Pengasuhan Positif

Panduan Keselamatan Internet Bagi Kanak-Kanak

Pada hari ini, sistem komputer mampu dimiliki dan talian Internet mudah disediakan oleh sesiapa di rumah. Keputusan ibu bapa untuk membeli komputer dan menghubungkannya ke Internet biasanya untuk kebaikan anak mereka. Internet memberi pelbagai manfaat yang meluaskan pengetahuan dan sebagai alat komunikasi.

Kebelakangan ini, terdapat banyak kes dilaporkan di seluruh dunia berkaitan pengintipan dan gangguan siber terhadap kanak-kanak. Ini boleh dielakkan jika kanak-kanak sedar tentang selok belok kegiatan sedemikian dan cara pencegahan, termasuk perbualan selamat, pertemuan dengan orang asing dan sebagainya. Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak mereka tentang keselamatan Internet. Menerusi langkah ini, kanak kanak akan lebih maklum tentang bahayanya dan lebih bertanggungjawab dalam dunia siber.

Berikut adalah beberapa petua tentang keselamatan Internet.

  1. Letak komputer di ruang umum di dalam rumah dan bukannya di bilik kanak-kanak. Ia lebih sukar untuk memantau jika dalam bilik mereka. Pastikan skrin komputer tidak terlindung dan boleh mudah dilihat. Sekalisekala, perhatikan laman web yang dikunjungi mereka.
  2. Kenali laman web atau aktiviti dalam talian kegemaran anak anda. Anda boleh menyemak sejarah aplikasi pelayar web untuk menentukan laman web baru yang telah dikunjungi mereka.
  3. Didik anak anda tentang maklumat yang boleh didedahkan dan tidak boleh didedahkan di dalam talian, umpamanya maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon atau nama sekolah atau gambar.
  4. Beritahu anak anda agar jangan memenuhi permintaan rakan dalam talian untuk bertemu mereka tanpa kebenaran anda. Jika anda bersetuju, anda perlu mengiringi anak anda dan meminta mereka bertemu di tempat umum.
  5. Beritahu anak anda agar jangan membuka lampiran e-mel daripada orang yang tidak dikenali. Ajar mereka tentang bahaya sebarang virus menerusi e-mel dan bagaimana ia boleh merosakkan komputer mereka.
  6. Pastikan anak anda tahu bahawa dia boleh mendapatkan bantuan anda jika tidak pasti atau kurang senang dengan perkara tertentu di Internet. Anda seharusnya bersikap positif dan tidak memberikan reaksi secara keterlaluan apabila mereka memberitahu perkara sebenar. Jangan berikan hukuman terlalu berat kerana mereka mungkin tidak akan meminta bantuan anda pada masa depan.
  7. Ingatkan anak-anak anda bahawa sahabat baru yang dikenali mereka di dalam talian mungkin tidak seperti yang disangka mereka, dan perkara yang mereka beritahu atau baca dalam talian mungkin tidak benar. Terdapat kemungkinan wujud perbezaan identiti di dalam talian dan dunia sebenar.

Dengan penglibatan ibu bapa untuk memantau pendedahan dan kegiatan internet kanak-kanak, keselamatan dalam talian kanak-kanak dilindungi dan usaha ini mewujudkan masyarakat yang lebih selamat untuk semua. Kanak-kanak dilihat sebagai paling terdedah apabila melayari web dan mudah menjadi mangsa gangguan dan pengintipan. Terdapat pelbagai sumber yang boleh didapati di dalam talian yang memberi tumpuan terhadap isu ini dan perkara lebih penting ialah pendekatan proaktif yang diambil oleh semua pihak untuk mendidik kanak-kanak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen