Pengasuhan Positif

Asuhan Positif Membawa Banyak Makna

Hadiah paling berharga yang boleh anda berikan kepada anak-anak anda ialah zaman kanak-kanak yang sihat dan riang gembira. Dalam siri rencana Asuhan Positif ini, kita telah meninjau pelbagai aspek keperluan hidup kanak-kanak – sejak bayi hingga mencapai usia pra-sekolah. Selain mengikuti pertumbuhan dan pembangunannya dari segi fizikal dan mental, kita juga telah mengupas isu-isu kesihatan dan keselamatan.

Asuhan positif membawa banyak makna. Ia boleh diibaratkan seperti memulakan perjalanan bersama anak anda. Perjalanan berliku-liku, melalui pengalaman suka duka yang membentuk asas pertumbuhan
dan perwatakannya.

Banyak peristiwa menggembira dan menyeronokkan, tetapi tidak kurang juga peristiwa yang menyayat hati. Setiap detik dalam zaman kanak-kanaknya lebih berharga jika anda melaluinya bersama.

Asuhan positif bukan bermakna memimpin tangannya sepanjang masa. Dia lebih memerlukan kerjasama anda, bukan kawalan atau pengawasan yang terlalu ketat. Walaupun anda bertanggungjawab untuk melindunginya, anda perlu memberi ruang kepada anak anda untuk ‘mengembangkan sayapnya’ dan menimba pengetahuan melalui pengalaman sendiri.

PEMAKANAN YANG BETUL

Sejak dilahirkan sebagai bayi yang memerlukan dakapan anda hingga dia membesar menjadi remaja yang berdikari, anak anda sentiasa memerlukan pemakanan yang betul dalam setiap peringkat pembangunannya.

Semasa bayi, berilah dia minum susu badan untuk membolehkannya mendapat khasiat yang lengkap daripada susu ibu. Apabila dia membesar, berikan pemakanan seimbang yang membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, zat galian, serat, protein dan juga lemak dalam jumlah yang betul supaya badan dan mindanya boleh aktif.

Ragam anak-anak, terutama semasa bayi hingga mencapai usia pra-sekolah, memang mencabar kesabaran kita. Tabiat makan yang pelik dan selera yang tidak menentu ada kalanya memeningkan kepala. Usah terlalu risau memikirkan masalah ini. Anak anda tidak akan mati kerana kebuluruan. Justeru itu, anda tidak perlu mengancam dan memaksa. Sebaliknya, anda boleh memberikan galakan dengan menunjukkan kasih sayang dan kesabaran. Anak anda akan makan apabila dia lapar atau sudah bersedia. Bagaimanapun, jika berat badannya turun dan kesihatannya terjejas, bawalah dia berjumpa doktor.

Sebagai ibu, anda perlu menyediakan makanan yang berkhasiat dan seimbang untuknya. Pilihan yang baik termasuk makanan yang lengkap, segar, dan diperkaya atau diperkuatkan. Tetapkan masa yang sesuai dalam jadual harian anak anda untuk memberikan makananmakanan ini. Seperti memberinya segelas susu pada waktu pagi, dan segelas lagi pada waktu petang. Atau, memberikan snek yang diperkayakan dengan vitamin untuk menambah tenaga, dan buah-buahan segar selepas makan malam.

Susu adalah sumber khasiat makanan yang baik untuk memberikan tenaga, protein, vitamin, kalsium dan zat-zat galian lain. Justeru itu, anak anda patut diberi minum susu sepanjang tahuntahun pembesarannya yang penting.

Namun, ramai kanak-kanak di Malaysia berhenti minum susu apabila berusia dua atau tiga tahun. Membiasakan anak-anak minum susu dengan rumusan mudah hadam pada tahun-tahun formatif ini boleh membantu memupuk kegemaran minum susu untuk masa yang lebih lama.

Pengalaman melatih anak-anak mengamalkan pemakanan yang betul adalah sebahagian daripada keseronokan melihat mereka membesar dengan riang gembira, sihat, bertenaga dan sentiasa bersedia untuk menerokai segala kemungkinan dalam kehidupan.

PERLINDUNGAN PENUH KASIH SAYANG

Anak kecil anda sentiasa terdedah kepada pelbagai bahaya, baik di rumah atau di tempat-tempat awam. Asuhan positif bermakna menggunakan kebijaksanaan anda untuk melindunginya dan mengajarnya untuk menjaga diri dan berdikari.

Bayangkan diri anda sebagai anak kecil. Apakah bahaya yang mungkin anda hadapi? Cegah bahaya yang boleh menyebabkan anak anda terjatuh atau tergolek, dilanggar kereta, lemas, keracunan, melecur dan terbakar, tercekik dan tersekat nafas. Jangan sekali-kali mendera anak anda, walau apapun sebabnya.

Satu lagi ancaman ialah penyakit. Penyakit-penyakit seperti hepatitis, batuk kering, polio dan sebagainya tidak mampu ditangkis oleh sistem pelalian anak anda. Oleh itu, jangan lupa untuk membawanya ke klinik mengikut jadual untuk mendapatkan suntikan vaksin yang diperlukan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tugas ini bukan mudah, lebih-lebih lagi untuk memujuk dan menenangkan anak-anak yang sudah memahami erti suntikan. Pujukan lembut boleh membantunya mengatasi ketakutan. Tangisan anak adalah masalah sampingan yang amat kecil berbanding usaha anda untuk melindungi nyawanya.

Penyakit-penyakit biasa seperti batuk, selsema, sakit tekak, cirit-birit dan sebagainya adalah sebahagian daripada proses membesar. Walaupun penyakitpenyakit ini tidak merbahaya jika dibandingkan dengan jangkitan virus dan bakteria lain, ia perlu diuruskan dengan betul. Penyakit-penyakit biasa ini boleh membantutkan pembangunan anak-anak dan mengganggu pembelajaran dan kehidupan sosialnya. Ia juga boleh mendatangkan risiko komplikasi yang boleh menjadi lebih serius lagi.

Pemakanan yang betul penting untuk menjaga kesihatan anak anda. Sebagai contoh, vitamin A, C, E dan beta karotena (vitamin-vitamin yang dipanggil ‘anti-oksidan’) dapat membantu menguatkan daya pertahanan badan menentang penyakit-penyakit tertentu. Buah-buahan, sayursayuran dan susu yang diperkuatkan adalah antara sumber-sumber yang dapat membekalkan keperluan anti-oksidan anak anda.

Suasana dan persekitaran juga tidak kurang pentingnya sama ada di rumah, di tadika, atau di tempat lain. Selain daripada itu, anak-anak perlu diasuh supaya menjaga kebersihan diri (seperti mencuci tangan) dan mengamalkan tabiat yang baik untuk mencegah jangkitan (seperti tidak berkongsi pinggan makanan, cawan dan sudu garpu) di luar rumah.

BELAJAR DAN BERMAIN

Asuhan positif bermakna anda perlu melibatkan diri dalam pembelajaran anak anda. Walaupun ini tidak bermakna anda perlu mempelajari tiga ‘M’, anda boleh membantu anak anda mengenali diri sendiri, termasuk mengenali identiti, keupayaan dan emosinya.

Enam tahun pertama dalam usia anak anda adalah masa untuk membentuk asas pembelajaran formal. Gunakan masa ini dengan sepenuhnya. Menerusi perbualan dengannya, anda dapat membantu anak anda belajar bercakap. Tunjukkan gambar-gambar untuk mengajar dia mengenali huruf tulisan. Belajar mengira lebih menyeronokkan jika diselitkan dalam aktiviti bermain. Dengan asuhan positif ini, anak anda lebih bersedia untuk memasuki dunia pendidikan akademik dan intelektual, yang bermula dengan pendidikan pra-sekolah.

Jangan terkejut dengan apa yang dipelajari oleh anak anda dari-pada contoh yang ditunjukkan oleh orang lain. Di rumah, kemesraan dan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa, adik beradik dan saudara mara membantu anak-anak mempelajari tentang kasih sayang, sikap saling hormat-menghormati, bertimbang rasa dan disiplin diri.

Gaya hidup yang sihat boleh mempengaruhi kecenderungannya. Anak-anak akan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan gemar bersukan dan melakukan kegiatan fizikal jika ia menjadi sebahagian daripada gaya hidup keluarganya.

Anak anda sentiasa memerhati dan belajar daripada gerak-geri dan tindak-tanduk anda. Justeru itu, tunjukkan contoh yang baik dan berhati-hati apabila melakukan sesuatu.

BERKAWAN BERMULA DI RUMAH

Dalam asuhan positif, terdapat ‘M’ keempat yang perlu dipelajari oleh anak anda. ‘M’ untuk ‘menjalin hubungan’. Anak anda perlu belajar menjalin hubungan yang sihat dengan orang dewasa dan rakan sebaya, bukan sahaja untuk kepentingan sosial tetapi juga untuk kepentingan mental dan emosional.

Tetapi untuk menjalin hubungan persahabatan, anak anda perlu memiliki sifat-sifat yang disukai (seperti kesediaan berkongsi mainan dan mengambil giliran), dan belajar bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain. Sebagai ibu bapa, anda perlu memberikan segala kesempatan untuk membantu anak anda menguasai kemahirankemahiran ini.

Luangkan masa untuk bermain dengan anak anda, terutama sepanjang usia tiga tahun pertamanya. Saat-saat ini penting kerana dia memerlukan sebanyak mungkin perhatian anda untuk membantunya meningkatkan keyakinan diri. Apabila umurnya meningkat, benarkan dia bermain dengan kanak-kanak lain, dan sekalisekala, pelawa kawan-kawannya datang ke rumah untuk bermain dengannya.

Selagi anak-anak bergelar kanak-kanak, selagi itulah mereka memerlukan asuhan dan bimbangan positif kedua ibu bapa. Nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa dapat membantu mereka mengelakkan tersilap laku dan tersalah bahasa yang boleh memalukan dalam pergualan sosial. Ia juga dapat membantu anak anda menjaga maruah dan harga diri apabila diketepikan oleh rakan-rakan sebaya. Puji kejayaannya apabila dia mendapat kawan baru dan carikan jalan untuk membolehkan anak anda diterima oleh kanak-kanak lain jika dia mendapati sukar untuk melakukan sendiri.

Tetapi, sebaik-baiknya biarkan anak anda membuat kawan sendiri dan belajar menahan kepedihan apabila disisihkan oleh rakan-rakan sebaya. Jangan cuba membuatkan kawan untuknya atau campur tangan terlalu awal apabila anak anda menghadapi masalah. Anda perlu memainkan peranan yang lebih membina dengan mengajarnya dari jauh. Dia lebih memerlukan asuhan positif dan sokongan moral anda dalam usaha yang perlu dilakukan sendiri. Pada waktu-waktu tertentu, dia perlukan anda sebagai seorang sahabat.

SELEPAS ZAMAN KANAK-KANAK

Asuhan positif bermakna berkongsi pengalaman dan bekerjasama dengan anak anda untuk mencapai segala impiannya. Dari peringkat asas yang dibina pada zaman kanak-kanak yang sihat dan riang gembira, dia akan membesar dan menggunakan sepenuh keupayaannya untuk menjadi manusia yang berguna.

Makanan seimbang yang anda berikan, kasih sayang yang anda curahkan, ajaran yang anda sematkan, galakan yang anda bekalkan dan peluang-peluang yang terbuka di hadapannya akan menguatkan tekad dan menaikkan semangatnya untuk mendaki ke puncak yang lebih tinggi. Dia akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik, mencapai kecemerlangan dalam sukan, menunjukkan bakat dalam bidang muzik dan seni, mendapatkan pekerjaan yang menjamin masa depan, berkahwin dan seterusnya membina keluarga yang bahagia.

Walau di mana dia berada, walau setinggi mana pangkat yang disandangnya, dia tetap anak anda. Jangan terkejut jika suatu hari nanti dia meminta nasihat anda tentang asuhan positif untuk membantunya mengasuh anakanaknya pula.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen