Seni mempertahankan diri merupakan cara terbaik untuk anak anda membina kecergasan, disiplin diri dan kemahiran sosial. Umur yang sesuai untuk bermula adalah sekitar tujuh tahun kerana anak anda sudah mempunyai otot dan kemahiran motor secukupnya untuk mengawal kesemua teknik yang akan dipelajari.
Masih tidak yakin bahawa seni mempertahankan diri mempunyai banyak kebaikan? Berikut ialah enam alasan untuk mempelajari seni mempertahankan diri.
- Membina anak anda – salah satu nilai teras yang terdapat dalam semua bentuk seni mempertahankan diri ialah tumpuan terhadap disiplin diri. Ia juga cara yang baik untuk meningkatkan keyakinan diri dan harga diri anak anda. Dia juga akan mempelajari sifat-sifat rendah hati dan diajar untuk tidak menyalahgunakan latihan yang dipelajari. Watak ’lelaki gagah’ hanya terdapat di dalam filem, bukan di dalam dunia nyata dan setiap artis seni mempertahankan diri akhirnya mempelajari untuk menghormati sesama manusia dan kerendahan hati yang bercambah daripada keyakinan dalam keupayaan dirinya sendiri.
- Aktiviti fizikal & sosial yang baik – dengan masalah obesiti kanak-kanak yang semakin membimbangkan, seni mempertahankan diri memberi anak anda satu pilihan untuk aktif dalam aktiviti sukan dan satu cara yang sangat baik bagi dia mendapatkan aktiviti fizikal tambahan. Ia juga memberi anak and banyak peluang untuk bersosial dengan kanak-kanak lain daripada pelbagai kumpulan umur. Fungsi eksekutif seperti kawalan diri, ingatan kerja, fleksibiliti kognitif, daya perhatian yang fokus, dan kemahiran menyelesaikan masalah yang kreatif adalah lebih baik dalam kalangan mereka yang aktif secara fizikal
- Menetap dan mencapai sasaran – Kebanyakan seni mempertahankan diri mengukur kecekapan dan kebolehan pengamal berdasarkan sistem pemeringkatan tali pinggang berwarna yang melambangkan tahap kemahiran pemakainya. Ini membolehkan anak anda mempelajari bagaimana untuk menetap dan mencapai sasaran apabila dia berusaha ke arah mencapai setiap pemeringkatan baharu dengan warna tali pinggang yang berbeza. Apabila mencapainya, mereka akan berkeyakinan dan gembira.
- Belajar untuk menerima arahan – sebahagian daripada cabaran menguasai mana-mana seni mempertahankan diri terletak pada kebolehan untuk memahami kemahiran teknikal yang diajar dengan betul. Ini bermakna bahawa dia perlu belajar bagaimana untuk memberi perhatian dengan mendengar arahan pengajar/jurulatih.
- Semuanya tentang focus – seni mempertahankan diri akan membantu anak anda menajamkan bukan sahaja fizikalnya, tetapi mentalnya juga. Semasa sesi latihan, dia akan mempelajari bagaimana untuk menguasai tubuhnya dengan melakukan pergerakan atau rutin mempertahankan diri tertentu, dan ini akan mengajar dia untuk mengekalkan fokusnya apabila tubuhnya sedang dicabar. Dengan latihan berterusan, dia akan dapat mengawal minda dan tubuhnya dengan lebih baik. Ini dicapai melalui kesedaran halus yang ditala setelah melalui latihan fizikal dan mental selama beberapa jam.
- Belajar untuk menyesuaikan diri – mempelajari seni mempertahankan diri adalah lebih daripada hanya mempelajari bagaimana untuk memukul sesuatu (atau orang lain). Separuh daripada persamaannya melibatkan menerima pukulan, yang boleh datang dalam bentuk pukulan sebenar ketika latihan (anda tidak boleh belajar bagaimana untuk memukul tanpa mempelajari bagaimana untuk menyekat atau mempertahankan diri). Ini membantu mengajar kebingkasan yang diperlukan oleh anak anda untuk belajar bagaimana bangkitkan diri semula. Mempelajari bagaimana untuk menyesuaikan diri lebih awal juga akan membantu dia bertindak balas dengan lebih baik dalam kelas seni mempertahankan diri dan juga dalam kehidupan.
Seni mempertahankan diri di Malaysia
Langkah seterusnya melibatkan pemilihan sekolah/jenis seni mempertahankan diri untuk anak anda. Terdapat banyak pilihan yang merangkumi pelbagai seni mempertahankan diri di serata dunia. Anda mungkin ingin memilih seni mempertahankan diri tempatan dengan mencari guru silat tempatan untuk mengajar anak anda. Sebaliknya, anda mungkin ingin dia mempelajari karate atau taekwondo. Seterusnya, terdapat juga BJJ (atau Jiu-Jitsu Brazil), wushu, silambam, capoeira, aikido, judo, dan juga muay-thai.
Contoh tersebut merupakan jenis seni mempertahankan diri yang lebih tua dan sudah lama wujud; juga terdapat ‘versi’ baharu seperti tomoi dan Gabungan Seni Mempertahankan Diri atau Mixed Martial Arts (MMA), tetapi ia lebih memenuhi aspek fizikal seni mempertahankan diri, iaitu teknik berlawan yang sebenar.
Sila ambil perhatian bahawa pusat-pusat latihan bagi sesetengah seni mempertahankan diri, seperti Shaolin kungfu, mungkin sukar dicari, maka anda mungkin ingin memilih dua atau tiga seni mempertahankan diri yang berbeza daripada memilih hanya satu.
Apabila anda dan anak anda telah membuat keputusan untuk mempelajari seni mempertahankan diri, anda pula harus tahu kemana untuk membawa anak anda ke kelas seni mempertahankan diri. Anda boleh bertanya sekitar komuniti anda, rakan-rakan, saudara mara, ataupun sekolah anak anda (kebanyakan sekolah mempunyai kelab silat, karate, atau taekwondo).
Setelah anda mengetahui tempat di mana anak anda boleh mempelajari seni mempertahankan diri, langkah seterusnya ialah untuk mendaftarkan anak anda ke dalam kelas tersebut. Sesetengah tempat membenarkan anak anda untuk mencuba satu atau dua kelas secara percuma. Setelah mendaftar untuk kelas, kemungkinan anda akan disuruh untuk menghantar anak anda dan tidak berada semasa kelas sedang berjalan – ini adalah amalan biasa, anda tidak perlu bimbang. Anak anda perlu belajar untuk bergaul dengan rakan seni mempertahankan diri yang lain dan membina sifat keyakinan diri.
Bila hendak mula
Walaupun tiada masa yang ‘sesuai untuk memulakan seni mempertahankan diri’, adalah lebih baik memulakan seni ini tidak kurang daripada tujuh tahun. Terdapat sesetengah seni mempertahankan diri yang menerima kanak-kanak lebih muda, tetapi ia terpulang sepenuhnya di atas budi bicara mereka. Perkara yang utama di sini ialah mendapatkan anak anda untuk bergerak dan fokus. Anda boleh memainkan peranan anda dengan menemubual pengajar/jurulatih apabila anda berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. Seseorang pengajar/jurulatih yang baik mempunyai matlamat dan dapat memberi dorongan dan disiplin kepada pelajar-pelajarnya.
Komen