Pengasuhan Positif

Mengajar Untuk Menghormati Diri Sendiri!

Usaha mengajar anak-anak tentang sikap hormat terhadap diri sendiri perlulah dimulakan dari kecil. Sebagai ibu bapa, apakah yang patut dilakukan? Berikut adalah cara-cara untuk membantu anda.

Hormati Pandangan Anak

Dengan meminta pandangan anak anda tentang sesuatu, anda akan memahami perasaan dan pandangan selain menunjukkan bahawa pandangan mereka penting. Dengan cara ini, dia akan membesar dengan pendapatnya sendiri.

Mempercayai Perasaan Anak

Hormati perasaan anak anda dengan mengambil berat tentang perasaannya. Jangan ketawakannya jika dia meluahkan perasaan seperti ketakutannya. Sebaliknya, ajar anak anda kemahiran yang membolehkannya mengatasi kebimbangan sendiri dan mencari jalan menguruskan perasaan ini.

Berunding Bersama

Sebagai ibu bapa, anda berkuasa untuk membuat keputusan akhir di rumah. Namun begitu, anda perlu menjelaskannya kepada anak anda jika dia tidak bersetuju. Dengan membantunya memahami logik di sebalik keputusan anda, dia mungkin tidak menaruh rasa geram. Ini memberikan mesej bahawa anda menghormati keupayaannya untuk membuat pertimbangan dan memahami pandangan orang lain.

Menerima Perwatakan Individu

Anda perlu mencungkil bakat anak dan membantu dia menyedari kebolehannya. Ini mengukuhkan kepercayaan keunikan diri dan bakat anak anda untuk meluahkan perasaan dan memaparkan kreativiti dalam bidang seperti seni, bahasa, muzik, tarian, drama atau sukan. Si manja anda akan menghormati kebolehan diri dan yakin pada diri sendiri.

Mendisiplinkan Anak dengan Hormat dan Kasih Sayang

Apabila mendisiplin anak, kritik kelakuannya dan bukan peribadinya. Kita boleh menyatakan dengan jelas kelakuannya yang salah; sebagai contoh anda boleh menyatakan sesuatu seperti “Apabila anda buat macam ni, ayah/ibu rasa takut sebab ini berbahaya” atau “Ayah/ibu marah sebab apa yang awak buat boleh mencederakan orang lain.” Jangan memalukan mereka sebagai cara mendisiplin. Anak perlu diajar untuk belajar daripada kesilapan dan perlu diingatkan bahawa mereka tetap disayangi dan dihormati walaupun bersalah.

“Apabila kanakkanak dilayan dengan rasa hormat, mereka merumuskan bahawa mereka layak dihormati maka mereka menghormati diri sendiri.”

Stephanie Martson, pakar terapi keluarga, penulis “The Magic of Encouragement”

Adakah Anda Mengajar Anak Anda Agar Tidak Menghormati Orang Lain?

  • Melabel. Jika anda memberi nama yang kurang baik kepada anak anda atau menyatakan mereka “bodoh” atau “tak guna”, anda mungkin menganggap label-label tersebut sebagai benar. Dalam jangka panjang, dia mungkin memenuhi gambaran tersebut, menjadikan gelaran yang diberikan satu kenyataan.
  • Menjerit. Ibu bapa sering menjerit kepada anak untuk menunjukkan rasa tidak puas hati. Apabila anak anda membesar, mungkin dia menunjukkan rasa tidak hormat dengan menjerit kepada anda, menjawab atau membelakangi anda dan mengabaikan anda.
  • Penghinaan. Apabila anda memalukan anak dengan menamparnya di khalayak ramai atau mendedahkannya kepada sesuatu tindakan yang memalukan di hadapan orang ramai, apa sebenarnya matlamat anda? Seseorang kanak-kanak yang dikenakan tekanan psikologi mungkin tidak mempunyai harga diri lagi. Apabila dia membesar, dia mungkin menghabiskan sepanjang hayatnya cuba menggembirakan orang lain, menjadi seperti ‘kain pijak’ atau ‘budak suruhan’ kerana dia tidak dapat mempertahankan diri apabila orang lain melayannya dengan cara yang kurang baik.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen