Respiratory syncytial virus (RSV) ialah sejenis virus pernafasan yang menjangkiti paru-paru dan saluran pernafasan. Walaupun kebanyakan orang mengalami gejala ringan seperti selesema, RSV boleh menjadi masalah kesihatan yang serius, terutamanya bagi bayi dan warga emas. Malah, RSV adalah antara punca utama kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak kecil.
Apa itu RSV?
RSV ialah virus yang sangat mudah berjangkit dan merebak melalui titisan daripada batuk atau bersin individu yang dijangkiti, atau melalui sentuhan langsung dengan permukaan yang tercemar. Virus ini merupakan masalah kesihatan awam yang besar, yang menyebabkan kira-kira 3.6 juta kemasukan ke hospital dan 110,000 kematian setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun di seluruh dunia.
Tanda dan gejala
Gejala jangkitan RSV biasanya muncul dalam tempoh 2-8 hari selepas pendedahan. Ia sering menyerupai selesema biasa dan boleh menyebabkan:
- Hidung berair
- Hilang selera makan
- Batuk
- Bersin
- Demam
- Berdehit (wheezing)
Bagi bayi kecil, tanda jangkitan mungkin hanya meragam, kurang aktif, dan kesukaran bernafas.
Komplikasi serius pada kanak-kanak
Walaupun kebanyakan jangkitan RSV adalah ringan, ia boleh membawa kepada komplikasi serius pada kanak-kanak kecil. RSV merupakan punca paling utama bagi bronkiolitis (radang pada saluran udara kecil dalam paru-paru) dan pneumonia (jangkitan paru-paru) dalam kalangan bayi dan kanak-kanak kecil. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah pernafasan serius yang memerlukan rawatan di hospital dan bagi sesetengah kes, bantuan pernafasan dengan mesin.
Kanak-kanak yang berisiko tinggi mendapat penyakit RSV yang teruk termasuklah:
- Bayi pramatang
- Bayi bawah umur 6 bulan
- Kanak-kanak dengan penyakit paru-paru kronik
- Kanak-kanak dengan penyakit jantung kongenital
- Kanak-kanak dengan sistem imun yang lemah
Ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan perubatan jika anak mereka mengalami kesukaran bernafas, berdehit, mengalami dehidrasi, atau menunjukkan tanda kelesuan.
Rawatan dan pencegahan
Malangnya, tiada penawar khusus untuk jangkitan RSV. Rawatan tertumpu kepada penjagaan sokongan untuk melegakan gejala, seperti ubat demam, ubat tahan sakit, dan bagi kes teruk, terapi oksigen atau cecair intravena (IV) di hospital. Antibiotik tidak berkesan terhadap RSV kerana ia adalah jangkitan virus.
Namun begitu, terdapat cara baharu dan berkesan untuk mencegah penyakit RSV yang teruk, antaranya:
- Vaksin RSV untuk ibu hamil: Vaksin RSV telah diluluskan untuk wanita hamil. Vaksin ini diberikan semasa trimester ketiga kehamilan. Ia membantu melindungi bayi baru lahir daripada RSV yang teruk dengan memindahkan antibodi perlindungan daripada ibu kepada bayi sebelum lahir. Imuniti pasif ini memberikan perlindungan kritikal dalam beberapa bulan terawal selepas kelahiran semasa bayi lebih terdedah kepada jangkitan.
- Imunisasi bayi: Antibodi monoklon jangka panjang, nirsevimab, kini tersedia untuk bayi. Suntikan dos tunggal ini memberikan perlindungan sekurang-kurangnya untuk lima bulan, meliputi keseluruhan musim RSV. Dos tunggal disyorkan sebaik selepas kelahiran atau seawal mungkin.
Imunisasi terbaru ini adalah satu perubahan besar dalam memerangi RSV dan menawarkan cara paling berkesan untuk melindungi golongan rentan. Seiring dengan kemajuan perubatan ini, amalan kebersihan asas seperti kerap mencuci tangan dan mengelakkan hubungan dengan individu sakit masih penting untuk mencegah penularan RSV.
Kemunculan kaedah pencegahan RSV terbaru ini menandakan kemajuan besar dalam kesihatan awam. Dengan menggunakan maklumat terkini dan kaedah terbaru ini, kita boleh bekerjasama bagi mencapai masa depan dengan kemasukan ke hospital yang rendah dan kesihatan yang lebih baik untuk anak-anak serta komuniti kita. Berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara melindungi anak anda daripada RSV.
Rujukan:


