Pengasuhan Positif

Penyakit Yang Kerap Berlaku Semasa Musim Cuti

Hujung tahun sudah tiba dan bagi ramai keluarga, ini merupakan tempoh yang mengujakan untuk balik kampung dan bercuti. Namun, keseronokan boleh bertukar menjadi kekecewaan dalam sekelip mata apabila seseorang sakit dan semua rancangan terganggu. Mari kita kenali beberapa penyakit yang sering muncul semasa musim cuti agar kita boleh lebih bersedia!

Kenapa kita mudah sakit semasa bercuti?
Sebagai ibu bapa, anda mungkin pernah melalui pengalaman serupa: tiba di destinasi anda di pantai bersama keluarga, anda mendapati salah seorang anak mula bersin dan batuk, lalu menjejaskan jadual percutian kerana anda harus menjaga si kecil sehingga sihat. Malah, pengalaman ini sering dilalui ramai keluarga. Tapi kenapa kita cenderung untuk sakit semasa musim cuti?

Apabila kita pergi bercuti, kita perlu mengembara, dan ini mendedahkan kita dan keluarga kepada orang lain yang mungkin sakit di sepanjang perjalanan. Dan jika anda mengembara dengan kereta api, kapal terbang, atau bas, anda akan duduk dalam ruang tertutup yang sesak dengan penumpang lain, lalu meningkatkan lagi kemungkinan untuk dijangkiti. Mengembara, terutamanya perjalanan jarak jauh, juga memenatkan dan mendatangkan tekanan, dan ini boleh menjejaskan sistem imun kita dan membuatkan kita lebih rentan terhadap penyakit.

Ancaman tidak berhenti sebaik saja tiba di destinasi. Percutian biasanya melibatkan perhimpunan beramai-ramai dengan ahli keluarga lain juga. Malah, semasa tempoh kemuncak musim cuti seperti cuti sekolah atau cuti hujung tahun, destinasi percutian biasanya amat sesak dengan pengunjung lain juga. Kita juga kurang biasa dengan persekitaran baru ini, cth. tahap kebersihan makanan dan air. Semua faktor ini membuatkan kita terdedah kepada kuman dan penyakit daripada orang lain, dan ini boleh menyebabkan keluarga kita sakit dan mengganggu suasana percutian.

Penyakit biasa semasa bercuti
Berikut adalah beberapa penyakit yang mungkin menjangkiti keluarga anda semasa bercuti:

  • COVID-19: Penyakit pernafasan yang disebabkan oleh SARS-CoV-2 ini bukan lagi pandemik tapi mungkin terdapat peningkatan kes dari masa ke masa. Gelombang terbaru di Malaysia berlaku pada Disember 2023, yang kebetulan merupakan musim cuti.
  • Influenza: Terdapat empat jenis virus influenza (A, B, C, D), tapi hanya virus influenza A dan B yang boleh mengancam kesihatan. Di Malaysia, influenza ada sepanjang tahun dengan kemuncak pada Mei-Julai serta November-Januari, yang bertembung dengan musim cuti.
  • Selesema biasa: Juga dikenali sebagai jangkitan salur pernafasan atas (URI), selesema boleh berpunca daripada lebih 200 virus pernafasan, cth. rinovirus, adenovirus, virus parainfluenza, dll. Selesema biasa amat kerap berlaku tapi kurang teruk berbanding COVID-19 dan influenza.
  • Keracunan makanan: Hampir 1 daripada 10 orang jatuh sakit selepas mengambil makanan dan minuman tercemar, dengan gejala seperti cirit-birit, muntah, kejang perut, dan demam. Keracunan makanan mungkin disebabkan oleh pelbagai kuman seperti Salmonella, E. coli, Campylobacter, rotavirus, dan norovirus. Cirit-birit pengembara pula selalu berlaku disebabkan perubahan flora bakteria dalam usus.

Bagaimana untuk melindungi keluarga anda?
Berikut adalah strategi untuk memastikan anda dan keluarga sihat semasa bercuti:

  1. Buat persediaan awal
    • Kaji destinasi tersebut. Kaji tentang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat di destinasi. Lihat jika ada wabak terbaru atau penyakit endemik yang anda perlu awasi dan ambil langkah pencegahan, cth. vaksinasi.
    • Dapatkan insurans kembara. Insurans pasti berguna dalam kes kecemasan, cth. kecederaan, sakit, kehilangan barangan, pembatalan perjalanan, dll. Periksa dengan penyedia insurans anda bagi mendapatkan pelan yang sesuai dengan keperluan.
    • Jangan lupa barangan penting. Ingat untuk bawa kit bantuan kecemasan, ubat-ubatan, krim pelindung matahari, penghalau serangga, dan barangan penting lain. Jika ada sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan seperti alahan, ingat untuk bawa ubatan yang diberi, cth. EpiPen.
  2. Amalkan langkah pencegahan peribadi
    • Kerap basuh tangan. Guna sabun dan air untuk menghapuskan kuman daripada tangan. Jangan lupa basuh tangan, terutamanya sebelum dan selepas makan, dan selepas ke tandas. Elakkan daripada menyentuh muka dengan tangan.
    • Tutup mulut apabila batuk dan bersin. Gunakan sapu tangan atau tisu, bukannya tangan. Jika tiada, anda juga boleh menutup muka apabila batuk dan bersin menggunakan bahagian dalam siku.
    • Pakai pelitup muka. Pelitup muka memberikan satu lagi lapisan perlindungan daripada jangkitan pernafasan, terutamanya bagi kumpulan rentan. Jika anda sakit, lebih baik untuk tinggal di rumah, tetapi jika perjalanan tersebut tidak dapat dielakkan, anda harus memakai pelitup muka semasa perjalanan.
  3. Dapatkan vaksin
    • Terdapat pelbagai vaksin kembara yang boleh diambil sebelum perjalanan, cth. vaksin influenza, COVID-19, rotavirus, taun, tifoid, hepatitis A, demam kuning, meningokokus, pneumokokus.
    • Dapatkan nasihat doktor tentang vaksinasi yang diwajibkan atau disarankan sebelum pergi ke negara lain dan masa untuk mendapatkan suntikan. Biasanya, vaksin perlu diambil sekurang-kurangnya dua minggu sebelum perjalanan.

Adakah anda merancang untuk ke mana-mana bersama keluarga anda pada musim cuti ini? Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda boleh memastikan anda dan keluarga kekal sihat semasa percutian, dan semua orang boleh menikmati masa berkualiti bersama.

Langgani surat berita pengasuhan kami.