Pengasuhan Positif

Awas! Ancaman Meningitis Meningokokus

Meningitis meningokokus seringkali menimbulkan komplikasi yang teruk, ini termasuk komplikasi pasca-pemulihan seperti kerosakan pada otak, kehilangan pendengaran atau ketidakupayaan belajar. Namun, kesan yang paling serius ialah kematian, ini berlaku dalam 1 bagi setiap 10 kes yang dilaporkan.

Terdapat vaksin yang boleh mencegah penyakit meningokokus invasif, khususnya vaksin meningokokus konjugat (MCV) dan vaksin meningokokus polisakarida.

Apakah meningitis?

Ia merupakan jangkitan kuman pada lapisan nipis, ia itu meninges yang mengelilingi otak dan saraf tunjang.

Mudah tersebar

Neiserria meningitidis, bakteria yang menyebabkan penyakit ini ,mudah merebak. Ia tersebar melalui:

  • sentuhan rapat (bercium, bersin atau batuk ke arah seseorang),
  • atau tinggal bersama seseorang yang telah dijangkiti (di tempat-tempat seperti asrama, universiti dan kolej)

Purata tempoh pengeramannya ialah empat hari, tetapi ia juga boleh mengambil masa di antara 2 – 10 hari.

Tanda-tanda lazim

Terdapat tanda-tanda yang sedikit berbeza di antara bayi baru lahir dengan kanak-kanak kecil. Bayi baru lahir/bayi mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda dan simptom-simptom klasik seperti sakit kepala dan kejang leher. Jika ada, ia mungkin tanda yang lewat berlaku. Berikut adalah simptom-simptom yang anda harus perhatikan dalam bayi:

  • Demam panas
  • Menangis berterusan
  • Sukar untuk ditenteramkan
  • Telalu mengantuk atau kuat meragam
  • Tidak aktif atau lesu
  • Kurang menyusu/makan
  • Ubun-ubun (bahagian lembut di kepala bayi) membonjol
  • Kekejangan pada tubuh dan leher bayi

Berikut merupakan tanda-tanda yang mungkin berlaku pada kanak-kanak kecil (berumur lebih daripada dua tahun):

  • Demam panas yang mengejut
  • Sakit kepala yang teruk
  • Kejang leher
  • Muntah-muntah atau mual diiringi sakit kepala
  • Kekeliruan atau sukar menumpukan perhatian
  • Sawan
  • Mengantuk atau sukar untuk bangun tidur
  • Sensitif kepada cahaya
  • Tidak berminat untuk makan dan minum
  • Ruam purpura

vaccines-meningitis

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko meningitis:

  • Umur – tkanak-kanak , remaja, dan warga emas adalah lebih berisiko dijangkiti Neisseria meningitidis.
  • Lokasi – tempat-tempat di mana terdapat ramai orang berkumpul lazimnya memudahkan penyakit ini merebak.
  • Melancong – melawat tempat-tempat yang endemik meningitis mendedahkan anda kepada bakteria tersebut. Ini termasuk kawasan ‘jalur meningitis’ di sub-Sahara Afrika dan Mekah ketika musim Haji dan Umrah.

Mencegah lebih baik daripada merawat!

Mengesan dengan lebih awal bermakna anda mempunyai 90% peluang untuk terselamat. Namun, komplikasi jangka masa panjang mungkin berlaku (20-25%). Langkah yang paling baik adalah untuk mencegah meningitis meningokokus melalui imunisasi. Terdapat dua ‘jenis’ vaksin:

  • Vaksin meningokokus “lama” adalah berasaskan polisakarida. Vaksin ini hanya berkesan keatas kanak-kanak yang berumur lebih dari dua tahun dan ianya mempunyai ingatan imun (immune memory) yang rendah serta tidak menyumbang kepada imuniti kelompok.
  • Vaksin meningokokus konjugat yang lebih baharu (MCV) melindungi kanak-kanak bermula dari umur enam minggu ke atas, ia mencetuskan ingatan imun dan memberi perlindungan kepada komuniti.

Vaksinasi harus dipertimbangkan dengan serius demi melindungi kanak-kanak, remaja dan warga emas daripada penyakit yang melemahkan serta sering membawa maut ini.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen