Apa Maksud Pengabaian?
Menurut kamus, pengabaian bermakna “tidak menghiraukan; tidak melakukan atau tidak memberi perhatian.” Pengabaian anak adalah bentuk penderaan kanak-kanak yang paling banyak berlaku dan paling banyak membawa padah. Pengabaian merujuk kepada layanan buruk yang diberikan oleh ibu bapa atau penjaga, sama ada dengan sengaja atau kecuaian luar biasa yang menyebabkan anak mengalami penderitaan yang boleh dielakkan.
Jenis Pengabaian
Pengabaian boleh dikategorikan ke dalam tiga bentuk.
Pengabaian fizikal dan perubatan. Ini adalah bentuk pengabaian yang paling biasa berlaku. Ia termasuk keengganan untuk mendapatkan penjagaan perubatan yang sewajarnya dan segera untuk anak; meninggalkan anak; membiarkan anak kecil sendirian tanpa pengawasan; dan kegagalan untuk memberi perlindungan dan pemakanan yang secukupnya.
Pengabaian pendidikan. Ini berlaku apabila anak dibenarkan tidak pergi ke sekolah tanpa sebab yang munasabah untuk jangka waktu yang lama; tidak didaftarkan di sekolah walaupun sudah mencapai umur untuk bersekolah; atau tidak diberi pendidikan khas sedangkan si anak ternyata memerlukannya.
Pengabaian psikologi atau emosi. Pengabaian jenis ini sukar disedari. Ibu bapa mungkin enggan memberi kasih sayang sebagai satu bentuk disiplin tetapi pengabaian ini boleh membawa akibat apabila sikap tidak ambil peduli menjadi norma dan ibu bapa tidak menyedari keperluan psikologi anak-anak mereka. Keengganan membelai anak, mencemuh dan memencilkan anak daripada kawan-kawannya dan anggota keluarga boleh menyebabkan kerosakan emosi dan psikologi yang serius kepada jiwanya. Ibu bapa yang membenarkan anak mereka mengambil dadah dan alkohol juga bersalah kerana melakukan pengabaian psikologi.
Pengabaian Sekali-sekala?
Pengabaian selalunya berlaku disebabkan apa yang kita anggap ketika itu sebagai situasi di luar kawalan kita. Sementara menunggu ketibaan pembantu rumah baru, anak yang lebih tua mungkin diberi tanggungjawab untuk mengurus dan menjaga adik sementara kita menguruskan sesuatu di luar rumah. Memang wajar kita melatih anak memikul tanggungjawab membuat kerja rumah sejak kecil, tetapi mereka tidak seharusnya dipaksa menjadi pengganti ibu bapa. Ini adalah satu bebanan yang tidak boleh diletakkan di atas bahu mereka.
Kanak-kanak bukan harta benda ibu bapa, dan bukan juga objek yang memerlukan belas ihsan. Mereka perlu dipertahankan sebagai individu, dengan hak dan tanggungjawab yang sepadan dengan usia dan tahap pembangunan mereka.
Semua hak untuk semua kanak-kanak (UNICEF), 2009
Kes Pengabaian Anak di Malaysia
Pada tahun 2008, Jabatan Kebajikan Sosial Malaysia merekodkan sejumlah 1,010 kes pengabaian dan pembuangan kanak-kanak. Angka ini menunjukkan peningkatan besar daripada 487 kes pada tahun 2003 dan 254 kes pada tahun 2000.
Perangkaan menunjukkan bahawa kemungkinan kanak-kanak perempuan diabaikan dan ditinggalkan adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki. Daripada 1,010 kes pengabaian dan pembuangan kanak-kanak yang direkodkan pada 2008, 560 kes melibatkan kanak-kanak perempuan. Pola yang sama dilihat pada 2009 di mana data yang terkumpul dari bulan Januari hingga Julai menunjukkan bahawa hanya 194 daripada 439 kes pengabaian dan pembuangan melibatkan kanak-kanak lelaki.
Komen