Pengasuhan Positif

Membina Rumah Tangga Bahagia

Pepatah Melayu “kasih sayang bermula di rumah” menggambarkan betapa penting dan besarnya peranan yang dimainkan oleh ibu bapa dalam membina keluarga bahagia. Memang tidak boleh dinafikan bahawa asas kebahagiaan hidup kita ialah keluarga, institusi yang sentiasa berubah dan menentukan bagaimana kita, sebagai kanak-kanak, akan membesar, dan kemudiannya bagaimana kita, sebagai ibu bapa, akan mencorakkan keluarga kita pula.

Kita juga tidak dapat menafikan bahaw ‘keluarga’ di Malaysia telah berubah, kerana sebagai sebuah entiti organik ia boleh dipengaruhi oleh banyak faktor. Pembandaran, mobiliti, pendedahan yang tidak terhad kepada dunia menerusi Internet, cabaran ekonomi, pengaruh kebendaan, dan kebangkitan masyarakat kelas pertengahan yang disertakan dengan kebebasan wanita di negara ini, adalah antara faktor yang menentukan keadaan kesihatan institusi kelurga kita. Dan oleh kerana keluarga secara kolektif membentuk tulang belakang masyarakat, ia juga memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan masyarakat.

Keadaan Keluarga Di Malaysia

Bagaimanakah keadaan ‘kesihatan’ keluarga di Malaysia dalam konteks ini? Daripada isu sosial yang merangkumi penagihan dadah dan perceraian serta penderaan kanak-kanak yang mencetuskan desakan supaya kerajaan melaksanakan program yang menggalakkan nilai sosial dalam masyarakat di negara ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kesihatan keluarga di Malaysia tidak berada di tahap yang optimum.

v1-08-article01b-bm

Antara yang pertama menggerakkan program ini ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menterinya yang baru dilantik, Datuk Dr Ng Yen Yen, mengingatkan anak-anak muda supaya jangan terburu-buru untuk berkahwin. “Zaman sekarang, ramai orang berkahwin pada usia yang terlalu muda,” katanya dalam laporan yang disiarkan oleh akhbar The Star baru-baru ini. Secara tidak langsung, kenyataan itu merujuk kepada kehamilan remaja yang menyebabkan mereka membuat keputusan untuk berkahwin secara tergesa-gesa. Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan terdapatnya kira-kira 126,810 ibu tunggal (Banci Penduduk dan Perumahan 2000 oleh Jabatan Perangkaan) di negara ini sekarang.

v1-08-article01c-bm

Angka perceraian yang meningkat juga telah membawa kesan negatif dan memburukkan lagi keadaan keluarga yang berpecah-belah, hingga menimbulkan pertikaian keluarga dan komplikasi yang timbul daripada tuntutan hak penjagaan dan nafkah anak. Jalan ‘penyelesaian’ yang wajar ialah penguatkuasaan Rang Undang-Undang Keluarga beragama Islam baru (Wilayah Persekutuan) (pindaan). Ia dipercayai dapat membantu menetap dan melindungi hak ibu bapa dan anak keluarga beragama Islam, dan juga memberi garis panduan kepada keluarga bukan beragama Islam yang terlibat dalam pertelingkahan rumah tangga.

Kesedaran orang ramai dan pindaan kepada undang-udang adalah antara beberapa cara untuk menangani gejala penyakit masyarakat. Tetapi masalahnya bermula di peringkat akar umbi, iaitu ‘keluarga’, khususnya kita semua sebagai ibu bapa yang patut menyedari peranan yang boleh kita mainkan untuk mempengaruhi “kebahagiaan” keluarga kita dan menentukan cara yang kita ingini untuk meletakkan ‘batu asas’ yang bakal membentuk tulang belakang masyarakat.

Bantuan Untuk Keluarga

Bagaimanakah kita boleh membina keluarga ‘bahagia’? Komitmen, komunikasi secara positif dan berterusan, kesanggupan meluangkan masa untuk bersama, kasih sayang, kerjasama, hala tuju dan matlamat yang betul untuk keluarga adalah antara cara yang disarankan oleh Dr Anjli Doshi Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia. “Semua orang mesti bekerjasama, memupuk ikatan emosi yang kukuh, membina kemahiran dan daya ketahanan keluarga, dan memastikan kestabilan kewangan.”

Ini adalah satu cabaran bagi ibu bapa zaman sekarang, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang bekerja dan pada masa yang sama terpaksa menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Dalam usaha untuk memberi bantuan kepada mereka, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia (LPPKN) melancarkan program Utamakan Keluarga – Semakin Hari Semakin Sayang pada 2003. Pakej Smart Start* dan program sebelum berkahwin Smart Start telah diilhamkan dan dilaksanakan sebagai cara untuk membantu pasangan yang akan berkahwin menyiapkan diri mereka untuk menangani isu-isu yang bakal dihadapi. Di samping itu, LPPKN juga telah melaksanakan program Parenting@Work yang bertujuan untuk membimbing ibu bapa yang bekerja dan mereka yang mempunyai anak-anak kecil dan remaja menangani cabaran hidup harian dan mengimbangkan tuntutan kerja dan kehidupan keluarga. Bimbingan perkahwinan dan membina hidup bahagia untuk ibu bapa yang bekerja ini diberikan dalam bentuk seminar, bengkel, aktiviti dan kaunseling.

Seperti kata Datuk Dr Ng Yen Yen, pasangan muda sering terjebak ke dalam kancah perkahwinan secara terburu-buru tanpa menyedari apa yang bakal ditempuhi. Menurut perangkaan mengenai wanita, keluarga dan kebajikan masyarakat 2007 yang diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada tahun 2006 sahaja, 178,506 pasangan telah berkahwin. Daripada jumlah itu, tidak dapat dipastikan berapa ramai antara mereka yang masih kekal bersama sebagai suami isteri atau menghadapi masalah rumah tangga.

Kesihatan Emosi Keluarga

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Dr Yen Teck Hoe, yang juga Naib Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, “Ramai orang tidak faham apa makna hidup berpasangan.”

Beliau menjelaskan bahawa orang yang berkahwin selalunya masih mahu meneruskan cara hidup lama semasa mereka bujang, dan tidak sedar bahawa struktur keluarga dan keadaannya sudah berubah. Kalau dahulu pasangan suami isteri mendapat sokongan keluarga besar yang merangkumi datuk dan nenek, pakcik dan makcik, kini keadaan sudah berubah. Keluarga zaman sekarang terbatas kepada keluarga nukleus atau teras yang hanya terdiri daripada bapa, ibu dan anak. “Keluarga sebegini kurang mendapat sokongan dan mudah terjerbak ke dalam masalah keruntuhan rumah tangga, penderaan anak, penderaan pasangan dan penderaan seks.”

Belajar Kemahiran Untuk Menjadi Ibu Bapa

Dr Yen menyokong saranan supaya pasangan mengikuti kursus sebelum berkahwin, bukan sahaja untuk menyedarkan mereka tentang perubahan peranan dan tanggungjawab, tetapi juga untuk mempelajari kemahiran untuk menjadi ibu bapa, termasuk kemahiran menguruskan rumah tangga dan membesarkan anak-anak. “Sebagai ibu bapa, mereka menghadapi tekanan kuat daripada masyarakat, yang mengharapkan kejayaan perkahwinan mereka. Selalunya, ibu bapa memberi tumpuan kepada kejayaan akademik dan mengabaikan asuhan yang memupuk kesejahteraan emosi dan pendidikan moral anak-anak, yang juga sama penting.” Menurut beliau, biasanya punca masalah ialah ibu bapa sendiri dan cara mereka melihat dunia. “Itulah sebabnya ibu bapa perlu mempelajari kemahiran untuk menjadi ibu bapa agar mereka dapat menyesuaikan diri dan memenuhi tuntutan dalam pelbagai peringkat hidup anak mereka yang sedang membesar.”

Sepatah Dua Kata Dengan 2 Persatuan Ibu Tunggal

Puan Mariam Abdullah adalah Presiden dan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur. Beliau mengasaskan persatuan ini kerana ibu tunggal tergolong dalam kumpulan mereka yang tersendiri, kebanyakannya bergantung kepada kemampuan sendiri untuk menanggung keluarga dan membesarkan anak-anak. Persatuan ini ditubuhkan untuk membantu mereka.

“Persatuan kami dibuka kepada semua bangsa. Biasanya, yang datang tahu cara untuk menguruskan kerja mereka tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk menangani situasi sebagai ibu tunggal.”

“Ada yang datang untuk meminta nasihat tentang perceraian, prosedurnya, dan apa yang patut dilakukan mereka selepas bercerai bila suami mereka tidak memberi nafkah. Jadi, kami beritahu mereka ke mana untuk membuat aduan, apa yang patut dilakukan.”

Tambah Puan Mariam, “Kami sentiasa beritahu mereka bahawa sebagai ibu tunggal, mereka kena jaga disiplin dan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka.”

Puan Ng Yoot Kuen adalah Presiden Spring Single Mothers’ Association yang ditubuhkan pada 2002. Buat masa ini, persatuan ini mempunyai seramai 400 hingga 500 ahli, yang kebanyakannya terdiri daripada wanita Cina. Spring Single Mothers’ Association mempunyai peguam yang memberi bantuan guaman dan kaunselor untuk membantu menyelesaikan masalah rumah tangga dan isu emosi.

“Sebilangan besar daripada mereka dari kumpulan berusia lebih kurang 17 tahun. Ramai juga yang berumur 30 hingga 50 tahun. Malah ada yang berumur 60 tahun. Kumpulan berumur 17 tahun tidak berpelajaran tinggi. Malah, sesetengahnya tidak pandai membaca atau menulis. Cabaran paling utama ialah untuk mendidik mereka. Itulah sebabnya kami memerlukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat untuk membantu kami meningkatkan tahap pengetahuan golongan ini.”

“Kami menganjurkan majlis perjumpaan dari masa ke masa dan memberi peluang kepada ibu-ibu dan anak-anak mereka untuk berkumpul dan berjumpa. Ibu tunggal sentiasa sibuk bekerja untuk menyara keluarga. Ini menyebabkan hubungan mereka dengan anak-anak renggang. Kami merapatkan hubungan mereka menerusi percutian ke Cameron Highlands, Melaka, dan sebagainya.”

“Ibu-ibu tunggal perlu ingat bahawa mereka terpaksa menjadi ibu dan juga ayah sebaik sahaja mereka bergelar ibu tunggal. Ini bukan mudah. Yang paling penting, mereka mesti menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak mereka.”

“Ibu-ibu tunggal mesti lindungi diri sendiri, pandang jauh ke hadapan, dan jangan terburu-buru untuk menjalin hubungan. Luaskan pengetahuan. Cuba berdikari. Ada ibu tunggal menghantar anak-anak mereka ke rumah anak yatim; ini salah kerana rumah anak yatim hanya memberi makan dan tempat tinggal. Dari mana mereka dapat kasih sayang?”

Petanda Fizikal Penyakit Emosi

Kekurangan kemahiran sebagai ibu bapa bukan sahaja menjejaskan kesihatan emosi keluarga, tetapi juga memberi kesan kepada kesejahteraan fizikal mereka. Ia boleh menimbulkan masalah seperti gejala psikosomatik, yang menurut definisi Kamus Encarta bermakna kesakitan fizikal yang disebabkan oleh faktor mental atau emosi.

“Semasa saya pelajar perubatan dulu,” kata Profesor Madya Dr Syed Zulkifli Syed Zakaria, “saya berdepan dengan seorang kanak-kanak yang mengalami Conversion Syndrome, dan histeria. Bila doktor pakar psikiatri menyoal ibu bapanya, beliau mendapati mereka sedang dalam proses perceraian. Ini menyebabkan si anak sakit dan dimasukkan ke hospital. Puncanya ialah keruntuhan rumah tangga.”

Penyakit psikosomatik boleh menjelma sekalipun bila ibu bapa tidak berpisah tetapi renggang dan berkelahi sepanjang masa. Anak mereka juga boleh terjejas dengan teruk.

Layanan yang berbeza kepada anak-anak pun boleh menjejaskan kanak kanak. “Kita mesti sedar bahawa ibu bapa boleh bersikap pilih kasih. Mereka boleh sayangkan seorang anak lebih daripada anak lain, sama ada secara sedar atau tidak sedar, tetapi ini boleh membuat anak merasa terpinggir,” jelas Profesor Madya Dr Syed Zulkifli. Kesan jangka panjang boleh menyebabkan kanak kanak merasa kekurangan sedangkan tiada yang kurang dalam keluarga mereka dan ini boleh menjejaskan keyakinan dan harga diri apabila mereka dewasa. Malah, semasa kecil, mereka boleh terganggu dengan perkara begini dan hilang tumpuan di sekolah hingga menyebabkan mereka gagal dalam peperiksaan. Akhirnya, anak-anak tidak dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya memandang remeh isu yang membabitkan anak-anak mereka, seperti masalah di sekolah apabila seorang budak enggan berkawan dengan mereka, atau kawan baik mereka menjadikan budak lain sebagai teman karib. “Kepada orang dewasa, ini perkara kecil tetapi bagi kanak-kanak, ini perkara besar,” kata Profesor Madya Dr Syed Zulkifli.

Kekurangan Kemahiran Sebagai Ibu Bapa

Perkara kecil seperti kebimbangan untuk berpisah, yang biasanya dialami pada permulaan penggal sekolah, boleh menimbulkan masalah emosi dalam jangka panjang. Profesor Madya Dr Syed Zulkifli memberi contoh seorang pelajar perempuan yang melanjutkan pelajaran di luar negara tetapi mendapati sukar untuk menyesuaikan diri dengan sistem persekolahan baru. Dia mula mengalami masalah sukar makan dan akhirnya tidak boleh makan sama sekali, menyebabkan kesihatannya terganggu dan dia kerap jatuh sakit.

Selain itu, terdapat kes penderaan kanak-kanak, yang ada kalanya berpunca daripada kekurangan kemahiran mengasuh anak. “Sebagai contoh, saya pernah menguruskan kes Sindrom Goncang Bayi,” katanya sambil menasihatkan ibu bapa supaya tidak menggoncang bayi. “Jika anak kecil menangis, tidak salah kalau dibiarkannya menangis. Kebanyakan ibu bapa mahu anak mereka berhenti menangis tetapi ini boleh membawa lebih mudarat jika mereka menggoncang bayi.” Bayi yang digoncang, bergantung kepada sekuat mana goncangan, boleh mati akibat trauma otak atau jika dia hidup, boleh mengalami kecederaan jangka panjang, daripada gangguan pembelajaran hingga lumpuh, buta dan terencat akal dan tumbesaran.

Terdapat juga isu kontroversi membabitkan ibu bapa yang suka memukul anak-anak kerana menyangka cara itu dapat mendisiplinkan mereka. “Sukar untuk kita menentukan garisan antara hukuman fizikal dan penderaan anak,” katanya. Terdapat cara lain untuk mendisiplinkan anak-anak kita. “Bolehkah kita menunaikan kewajipan kita sebagai ibu bapa yang baik tanpa hukuman fizikal ke atas anak-anak kita?”

Asuhan – Satu Proses Pembelajaran

Keupayaan mengasuh anak-anak bukan lahir daripada naluri semula jadi, tetapi satu proses pembelajaran. “Kita ada cara untuk mendapatkan bantuan – daripada buku, nasihat daripada ibu bapa yang berpengalaman dan majalah seperti Positive Parenting. Ia sangat berguna dan boleh membantu mereka yang baru bergelar ibu bapa.”

Profesor Madya Dr Syed Zulkifli membuat kesimpulan, “Keluarga bahagia bukannya keluarga yang tidak mempunyai masalah sama sekali. Yang penting bagaimana mereka menangani masalah.”

Bagaimana Membina Keluarga Bahagia

Bukan mustahil untuk kita membina keluarga yang bahagia. Cadangan berikut sedikit sebanyak boleh membantu kita:

  • Menghabiskan masa berkualiti bersama
  • Berkomunikasi secara positif
  • Agihkan kuasa dan bekerja sebagai satu pasukan
  • Tunjukkan penghargaan di antara satu sama lain

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen