Pengasuhan Positif

Kekeliruan Ubat Batuk

Batuk dan selsema merupakan penyakit yang kerap berlaku. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengetahui teknik mengendalikan batuk dan selsema. Jika anda menjaga anak anda sendiri, anda perlu tahu bila anda perlu berjumpa dengan doktor anda.

Tahukah anda?

Keberkesanan ubat batuk over-the-counter (OTC) telah dikaji di kalangan orang dewasa dan bukan kanak-kanak. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa kanak-kanak mendapat kesan yangs sama dari ubat OTC seperti orang dewasa. Dan hanya terdapat bukti lemah yang menunjukkan bahawa ubat batuk OTC membantu orang dewasa. Tiada ramuan di rumah atau ubat batuk OTC yang boleh mempercepatkan pemulihan anak anda. Selsema lazimnya berlarutan selama 7-10 hari. Walaupun beberapa ubat OTC melegakan simptom, keberkesanannya dipertikai.

Pertama sekali, terdapat beberapa faktor yang anda perlu ketahui apabila memberi anak and a ubat batuk yang dibeli tanpa arahan doktor atau over-the-counter (OTC). Ubat batuk OTC tidak boleh sama sekali diberi kepada kanakkanak berumur di bawah 4 tahun. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa ubat-ubat OTC tersebut tidak membantu sama sekali. Malah, terdapat kemungkinan terjadinya kesan sampingan serius pada kanak-kanak kecil.

Pastikan anda sentiasa membawa anak anda berjumpa doktor jika dia menghidapi batuk atau selsema, dan beri ubat seperti yang diarahkan. Pakar pediatrik anak anda juga akan memberi nasihat tentang cara-cara lain untuk mengendalikan simptom selsema.

Apakah kandungannya?

Ubat batuk OTC biasanya mengandungi campuran ramuan-ramuan dengan satu ramuan aktif yang utama, khususnya:

  1. dextromethorphan atau DM (terdapat di dalam ubat penahan batuk)
  2. guaifenesin (tedapat di dalam ubat batuk ekspektoran)
  3. pseudoephedrine dan phenylephrine (terdapat di dalam dekongestan)
  4. brompheniramine, chlorpheniramine maleate, dan diphenhydramine (terdapat di dalam beberapa antihistamin)

Pengetahuan tentang ramuan aktif yang terkandung dalam ubat batuk dapat membantu anda mengelak daripada memberi anak anda dos berlebihan.

cough-syrup

Perkara yang perlu diberi perhatian

Jika anda mempunyai anak yang lebih besar dan memilih untuk menggunakan ubat batuk OTC, maka sentiasa pastikan bahawa anda mengikut arahan keselamatan yang diberikan. Namun, sebelum menggunakannya, anda mungkin ingin mendapatkan nasihat pakar pediatrik.

Jika anda telah mendapat kepastian, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian apabila mengguna ubat batuk OTC, khususnya:

  • Dos – jangan sekali-kali memberi dos yang lebih tinggi daripada yang disarankan
  • Kekerapan – jangan sekali-kali mengurangkan tempoh di antara dos
  • Mencampurkan dengan ubat lain – jangan sekali-kali menggabungkan atau mencampurkan dengan ubat yang diarah doktor atau ubat OTC lain kerana anak anda mungkin mengambil sesuatu ramuan lebih daripada sepatutnya.
  • Jauhkan daripada kanak-kanak – Sentiasa pastikan anak anda tidak boleh mengambil ubat OTC atau ubat-ubat lain dengan sendiri.

Sekiranya anda tidak akur dengan salah satu daripada perkara di atas, anda mungkin membahayakan anak anda, justeru pastikan anda sentiasa mengawasinya!

Tanda-tanda bahaya

Walau bagaimanapun, sekiranya anak anda sakit dan menunjukkan tanda-tanda bahaya berikut, anda perlu membawa anak anda berjumpa pakar pediatriknya dengan serta merta:

  • Dia lesu dan tidak memberi tindak balas yang baik.
  • Dia mengadu dada berasa ketat atau sakit.
  • Nafasnya bunyi berdehit atau sukar bernafas.
  • Dia asyik menarik telinganya atau mengadu sakit telinga.
  • Tidak membuang air kecil lebih daripada lapan jam.
  • Terdapat darah di dalam kahak atau air liurnya.

Sekiranya bayi kecil anda sakit, bawa dia berjumpa pakar pediatrik serta merta jika terdapat tanda-tanda berikut:

  • Lampinnya masih kering dalam tempoh enam hingga lapan jam, jika dia menangis tanpa mengeluarkan air mata, matanya cengkung, atau bibirnya kering.
  • Dia meragam dan tidak boleh ditenangkan dengan cara biasa (contohnya, menyanyi, buaian, atau memberi puting kosong).
  • Dia demam dengan suhu 38°C atau lebih dan berusia tiga bulan atau kurang.
  • Demam lebih daripada tiga hari.

Perkara terbaik yang perlu dilakukan

Penjagaan yang lembut dan penuh kasih sayang selalunya sangat berkesan. Semua kanak-kanak sakit akan suka kalau mendapat penjagaan yang lembut dan penuh kasih sayang. Walaupun ia tidak merawat batuk mereka, ia pasti akan membuat mereka rasa lebih sihat dan selesa. Sudah tentu, anda perlu juga memastikan dia cukup hidrasi – teruskan penyusuan susu ibu bagi bayi di bawah usia 12 bulan. Kanak-kanak lebih besar perlu minum lebih banyak air, jus yang cair, atau bubur. Jika dia menghadapi kesukaran mengambil makanan seperti biasa, berikan makanan lembut seperti puding, sup ayam, bubur, dll.

Sekiranya hidungnya tersumbat, terdapat beberapa cara untuk memberi kelegaan. Anda boleh menggunakan titisan atau semburan saline hidung untuk kanak-kanak kecil atau picagari bebuli untuk membersihkan hidung bayi. Anda juga boleh menggunakan alat pelembap kabus sejuk untuk menambah kelembapan udara. Ini membantu memudahkan dia bernafas jika hidungnya tersumbat. Hanya pastikan alat pelembap adalah bersih dan gunakan dengan cermat.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen