Pengasuhan Positif

Kerja & Keluarga : Mencari Keseimbangan

Jamil bersungguh-sungguh berkerja lebih masa untuk melangkaui jangkaan majikan; kenaikan pangkat itu hampir dalam genggamannya. Sara berkerja di organisasi antarabangsa dan on-call 24/7 untuk mengenalpasti masalah dan konsultasi. Dengan adanya teknologi komunikasi terkini, Ravin boleh berkerja bila-bila masa di mana jua – dari rumah, dalam kereta, malah ketika bercuti bersama keluarga.

Jamil, Sara dan Ravin mempunyai satu persamaan: mereka ialah ibubapa kepada anak anak kecil dan sebahagian dari trend yang kita lihat di kalangan rakyat Malaysia masa kini.

Dengan 47% wanita di Malaysia yang berkerja, pendapatan berganda keluarga turut meningkat. 70% keluarga hari ini terdiri daripada keluarga nuklear – ibubapa dan anak-anak, tanpa melibatkan ahli keluarga lain. Makin ramai pasangan pula dikenali sebagai ‘generasi sandwic’ yang bukan saja menjaga anakanak, tetapi juga ibubapa mereka yang berusia.

“Pasangan hari ini inginlah berjaya dalam kerjaya tanpa mengabaikan atau menggoyah kebahagiaan keluarga,” kata Dr Anjli Doshi-Gandhi, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Malaysia. “Namun, dengan kerja lebih masa dan komitmen yang menimbun, mereka kurang meluangkan masa bersama anak-anak dan pasangan. Akhirnya, keluarga itu kadang-kala akan menderita.”

Mengimbangi kerjaya dan keluarga boleh menjadi sukar – kedua-duanya penting dan memerlukan masa dan usaha. Meluangkan terlalu sedikit masa dengan keluarga akan membuatkan anda rasa bersalah, tertekan, berkonflik dan diketepikan daripada pasangan dan anak-anak. Terlalu sedikit masa di tempat kerja dan kerjaya anda akan tergugat. Jadi, bagaimana anda boleh mengimbangi kerjaya dan kehidupan yang baik?

Mencari Keseimbangan Peribadi Anda

Perseimbangan kerjaya-hidup bukan membahagikan masa sama rata antara keluarga dan kerjaya, ataupun memendekkan waktu kerja anda. Ia berbeza untuk setiap individu kerana kita mempunyai kepentingan, gaya hidup dan berada di peringkat hidup yang berbeza. Ia akan berubah – keseimbangan yang anda capai hari ini mungkin tidak berkesan setahun kemudian. Kuncinya ialah memutuskan apa yang penting untuk anda sekarang dan menyesuaikan kerjaya dan kehidupan berkeluarga sewajarnya.

  1. Tetapkan keutamaan anda

    Menurut Dr Anjli, menetapkan keutamaan merupakan langkah pertama untuk hidup seimbang. Ketahui perkara yang anda utamakan, bukan apa yang orang lain fikirkan. “Apa yang penting dalam hidup anda? Senaraikan empat atau lima keutamaan teratas. Ia merupakan perkara teras yang anda tidak boleh abaikan. Anda mempunyai masa terhad, maka jangan serabutkan hidup anda dengan perkara yang tidak penting,” kata beliau.

  2. Ketahui peranan anda

    Keseimbangan kerjaya-hidup bukan saja berkenaan peranan anda sebagai pekerja atau ibubapa kepada anak-anak. Ia juga tentang menjadi suami atau isteri kepada pasangan, anak kepada ibubapa, adik-beradik dan kawan. Apakah tanggungjawab anda dalam setiap peranan dan bagaimana anda memenuhi semuanya? Buat jangkaan atau ekspektasi yang realistik.

  3. Asuhan kreatif

    “Pastikan masa yang anda luangkan bersama yang tersayang ialah masa yang berkualiti,” tekan Dr Anjli. “Contohnya, dengan anak-anak, fikirkan cara untuk membuatkan asuhan itu lebih menarik – ia adalah satu keseronokan, bukan bebanan! Ambil tahu tentang anak anda dan terapkan mesej dan nilai positif apabila bersama. Pastikan anda pentingkan mereka sepenuhnya dan berikan kasih sayang yang tak berbelah bagi.”

  4. Pengurusan tekanan

    Perasaan tertekan akan membuatkan anda cuai dengan kesihatan, dan mempengaruhi kemampuan anda untuk menjaga keluarga dan berkerja secara efektif. Kenalpasti tekanan itu dan cari jalan menghadapinya. Lihat perkara secara perspektif – bukan semuanya krisis besar. Ingatkan diri anda untuk relaks dalam situasi tertekan. Jaga diri dengan makan sihat dan bersenam. Elakkan kafein, nikotin atau alkohol untuk hadapi tekanan. Tetapkan satu hari dalam seminggu untuk jalani aktiviti yang anda minat, bersama mereka yang tersayang.

KERJA LEBIH MASA

Kadang-kala, kerja lebih masa bukanlah pilihan – anda perlukan duit atau memang kerjanya sebegitu. Walaupun anda tidak boleh mengelakkannya, anda masih boleh belajar menguruskannya dan mempunyai masa untuk keluarga. Jika kerja lebih masa adalah pilihan, akan tetapi – contohnya, jika cita-cita anda untuk menggapai jawatan korporat – anda perlu tahu had dan batasan anda. Belajar untuk berkata ‘tidak’ jika ia mula menggangu kesihatan atau menyebabkan anda mengabai tanggungjawab anda terhadap keluarga.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen