Kehidupan masa kini bergerak pantas – antara kesesakan lalu lintas, jadual sekolah yang padat, kelas tuisyen, dan mesej tanpa henti dalam WhatsApp – jadi tidak hairanlah ahli keluarga rasa terbeban. Dalam kesibukan ini, kita sering terlepas pandang tanda-tanda keletihan mental atau burnout.
Sepertimana kita menyedari gejala hidung berair atau demam, memberi perhatian kepada perubahan emosi – pada anak-anak, pasangan, atau diri sendiri – adalah sama penting. Pemeriksaan kesihatan mental keluarga secara berkala dapat membantu mengenal pasti tanda awal keletihan dan membina daya tahan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Mengenali keletihan mental
Keletihan bukan sekadar rasa penat; ia adalah keletihan emosi, fizikal dan mental akibat tekanan yang berpanjangan atau berlebihan. Walaupun puncanya mungkin serupa, tanda-tandanya mungkin berbeza antara orang dewasa dan kanak-kanak.
Bagi pasangan (dewasa)
Keletihan pada orang dewasa sering muncul tanpa disedari dan sukar dikenal pasti. Perhatikan tandatanda berikut pada diri sendiri atau pasangan anda:
- Keletihan berterusan: Rasa lemah walaupun selepas tidur yang cukup
- Mudah marah dan/atau sinis: Cepat naik angin atau lebih negatif daripada biasa
- Kurang produktif: Sukar fokus, membuat keputusan, atau menyiapkan tugasan
- Mengasingkan diri: Kurang terlibat dalam aktiviti sosial atau hobi yang sebelum ini digemari, serta kurang berkomunikasi dengan orang lain
- Gejala fizikal: Sakit kepala, masalah perut, atau lebih mudah jatuh sakit
- Perubahan selera makan atau corak tidur: Makan berlebihan atau kurang makan, atau mengalami insomnia

Bagi kanak-kanak
Kanak-kanak mungkin tidak menunjukkan tanda keletihan seperti orang dewasa. Tanda-tanda mereka sering disalah anggap sebagai karenah biasa kanak-kanak, maka pemerhatian daripada orang dewasa sangat penting:
- Perubahan mood atau tingkah laku: Lebih banyak tantrum, mudah marah, atau kerap menangis
- Masalah di sekolah: Penurunan mendadak prestasi akademik, enggan ke sekolah atau tuisyen, atau keresahan yang ketara semasa peperiksaan
- Aduan fizikal: Sering sakit perut atau sakit kepala tanpa sebab perubatan yang jelas
- Menarik diri daripada aktiviti: Hilang minat pada hobi, rakan, atau masa bermain
- Gangguan tidur: Sukar tidur, mimpi buruk, atau mahu tidur berlebihan
- Regresi: Kembali kepada tingkah laku semasa kecil seperti menghisap ibu jari atau kencing malam
Menguruskan cabaran kesihatan mental dalam keluarga
Selepas mengenal pasti tanda-tanda, langkah seterusnya ialah menanganinya dengan empati dan penyelesaian praktikal. Berikut langkah yang boleh diamalkan bersama:
- Komunikasi terbuka: Wujudkan ruang selamat untuk semua orang berkongsi perasaan tanpa dihakimi. Bagi kanakkanak, boleh mulakan dengan soalan terbuka semasa aktiviti santai.
- Utamakan rehat dan masa lapang: Galakkan tidur yang cukup untuk semua ahli keluarga. Jadualkan masa bebas untuk bermain, berehat dan hobi – masa tanpa skrin atau komitmen lain.
- Agama sebagai pengikat keluarga: Bagi ramai keluarga, amalan kerohanian – sama ada melalui doa, meditasi, atau lawatan ke tempat ibadah seperti masjid, gereja atau kuil – boleh membawa ketenangan dan mengeratkan hubungan.
- Tetapkan sempadan: Belajar untuk menolak komitmen tambahan yang membebankan keluarga. Utamakan masa bersama keluarga dan masa peribadi.
- Tunjukkan teladan penjagaan diri: Kanak-kanak belajar daripada contoh teladan. Tunjukkan bahawa rehat, meminta pertolongan, dan mengutamakan kesejahteraan diri adalah sesuatu yang normal.
- Amalan sihat yang lestari: Fokus pada pemakanan berkhasiat, aktiviti fizikal berkala, dan masa di luar rumah. Semua ini merupakan asas kesejahteraan mental.
- Berseronok bersama keluarga: Luangkan masa untuk aktiviti menyeronokkan bersama keluarga. Ketawa dan hubungan positif adalah penawar terbaik untuk tekanan. masa untuk aktiviti menyeronokkan bersama keluarga. Ketawa dan hubungan positif adalah penawar terbaik untuk tekanan.
- Dapatkan sokongan pakar: Jika gejala berterusan atau semakin teruk, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor, kaunselor, atau pakar psikologi kanak-kanak. Rawatan awal selalunya paling berkesan.

Ingatlah, menguruskan cabaran kesihatan mental adalah sebuah perjalanan, bukan destinasi. Jika anda peka terhadap tanda awal keletihan mental dan mengamalkan strategi proaktif, anda boleh membina persekitaran keluarga yang lebih berdaya tahan, menyokong dan lebih bahagia. Jadikan pemeriksaan kesihatan mental sebagai rutin keluarga – sama ada melalui perbualan mingguan, pemerhatian santai, atau mendapatkan bimbingan pakar apabila perlu. Kebahagiaan keluarga bermula dengan kesejahteraan emosi sebagai teras.

