Pengasuhan Positif

Pastikan Pengambilan Vitamin D Mencukupi untuk Anak-anak

Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara tropika dan menerima cahaya matahari sepanjang tahun, hampir separuh (47.5%) daripada kanak-kanak di sini kekurangan vitamin D, menurut Kajian Pemakanan Kanak-kanak Malaysia (SEANUTS Malaysia).

Vitamin D penting bagi pertumbuhan tulang yang kuat dan sistem imun yang sihat untuk kanak-kanak. Kekurangan nutrien ini boleh menyebabkan mereka terdedah kepada risiko kesihatan serius seperti riket, dan membantutkan tumbesaran serta perkembangan mereka.

Pengambilan vitamin D yang disarankan untuk kanak-kanak Malaysia:
  • Bayi (0-12 bulan): 10 µg sehari
  • Kanak-kanak (1-12 tahun): 15 µg sehari

Peranan vitamin D
Vitamin D bertindak sebagai hormon yang mengawal tahap kalsium dan fosforus dalam tubuh. Keseimbangan kedua-dua mineral ini penting untuk proses pemineralan tulang dan gigi yang sihat. Ini penting bagi kanak-kanak kerana mereka melalui lonjakan tumbesaran, terutamanya pada tahun-tahun terawal kehidupan. Tahap vitamin D yang mencukupi penting bagi perkembangan sistem rangka yang baik.

Selain itu, vitamin D juga mempunyai peranan lain yang tidak berkait dengan rangka tubuh, seperti pengawalaturan sistem imun dan neuromuskular. Kanak-kanak dengan tahap vitamin D yang mencukupi akan mempunyai kekuatan otot dan koordinasi, fungsi imun yang lebih baik, dan kurang risiko mendapat jangkitan.

Sumber vitamin D
Matahari, atau lebih tepat lagi, sinaran ultraungu B (UVB), merupakan sumber paling kaya bagi nutrien yang penting ini. Penembusan UVB ke dalam kulit kita membantu penghasilan vitamin D. Namun, pilihan gaya hidup, seperti meluangkan lebih banyak masa dalam rumah dan memakai pakaian yang menutup kulit atau krim pelindung matahari, boleh mengehadkan kemampuan tubuh untuk menghasilkan vitamin D yang cukup untuk kanak-kanak.

Untuk mengatasi kekurangan ini, ibu bapa perlu memastikan diet anak mereka mengandungi makanan kaya vitamin D. Antara sumber utama makanan bagi nutrien ini ialah:

  • Makanan segar: Ikan berlemak seperti tenggiri dan tuna, minyak ikan kod, dan kuning telur
  • Makanan diperkaya: Susu, bijirin, dan marjerin yang diperkaya
  • Makanan tambahan: Suplemen vitamin D terdapat dalam bentuk cecair atau boleh kunyah, dan boleh diberi kepada anak anda hanya selepas merujuk pakar pediatrik

Akibat kekurangan vitamin D
Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, kekurangan vitamin D boleh menyebabkan riket. Riket ialah sejenis penyakit yang membuatkan tulang jadi lembut dan lemah kerana gangguan proses pemineralan. Antara gejala biasa yang dialami kanak-kanak ialah sakit tulang, lemah otot, dan kekejangan. Jika tidak dirawat, riket boleh menyebabkan komplikasi serius seperti retak tulang, perkembangan gigi yang perlahan, dan kecacatan tulang yang kekal, termasuklah kaki pengkar dan tulang belakang bongkok (kifosis).

Selain masalah tulang rangka, kanak-kanak yang kekurangan vitamin D juga berisiko mengalami tumbesaran dan perkembangan yang tertunda, sistem imun yang lemah sehingga mudah terdedah pada jangkitan, dan lebih berisiko untuk gangguan metabolisme dan autoimun seperti diabetes melitus, sklerosis berbilang, alahan, dan ekzema.

Cara mencegah kekurangan vitamin D
Oleh kerana kekurangan vitamin D boleh menyebabkan kesan serius pada kanak-kanak, amat penting bagi ibu bapa untuk memastikan anak mereka menerima nutrien ini secukupnya sejak awal. Terdapat beberapa strategi yang boleh diamalkan seperti:

  • Galakkan anak anda bermain di luar pada waktu pagi atau petang untuk pendedahan UVB secukupnya. Mendedahkan kulit kepada matahari untuk tempoh yang singkat beberapa kali seminggu boleh meningkatkan penghasilan vitamin D. Sebaliknya, kulit gelap, cuaca mendung, krim pelindung matahari, atau pakaian menutup kulit boleh mengehadkan penembusan UVB ke dalam kulit. Tapi elakkan waktu kemuncak UV antara 10 pagi dan 3 petang bagi mengurangkan risiko barah kulit.
  • Berikan diet seimbang dan pelbagai, yang menyertakan makanan kaya vitamin D seperti tenggiri, tuna, dan kuning telur.
  • Pilih makanan dan minuman yang diperkaya dengan vitamin Dseperti susu, marjerin, dan bijirin diperkaya.
  • Pertimbangkan suplemen vitamin D, terutamanya bagi bayi yang menyusu badan secara eksklusif. Rujuk doktor anak anda untuk mendapatkan dos vitamin D yang sesuai dengan umurnya bagi mengelakkan dos berlebihan dan ketoksikan.

Kekurangan vitamin D merupakan masalah kesihatan yang serius bagi kanak-kanak, kerana ia bukan saja menjejaskan tumbesaran dan perkembangan normal mereka, malah mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah kesihatan. Kanak-kanak sepatutnya digalakkan bermain di luar bagi merangsang penghasilan vitamin D secara semulajadi dalam tubuh mereka, manakala ibu bapa pula perlu memastikan anak mereka mendapat nutrien ini secukupnya melalui diet. Bincangkan dengan pakar pemakanan atau pakar diet untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana anda boleh meningkatkan paras vitamin D anak anda dengan makanan dan suplemen yang sesuai.

Langgani surat berita pengasuhan kami.