Pengasuhan Positif

Betulkan Postur Anak Anda

“Jangan membongkok,” kita meleter mengingatkan mereka. “Berdiri tegak! Luruskan bahu ke belakang dan dongakkan dagu. Nak membongkok seumur hidup?’ kata kita dengan nada geram. Walaupun niat kita baik, sebagai ibu bapa, kita sendiri hendaklah memahami perkara-perkara berikut terlebih dahulu:

  1. Apakah postur yang baik?
  2. Penyebab dan akibat postur tidak baik
  3. Perkara yang boleh dilakukan untuk memperbaiki postur

1. Apakah yang dimaksudkan dengan postur yang baik?

‘Postur’ merupakan posisi bagaimana anda menempatkan tubuh, kaki serta tangan ketika berdiri, duduk atau berbaring. Apabila kedudukan tulang, kaki serta tangan anak anda diselaras dengan betul, ia mencegah tekanan berlebihan ke atas mana-mana bahagian tubuh tertentu.

2. Apakah penyebab postur tidak baik dalam kalangan kanak-kanak?

Kajian-kajian telah mengenalpasti beberapa penyebab, di antaranya :

  1. Bayi
    • Perkembangan tergesa-gesa – menggesa bayi anda untuk membesar/berkembang lebih cepat daripada biasa. Contohnya seperti menggunakan alat tatih bayi terlalu awal (harus diingatkan bahawa kajian mendapati alat tatih bayi tidak membantu bayi untuk belajar berjalan, pakar pediatrik tidak menggalakkan penggunaannya).
    • Diet tidak sihat dan kekurangan nutrien.
  2. Kanak-kanak sekolah & remaja
    • Terdapat remaja yang membawa beg galas seberat 30% daripada berat badan mereka iaitu lebih berat daripada yang disarankan.
    • Obesiti
    • Gaya hidup tidak aktif
    • Kurang senaman ketahanan dan fleksibiliti.
    • Kajian juga menunjukkan bahawa postur adalah sebahagian daripada tingkah laku yang dipelajari sejak usia tiga hingga lima tahun. Maka, jika anda sendiri menunjukkan contoh postur yang tidak baik, anak anda mungkin akan mencontohi tabiat buruk tersebut.

3. Apakah yang boleh dilakukan? (kita tahu bahawa leteran tidak berkesan)

  1. Beri bayi peluang untuk mengembangkan kawalan leher dan daya tahan bahagian bawah belakang mereka mengikut tahap sendiri, bermula dengan mengangkat kepala, berguling, duduk, dan merangkak sehinggalah dia boleh berjalan. Setiap peringkat menyediakan koordinasi otot untuk peringkat yang seterusnya. Jika anda menggesa mereka dan melangkaui satu peringkat, kemungkinan akan ada beberapa kumpulan otot yang belum bersedia sepenuhnya.
  2. Belikan kerusi yang sesuai (di rumah dan di sekolah).
    • Permukaan menulis yang condong, tilam yang kukuh, beg galas yang mengagihkan berat buku-buku sekolah secara samarata, semuanya ini boleh membantu perkembangan postur yang baik.
  3. Kenalpasti, beri galakan dan tunjukkan contoh postur yang baik
    • Apabila duduk, punggung dan belakang perlu bersandar pada kerusi dengan bahu ke belakang serta kaki mencecah lantai dengan kukuh.
    • Apabila berdiri, pinggul hendaklah ke dalam sedikit dan bahu lurus ke belakang. Kepala hendaklah pandang ke hadapan dan telinga selari dengan bahu.

    child-posture-sitting-and-standing

  4. Hadkan masa menonton televisyen, permainan video atau komputer kepada 1-2 jam sehari dengan tidak melebihi 20 minit setiap sesi. Sekali-sekala pastikan mereka berdiri dan membuat regangan untuk mengurangkan tekanan pada bahagian belakang dan leher.
  5. Galakkan senaman yang memberi manfaat kepada postur seperti tekan tubi, memicit bahu dan regangan putaran sambil duduk, yang membantu membebaskan tekanan di bahagian bawah dan tengah belakang tubuh.

    beneficial-exercise-for-posture

  6. Lakukan latihan menguatkan otot teras, keseimbangan dan fleksibiliti serta senaman
    daya tahan
    (contohnya, sukan sekolah, yoga dan / atau tai chi).
  7. Didik anak anda tentang kesan postur yang tidak baik (contohnya tubuh yang bongkok, stres, kelesuan, sakit sendi).
  8. Makan secara sihat dan lakukan banyak senaman. Anda tidak boleh berpatah balik untuk membetulkan tulang-tulang anda jika pada awalnya lagi anda gagal membentuknya dengan baik. Senaman sebanyak manapun tidak boleh mengatasi diet yang kurang kandungan nutrien.

Membongkok merupakan ciri lazim dalam kalangan remaja, namun postur yang tidak baik sebenarnya boleh membawa masalah. Membentuknya seawal mungkin dan mengajar tabiat yang baik dari kecil akan membantu mengurangkan risiko kecederaan dan kesakitan di masa akan datang.

Walaupun agak jarang berlaku, ‘postur bongkok’ boleh juga disebabkan oleh perkara perubatan. Maka adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor jika terdapat sebarang keraguan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen