecil bermain tanpa pengawasan orang dewasa, tidak kira umur mereka. Mereka harus diawasi dari masa ke semasa.
  • Jangan benarkan sesiapa sahaja bermain dengan sebarang mercun atau bunga api kerana risiko kebakaran dan kecederaan. Alat ‘sparkler’ pun tidak selamat sebab ia mampu mencapai 10 kali ganda suhu air mendidih.
  • Larang anak-anak daripada mendekati kolam atau sungai kecil, baik yang semulajadi atau yang dibina manusia.
  • Jauhkan anak-anak daripada tangga, terutamanya yang tidak mempunyai susuran. Dukung mereka ketika menaiki/turun dari tangga atau pegang tangan mereka bagi membantu mereka naik atau turun.
  • Pastikan semua pintu kepada balkoni dikunci dengan kunci yang tidak dapat dibuka oleh kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen