Pengasuhan Positif

Menangani Remaja Memberontak

Ponteng sekolah, merokok, melanggar perintah berkurung, sentiasa bertengkar, dan mencuri – remaja memberontak kerana ingin menunjukkan keindividuannya atau mahu menyeleweng daripada apa yang ibu bapa (atau masyarakat) jangkakan daripada mereka. Tetapi bagaimana sikap ini boleh terbentuk? Siapa yang patut disalahkan? Sebagai ibu bapa, anda perlu ketahui bagaimana untuk mencegah, bersedia dan mengendalikan anak remaja anda yang suka memberontak ini.

Perlu diingatkan bahawa remaja secara semula jadinya memang suka memberontak; pertengkaran yang berlaku sekali sekala tidak bermakna anak anda bermasalah. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa mereka berkembang dengan sihat dan berkeyakinan menyuarakan pendapat mereka dan berupaya membentuk pandangan sendiri.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan remaja suka memberontak, kita semua melaluinya semasa muda. Antaranya adalah faktor lazim, seperti kecewa dikenakan disiplin yang ketat di rumah, perubahan hormon, tekanan rakan sebaya dan bimbang gagal mencapai jangkaan yang diharapkan daripada mereka. Manakala, faktor lain termasuk masalah serius di rumah (contohnya, ibu bapa yang sentiasa bergaduh, ibu bapa kaki botol, penderaan fizikal dan emosi dan tekanan kewangan).

‘Memberontak‘ hanyalah tingkah laku sengaja melawan peraturan biasa atau pihak yang berkuasa – lazimnya anda, sebagai ibu bapa.

Walaupun fasa memberontak dalam kalangan remaja adalah normal, anda masih perlu berwaspada dengan tanda-tanda amaran seseorang remaja itu bermasalah:

  • Komunikasi di antara anda berdua mula merudum dan anak remaja anda sentiasa cuba mengelakkan diri dari anda.
  • Sentiasa bertengkar walaupun mengenai isu-isu kecil
    serta mudah naik darah.Anak remaja anda tidak jujur dan menggunakan pembohongan untuk melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukan.
  • Mereka sentiasa meradang dan menjauhkan diri dari ahli keluarga lain.
  • Penurunan atau peningkatan berat badan yang mendadak.
  • Mencederakan diri sendiri (contohnya, luka, melecet, terdapat tanda lebam tanpa sebab yang kukuh bagaimana atau bila ia berlaku).
  • Bertukar kawan-kawan secara tiba-tiba.
  • Kerap ponteng sekolah, bergaduh di sekolah, pencapaian yang rendah.
  • Tanda-tanda merokok, penggunaan alkohol atau dadah.

Maka, apakah yang mereka ingin capai dengan memberi tekanan kepada anda? Pertama sekali, anda perlu faham bahawa anak anda sedang melalui proses menjauhkan diri dari anda. Ia merupakan sebahagian penting dalam tumbesaran mereka – sifat ingin berdikari. Mereka juga ingin:

  • perhatian yang lebih
  • mengenali diri mereka dan bagaimana mereka menyesuaikan diri dalam dunia ini
  • menunjukkan ketidakpuasan hati
  • memutuskan hubungan, lari atau mengalihkan perhatian mereka daripada sesuatu masalah
  • diterima oleh rakan sebaya mereka

Cara anda mengendalikan anak remaja berbeza mengikut tahap keterukan dan jenis tingkah laku yang mereka paparkan, namun yang penting anda harus:

Luangkan masa berkualiti

Terdapat ibu bapa yang tidak dapat berhubung dengan remaja mereka. Akibatnya, mereka tidak tahu bagaimana untuk berbicara dengan anak mereka. Keadaan ini menyebabkan perasaan kurang senang di antara ibu bapa dan anak sekaligus merosakkan komunikasi di antara mereka berdua. Berusaha untuk menjadi lebih mudah di dekati, fleksibel dan lebih memahami. Luangkan lebih masa mengenali anak remaja anda dengan berseronok bersama, mengadakan perbualan yang bermakna dari masa ke masa atau dapatkan pandangan mereka tentang sesuatu yang penting dalam kehidupan anda. Apabila mereka rasa selesa bersama anda, mereka akan rasa lebih perlu untuk berkongsi dan bercakap dengan anda, anda juga akan mempunyai perasaan yang sama terhadap mereka.

Amalkan disiplin dari awal

Adakan peraturan munasabah yang jelas. Buat peraturan bersama-sama, berbincang dan bahaskan secara sihat; remaja kurang kemungkinan akan melanggar peraturan yang mereka sama-sama wujudkan. Ia juga menunjukkan kepada mereka bahawa anda menghormati pandangan mereka dan pada masa yang sama terbuka untuk menerima pendapat mereka.

Jadi lebih penyayang dan menyokong

Berikan sokongan yang mereka perlukan dan yang sepatutnya walaupun anda kecewa dengan tingkah laku mereka. Kritikan yang membina dan pengukuhan positif adalah lebih baik daripada menghukum dan mengawal. Kaedah “saya dah katakan” juga sudah lapuk dan hanya mengundang kemarahan; cuba elakkan daripada berbuat demikian.

Bagi mereka lebih peluang untuk membuat keputusan

Apabila kanak-kanak semakin membesar, mereka ingin berdikari tanpa sentiasa diawasi. Memberi ruang untuk mereka membuat keputusan sendiri mendewasakan mereka dan membolehkan mereka belajar dari pengalaman walaupun jika keputusan yang dibuat mungkin salah. Apa yang penting adalah untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk remaja anda mengambil risiko dari masa ke masa agar dia boleh membesar dengan sihat. Mereka masih memerlukan bimbingan dan nasihat anda; pastikan anda ada untuk menyokong mereka jika mereka jatuh atau gagal.

Hormati privasi mereka

Remaja memerlukan masa untuk bersendirian dan ruang mereka sendiri. Anda tidak harus mengganggu privasi mereka kecuali jika anda syak sesuatu yang tidak kena. Awasi gerak-geri mereka dan ketahui ke mana mereka pergi, bila mereka akan pulang dan lain-lain lagi. Satu cara lagi adalah dengan memberi kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara yang betul. Ingatkan mereka bahawa menyalahgunakan kepercayaan ini akan memberi kesan serius dan akan mempengaruhi kebebasan sedia ada diberi.

Berikan penghargaan pada tempatnya

Kanak-kanak dan remaja suka dipuji oleh ibu bapa apabila melakukan sesuatu dengan baik. Jangan menahan diri daripada menerima, memaafkan atau memberi galakan kerana ia dapat membantu meningkatkan harga diri dan keyakinan remaja anda. Ia juga menunjukkan kepada mereka bahawa anda mengambil berat tentang kehidupan mereka dan menghargai serta menyayangi tanpa belah bahagi.

Jika anak remaja anda semakin terjerumus dalam keadaan yang sukar, anda mungkin perlu memberi bantuan. Memberontak ketika zaman remaja adalah normal, tetapi, jika anda mengenalpasti tanda-tanda amaran tingkah laku bermasalah, dapatkan nasihat doktor, kaunselor, ahli terapi atau profesional kesihatan mental untuk mendapatkan bantuan.

Dengan kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen