Pengasuhan Positif

Membesarkan Anak-anak Anda Mengikut Peringkat Umur

Anak adalah anugerah Ilahi yang paling berharga dalam hidup kita. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk membesarkan anak-anak kita dengan sempurna, agar mereka menjadi manusia yang berguna apabila mereka dewasa kelak. Seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’, mengasuh anak biarlah dari kecil.

Tugas ibu bapa tidak semudah yang disangka. Ini adalah kerana tanggungjawab kita bukan sekadar untuk menyediakan makanan serta pakaian dan seterusnya perbelanjaan pendidikan semasa mereka kecil sahaja. Namun, tanggungjawab kita berterusan sehingga mereka membesar hingga menjadi remaja.

Selain memastikan anak-anak membesar dengan sihat, tugas ibu bapa termasuk membantu mereka mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya, dan menyediakan asas yang betul untuk membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Bukan mudah untuk mencapai matlamatmatlamat ini. Namun, tugas membesarkan anak-anak bukanlah satu bebanan atau masalah besar.

Pada hakikatnya, ia ibarat menyertai pengembaraan yang berliku-liku dan penuh cabaran, pengembaraan bersama mereka disulami suka duka, keriangan dan hilai ketawa, keresahan dan tangisan.

Dengan mengamalkan pendekatan yang positif, kita boleh meramalkan keperluan fizikal, intelektual, emosional, sosial dan pemakanan anak-anak kita. Dengan begitu, kita boleh bertindak mengikut keadaan. Pendekatan ini bermula dengan perasaan kasih sayang dan memahami peringkat usia dan pertumbuhan mereka.

DUA BELAS BULAN PERTAMA

Peringkat paling memenatkan ibu bapa bermula sebaik sahaja bayi dilahirkan. Tugas menyusu dan menyuapkan makanan, memandikan, menukar lampin, membawa bayi berjumpa doktor dan mendapatkan suntikan vaksin merupakan satu rutin yang membuat kita sentiasa sibuk. Tetapi semua kepenatan ini hilang apabila kita melihat bayi kita membesar dengan sihat dan belajar pelbagai perkara baru di sekelilingnya.

Dalam usia 6 minggu, dia tidak berdaya mengangkat kepala; menjelang 8 bulan, dia sudah pandai duduk dan menggunakan tangannya untuk memegang mainan atau makanan. Pada usia 10 bulan, dia boleh merangkak dan meniru gelagat kita, seperti menepuk tangan. Mencecah usia 12 bulan, dia
boleh berdiri megah dan bertatih sambil memegang tangan kita. Kepetahannya menyebut ‘ma-ma’ atau ‘da-da’ bagaikan nyanyian yang menghiburkan perasaan.

USIA 1, 2, 3 TAHUN

Usia satu tahun menandakan titik permulaan yang membawa liku-liku perubahan yang menggembirakan hati bayi dan juga diri kita. Dia sudah mula memahami tindak tanduk kita, dan menganggap kita sebagai pelindung dan tempat untuk mendapatkan sokongan emosional. Dia boleh bermain dengan kita dan berhubung melalui isyarat, seperti mengangkat tangan untuk meminta didokong dan dibelai.

Mencecah usia dua tahun, dia sudah pandai berjalan dan berlari-lari. Keupayaan mengimbangkan pandangan mata dengan gerakan tangannya membolehkan dia bermain dengan objek besar, seperti bola atau mainan. Dia lebih yakin dan berani meninjau persekitaran yang lebih jauh dari kita.

Dia seronok bermain berhampiran kanak-kanak lain, tidak dengan mereka. Melalui kata-kata dan ayat yang mudah, dia sudah boleh memberitahu kita apa yang tersirat di dalam fikirkannya.

Dalam usia tiga tahun, dia semakin ligat – mula melompat, memanjat dan bermain dengan objek lebih kecil. Dia boleh mengenali warna dan bentuk, dan lebih petah bercakap menggunakan ayat-ayat yang lebih panjang. Dia juga gemar bermain dengan kanak-kanak lain dan mula belajar berkongsi mainan dengan mereka serta mengawal emosinya.

Di peringkat ini, anak-anak akan bersikap mendesak. Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu tegas dan bijak mengimbangkan kehendaknya dengan keperluan supaya dia belajar menghormati kuasa ibu bapa. Dia akan mula menunjukkan perangai buruknya dengan membantah kehendak kita dan berdegil tidak mahu melakukan apa yang kita minta. Ini semua akan menjadi ‘asam garam’ bagi kita. Di peringkat inilah kita perlu menunjukkan batasan, peraturan dan disiplin yang bakal menjadi garis panduan hidupnya pada masa hadapan.

4 HINGGA 6 TAHUN

Kadar pertumbuhan anak kita biasanya beransuransur perlahan apabila memasuki peringkat umur 4 hingga 6 tahun, namun perubahan pada dirinya semakin ketara. Dari segi fizikal, dia menjadi lebih tinggi dan berat badannya bertambah, ruas tangannya semakin panjang, dan giginya mula tumbuh. Dia bertambah kuat, tangkas dan seimbang.

Dia sudah pandai berceloteh dan menyuarakan pandangan serta pendapatnya. Malah, kita boleh mendengar dan melihat pelbagai aspek dunia melalui kaca matanya.

Anak kita akan belajar banyak lagi perkara baru apabila mereka memasuki tadika atau kelas pra-sekolah. Mereka bukan sekadar belajar mengenal A-B-C, 1-2-3, aneka warna dan lagu, tetapi juga belajar bercampur-gaul dengan kanak-kanak lain. Dia akan belajar mendengar dan mematuhi arahan guru-gurunya (dan juga arahan kita) dan belajar melihat kehidupan dunia luar daripada pergaulan dengan kanak-kanak sebaya dengan mereka.

Oleh kerana daya ketahanan anak kita masih di peringkat pembangunan, pergaulan dengan kawan-kawan akan meningkatkan pendedahan mereka kepada jangkitan kuman biasa seperti kuman selsema, flu, batuk, demam, cirit-birit dan lain-lain. Serangan penyakit biasa seperti ini memang menjadi lumrah hidup semasa anakanak sedang membesar. Tetapi jika mereka terlalu kerap mendapat jangkitan atau mengalami masalah serius, bawalah mereka berjumpa doktor.

SELEPAS 6 TAHUN

Alam persekolahan rendah menandakan permulaan pendidikan akademik secara formal diikuti kelas tuisyen dan muzik, dan menyertai kegiatan sukan serta rekreasi di luar waktu sekolah. Sikap, perangai dan tabiat mereka (termasuk juga pilihan makanan kesukaan dan cara makan) mula dipengaruhi oleh orang lain – terutama guru, kawan atau idola mereka.

Anak kita akan menuntut kebebasan sambil membentuk idea dan pendapatnya sendiri. Tetapi kita tidak boleh memberikan kebebasan penuh atau membiarkan mereka membuat keputusan sendiri. Mereka masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar kita untuk membantu mereka membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana betul dan yang mana salah. Mereka juga merasa lebih selesa jika kita mengambil berat terhadap kegiatan mereka. Anak-anak bukan sahaja menghargai pujian, galakan dan panduan yang kita berikan, tetapi juga disiplin yang kita kenakan, kerana ini semua menunjukkan kita memberi perhatian dan mengambil berat tentang mereka.

Kesemua ini merupakan sebahagian daripada pendekatan positif yang boleh kita amalkan untuk memastikan anak-anak kita membesar dengan sempurna.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen