Kad laporan yang dipenuhi dengan keputusan ‘A’ sememangnya membanggakan, “Wah, anak anda sangat pintar.” Tidak dinafikan keputusan peperiksaan adalah penting, tetapi bukan itu sahaja yang menjadi ukuran kepintarannya. Seorang kanak-kanak ‘pintar’ boleh berinteraksi secara positif dengan orang lain, mampu belajar dengan baik, sihat dari segi mental dan fizikal serta bersedia untuk menerokai dunia. Setiap ibu bapa mahukan anak yang pintar. Panduan berikut dapat membantu anda memupuk anak yang pintar.
Tunjuk Ajar
Ambil usaha untuk mendidik anak mempelajari setiap kemahiran yang perlu dipelajari – seperti membeli aiskrim di kedai, mendapat kawan baru atau menulis huruf. Tunjukkan caranya dan jelaskan bagaimana ia dilakukan. Jangan mengharap anak anda memperolehi kemahiran tersebut dari sumber yang tidak diketahui dan beranggapan dia boleh belajar dengan sendirinya. Jika bukan anda yang mengajarnya, siapa lagi?
Guna
Bantu anak anda untuk memahami kenapa anda mengajarnya kemahiran tertentu. Apakah faedah yang diperolehi? Terangkan kepadanya dengan istilah yang senang difahami: sebagai contoh, dia belajar tentang wang dan nilai supaya dia boleh membeli barang; dia belajar tentang warna supaya dia boleh mengenalpasti gula-gula kegemarannya di kedai.
Praktik
Beri peluang kepada anak anda mempraktikkan kemahiran yang telah dipelajarinya. Sudahkah anda melatihnya untuk memesan minuman di restoran? Bawanya ke sana dan biarkan dia memesan minumannya sendiri. Sudahkah anda mengajarnya bagaimana untuk menghubungi neneknya? Berikannya telefon dan biarkan dia menghubunginya sendiri.
Disiplin
Disiplin bermaksud keupayaan untuk mendengar dan mematuhi peraturan. Anda perlu tegas dan jelas dengan anak anda. Dia mesti faham bahawa jika dia enggan mematuhi arahan, dia akan menerima padah seperti tidak boleh menonton TV selepas makan malam. Tetapi, sekiranya anda mengenakan hukuman terhadap keengkarannya, pastikan anda juga memberikan ganjaran apabila dia mematuhi arahan.
Kemahiran
Kemahiran bermaksud berkongsi pengetahuan. Anak anda dianggap telah mahir sepenuhnya sesuatu kemahiran jika dia berjaya mengajar kemahiran tersebut kepada kanak-kanak lain. Galakkannya untuk
melakukan perkara yang sama kepada rakan-rakannya, adik-beradik serta saudara mara. Perhatikan anak anda dan ‘anak muridnya’. Jika ‘anak muridnya’ boleh melakukan kemahiran tersebut dengan betul, maka anda tahu yang anak anda telah menguasai kemahiran tersebut.
ADAKAH ANDA TERLALU MENARUH HARAPAN YANG TINGGI?
Adakah anda hanya memberikannya ganjaran jika dia cemerlang di dalam pelajaran? Adakah anda lebih memberi kritikan daripada memuji? Adakah anda sering membandingkannya dengan anak yang lain? Adakah anda mahu anak anda menunjukkan yang terbaik bagi menarik di depan tetamu yang bertandang ke rumah? Jika ya, maka anda merupakan salah seorang ibu bapa di Malaysia yang meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak anda. Jangan jadikan anak anda sebagai ‘suatu piala’. Cara yang paling efektif untuk memupuk kanak-kanak pintar ialah dengan menerima dan menghargai dirinya seperti yang sedia ada.
Komen