Pengasuhan Positif

Tonsil Anak Anda

Tonsil anak anda terletak di belakang kerongkongnya. Tonsil bertindak sebagai turas yang memerangkap kuman-kuman, sekaligus mencegah mereka daripada memasuki tubuh anak anda dan mengakibatkan jangkitan. Namun, tonsil boleh dijangkiti dan menjadi bengkak dan/atau radang – keadaan ini dikenali sebagai tonsilitis.

Mengenali Tonsilitis

Tonsilitis lazim terjadi pada kanak-kanak. Jika ia berlaku, ia mungkin terjadi sekali-sekala atau berulang kali. Pelbagai jenis bakteria atau virus boleh menjangkiti tonsil dan mengakibatkan tonsilitis. Simptom-simptom utama ialah demam dan sakit tekak, namun terdapat simptom lain yang perlu diperhatikan, khususnya:

  • Tonsil menjadi merah
  • Tonsil disaluti warna putih atau kuning
  • Lepuh atau ulser yang sakit di dalam kerongkong
  • Suara serak atau hilang suara
  • Sakit kepala
  • Hilang selera makan
  • Sakit telinga
  • Sukar menelan atau bernafas melalui mulut
  • Kebengkakan kelenjar di leher atau di bahagian rahang
  • Demam, seram sejuk
  • Nafas berbau busuk

Anak anda juga mungkin menunjukkan simptom-simptom lain seperti:

  • Mual
  • Muntah-muntah
  • Sakit perut

Merawat Tonsilitis

Jika anak anda menghidapi tonsilits, pastikan anda berjumpa pakar pediatrik untuk mendapatkan rawatan. Setelah doktor anak anda menentukan puncanya, tindakan yang sewajarnya akan diambil untuk merawat atau mengurangkan komplikasi anak anda. Jika tonsilitis disebabkan oleh bakteria, antibiotik mungkin akan diberikan. Namun, jika tonsilitis disebabkan oleh virus, tubuh anak anda perlu melawan sendiri jangkitan tersebut. Jangkitan streptokokus di kerongkong perlu dirawat menggunakan anti-biotik untuk membunuh Streptococcus viridans yang menjadi penyebab utama jangkitan.

Apakah yang anda boleh lakukan

Tidak kira apa punca tonsilitis anak anda, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk memastikan dia lebih selesa, ini termasuk:

  • Memastikan dia berehat secukupnya
  • Mengambil minuman suam atau sangat sejuk boleh membantu mengurangkan kesakitan pada kerongkong
  • Memastikan kelembapan bilik dikekalkan (guna pengewap wap sejuk atau alat pelembap)
  • Biarkan dia berkumur menggunakan air garam yang suam
  • Berikan ubat demam yang bersesuaian untuk mengurangkan kesakitan.

doctor-checking-tonsils

Pembuangan tonsil – tidak semestinya diperlukan

Tonsil anak anda memainkan peranan penting dalam sistem imun sepanjang hayatnya, oleh itu adalah baik jika tonsil tidak dibuang. Lazimnya pendekatan ‘tunggu dan lihat’ adalah terbaik kerana apa yang dipanggil sebagai kebaikan tonsilektomi (pembedahan untuk membuang tonsil) mungkin bukan jawapan sebenarnya.

Walaupun tonsilektomi boleh membantu mengurangkan kekerapan anak anda mengalami jangkitan kerongkong, serangan tonsilitisnya mungkin juga akan berkurangan apabila dia besar. Keburukan utama tonsilektomi sama juga seperti mana-mana prosedur pembedahan lain iaitu pembedahan itu mungkin menyakitkan dan adakala manfaatnya sangat sedikit.

Oleh yang demikian, jangan tergesa-gesa untuk membuang tonsil anak anda hanya kerana dia kerap mendapat jangkitan kerongkong yang ringan. Amnya, tonsilektomi hanya perlu dipertimbangkan jika tonsil anak anda menjadi bengkak sehingga menghalang bahagian atas saluran pernafasan dan/atau menyebabkan kesukaran untuk makan/menelan. Petunjuk yang pasti bagi melakukan tonsilektomi ialah apnea tidur obstruktif yang berpunca daripada tonsil yang membesar dan adenoid yang menghalang bahagian atas saluran pernafasan. Ini menyebabkan kanak-kanak berdengkur dengan kuat dan juga berhenti bernafas seketika dan kemudian membuat dia batuk dan tersedak. Selagi tonsilitis anak anda tidak menyukarkan kehidupan sehariannya (contohnya dia tidak sakit, mudah bernafas pada waktu malam, dan boleh tidur lena), tidak ada sebab mengapa tonsilnya harus dibuang.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen