Pengasuhan Positif

Merangsang Kesemua Derianya

Tiga tahun pertama kehidupan bayi anda adalah kritikal bagi perkembangannya, dari segi fizikal dan mental. Untuk mengoptimumkan perkembangan otaknya, bayi anda perlu sentiasa dirangsang. Terdapat hampir 1.8 juta hubungan sinaps sedang berkembang dalam bayi yang baru lahir setiap saat. Untuk menentukan sama ada hubungan-hubungan tersebut akan terus berkekalan atau tidak adalah bergantung kepada sifat rangsangan yang dialami bayi tersebut.

Kuasa sentuhan membantu menguatkan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak. Ia juga meningkatkan kepuasan ibu bapa.

Segalanya ada pada mata – Penglihatan merupakan deria paling penting bagi perkembangan kognitif bayi anda.

Bau yang menjadi kebiasaan memberi ketenangan kepada bayi dan dikaitkan dengan ingatan dan emosi.

Pendengaran adalah penting untuk perkembangan pertuturan dan bahasa.

Rangsangan otak bayi berlaku melalui deria-derianya, khususnya deria sentuhan, bau, penglihatan, pendengaran, dan rasa. Oleh sebab bahagian otak yang berbeza berkait dengan deria yang berlainan, maka, setiap kali anda merangsang derianya, anda juga merangsang otaknya sekali.

Jika Dapat Lihat Baharulah Percaya

icon-eye

Apabila sedang merangsang bayi anda, hubungan mata adalah yang paling penting. Kajian menunjukkan bahawa bayi secara semula jadinya tertarik untuk memandang muka yang memandang mereka. Jadi, jika anda memandang bayi anda, dia akan memandang anda kembali dengan lebih lama (berbanding jika anda tidak memandangnya).

Memandang bayi anda dengan air muka yang penuh ekspresi (seperti senyuman, membuat muka, dll) membantu menarik perhatiannya.

Kuasa Bau-bauan

icon-nose

Bayi anda boleh menghidu anda. Bayi baharu lahir mempunyai deria bau yang kuat dan mengenali bau susu ibu secara semula jadinya. Sebab itu bayi anda akan menoleh ke arah ibunya apabila dia lapar.

Bayi baru lahir adalah sama seperti orang dewasa – mereka menoleh ke arah bau harum dan tidak suka pada bau yang tidak menarik. Bayi anda akan tenang dengan bau yang menjadi kebiasaan kepadanya, seperti bau selimut atau bantal kegemaran. Dia juga mungkin terus menyimpannya sehingga dewasa, kerana bau membantu melegakan sebarang stres yang dirasai.

Satu kajian menunjukkan bahawa bayi yang terdedah kepada bau yang menjadi kebiasaannya kurang menangis selepas melalui prosedur cucuk tumit yang menyakitkan, berbanding bayi yang terdedah kepada bau yang ia tidak biasa atau diletak di tempat yang tiada bau. Tangisan juga berkurangan apabila bayi tersebut didedahkan kepada bau yang menjadi kebiasaannya.

Kepentingan Sentuhan

icon-hand

Kajian menunjukkan bagaimana kanak-kanak yang mendapat banyak penjagaan dan perhatian, dalam bentuk sentuhan fizikal oleh ibu bapa mereka membesar lebih daya ketahanan terhadap tekanan, kekecewaan, dan stres.

Terdapat juga kesan positif terhadap fungsi kognitif mereka apabila mereka besar, contohnya mereka cenderung untuk menjadi individu yang pandai bergaul dan menjadi individu yang lebih berkemahiran.

Bayi baru lahir yang mendapat banyak sentuhan ibu bapa dalam penjagaan mereka juga dapat mengatasi kesakitan dengan lebih baik, contohnya, mereka kurang menangis atau tangisan mereka singkat.

Pendengaran

icon-ears

Kajian menunjukkan bahawa secara amnya, bayi lebih gemar mendengar suara manusia, terutama suara ibunya. Bayi baru lahir lazimnya boleh mengenali suara ibu dan mengaitkan suara ibu dengan muka ibu. Bayi pramatang di hospital akan mendapat faedah jika diberi lebih masa bersama ibu bapa mereka kerana tindakan semudah bercakap, membaca, atau mendodoi akan membantu pertumbuhan dan perkembangannya.

Satu lagi kajian menggunakan imbasan tomografi (CT) menunjukkan bahawa terdapat aktiviti dalam bahagian otak yang memproses bahasa; aktiviti tersebut direkodkan lebih tinggi apabila mereka mendengar suara ibu mereka, berbanding suara yang tidak dikenali, atau lebih rendah apabila mendengar muzik. Maka apakah keputusannya? Jangan rasa malu untuk bercakap, membaca atau menyanyi kepada bayi anda! Tidak kira sama ada dia faham atau tidak apa yang anda katakan, yang penting dia mendengar suara anda.

Rasa

icon-taste

Bayi gemar menjelajahi dunia mengguna deria-deria mereka, oleh itu tidak mengejutkan apabila mereka memasukkan barang ke dalam mulut! Peranan anda adalah untuk memastikan permainannya bersih dan selamat untuk dirasai, iaitu tiada bahagian-bahagian kecil yang mungkin ditelan atau bahan toksik seperti cat berasaskan plumbum. Bagi makanan pelengkap pula, pastikan rasa dan teksturnya bersesuaian dengan umur bayi. Berhati-hati dan jangan sekali-kali memberi bayi makanan yang boleh membuat dia tercekik seperti sosej yang tidak dipotong, ketulan daging/keju, anggur, ketulan besar sayuran, atau buah, kacang, bertih jagung, gula-gula yang keras, mentega kacang, gula-gula marshmallow, atau gula-gula getah. Pada masa yang sama, bayi harus didedahkan kepada tekstur yang berbeza, bukan hanya yang dikisar atau dilecek.

Bagaimana anda boleh merangsang deria bayi anda?

Peluang paling baik untuk bayi anda mendapat pengalaman sensori sepenuhnya ialah semasa mandi dan apabila anda mengurutnya:

  • Penglihatan – perhatian penuh ibu terhadap bayi memberi kedua-duanya banyak peluang untuk membuat hubungan mata.
  • Bau – walaupun terdapat banyak wangi-wangian di pasaran, bayi paling tertarik kepada bau ibu mereka, oleh itu berhubung rapat semasa anda mandikan bayi atau mengurutnya.
  • Sentuhan – Ketika ibu memandikan/mengurut bayi, sentuhan kulit ke kulit menenang dan melegakan bayi.
  • Pendengaran – Bercakap, membaca atau menyanyi kepada bayi anda seberapa kerap yang boleh. Jangan bimbang, dia tidak akan menginginkannya lagi!
  • Rasa – cuba lakukan sesuatu yang mencabar dan bercakap dengan bayi anda mengenai rasa. Contohnya, apabila anda pergi membeli belah, anda boleh menggambarkan perisa, warna, tekstur, atau rasa makanan yang dijual. Lakukan perkara yang sama apabila anda mula memberi makanan pelengkap kepadanya.

Idea-idea Tambahan

Ingat bahawa cara bayi mengalami dunia adalah berbeza daripada anda, apa yang membosankan anda mungkin diminati oleh bayi anda dan begitulah sebaliknya. Contohnya, anda boleh mengguna reka bentuk berwarna warni untuk menghiasi bilik/tempat bermain. Ini membantu bayi anda mengenal pasti objek-objek melalui penglihatan semasa deria penglihatannya berkembang. Anda juga boleh bermain permainan mudah dengan bayi anda seperti melakukan high-five atau lagu tepuk tangan yang mudah. Ini membantu mengembangkan koordinasi tangan-mata dan persepsi dalaman bayi.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen