Pengasuhan Positif

Benarkah ia Asma?

Pernahkah anda tertanya-tanya pada diri anda soalan seperti “Bayi saya berdehit pada waktu malam, adakah dia menghidap asma?”, atau “mengapakah anak saya sukar bernafas semasa bermain, adakah ianya asma yang disebabkan oleh senaman?” atau soalan lain mengenai cara pernafasan anak anda yang anda mungkin kaitkan dengan asma. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, asma merupakan penyakit kronik tidak berjangkit paling lazim berlaku di kalangan kanak-kanak. Simptom-simptom yang selalunya dikaitkan dengan asma termasuk sesak nafas dan dada, batuk serta berdehit. Kerap kali, ibu bapa yang memerhatikan simptom-simptom tersebut akan membuat kesimpulan bahawa anak mereka menghidap asma. Mereka juga bimbang mengenai implikasi jangka masa panjang penyakit tersebut.

Apa Yang Anda Nampak Tidak Semestinya Apa Yang Anda Dapat

Adalah agak sukar untuk mendiagnos asma terutamanya bagi kanak-kanak kecil (di bawah umur 6 tahun)dan bayi. Ini kerana simptom-simptom asma agak serupa dengan banyak masalah kesihatan yang lain. Contohnya, bronkiolitis yang menunjukkan simptom batuk, berdehit dan kesukaran bernafas atau disfungsi pita suara (VCD) yang kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak serta orang muda juga menunjukkan simptom yang hampir menyerupai kesemua simptom biasa asma. Malahan, selsema atau jangkitan pernafasan biasa pun boleh menyebabkan berdehit terutama di kalangan kanak-kanak yang mempunyai saluran pernafasan yang sempit.

23715622_cough

Bayi dan kanak-kanak selalunya mudah dijangkiti virus kerana sistem imun mereka belum cukup matang. Mereka mendapat perlindungan terutamanya daripada antibodi yang terkandung di dalam susu ibu dan sudah tentu melalui pengenalan vaksin dan rejim imunisasi. Apa yang mengejutkan adalah dua pertiga daripada kanak-kanak yang menunjukkan simptom berdehit dan simptom-simptom lain berkaitan asma akan hilang simptom tersebut apabila mula meningkat dewasa. Berita baiknya ialah kebanyakan penyakit yang melibatkan simptom berdehit bersifat sementara dan akan hilang apabila kanak-kanak membesar.

23715622_wheeze

Masa Akan Menentukannya

Apabila anak anda membesar (sekitar umur 5-7 tahun), mendiagnosis asma menjadi semakin mudah, tanda serta simptomnya juga lebih nyata dan kesimpulan lebih mudah dibuat samada anak anda menghidap asma ataupun tidak. Diagnosis dalam kalangan kanak-kanak besar mungkin melibatkan ujian fungsi paru-paru (spirometri), mengkaji sejarah perubatan ibu bapa dan ujian-ujian yang bertujuan membuktikan kehadiran sebarang bentuk alahan.

Adalah lebih sukar untuk mendiagnos asma bagi kanak-kanak kecil dan bayi kerana virus yang dikaitkan dengan berdehit lebih lazim menjangkiti mereka di kalangan kumpulan umur tersebut. Berikut adalah kriteria yang meningkatkan keberangkalian asma di kalangan kanak-kanak yang berdehit:

  • Salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mempunyai sejarah asma atau ekzema
  • Terdapat respon alahan terhadap pencetus-pencetus alahan atau bahan rengsa.
  • Samada berdehit tetap berlaku tanpa ada jangkitan atau kehadiran selsema.

Ibu bapa harus menyedari bahawa para doktor, pakar dan pakar pediatrik perlu menentukan samada kanak-kanak mempunyai kriteria tersebut sebelum betul-betul membuat diagnosis asma dan proses membuat diagnosis mungkin mengambil masa. Diagnosis yang tidak tepat boleh menyebabkan keluarga menjadi resah dan mempengaruhi kehidupan harian mereka. Pada masa yang sama, diagnosis yang tepat pula (jika anak anda benar-benar menghidapi asma) membantu doktor untuk merancang serta memberi pilihan rawatan jangka masa panjang yang terbaik.

Pencetus yang biasa dikaitkan dengan asma:

  • Rambut atau bulu haiwan
  • Habuk, kulat dan debunga
  • Aspirin dan ubatan lain
  • Angin sejuk
  • Bahan kimia di udara atau dalam makanan.
  • Asap rokok

Kurangkan Dehitan

Ramai kanak-kanak yang menghidap asma mula menunjukkan simptom awal penyakit tersebut sebelum berumur 6 tahun dan seringkali tidak didiagnos dengan tepat sehinggalah mereka lebih besar. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu menunggu selama 6 tahun untuk mendapatkan preskripsi bagi memulakan rawatan terhadap simptom-simptomnya. Doktor-doktor sedar bahawa keradangan yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada paru-paru, oleh itu, mereka akan memberi ubat anti-inflamasi kepada kebanyakan kanak-kanak yang berdehit. Pada satu ketika dahulu, terkurang diagnos menjadi kebimbangan kebanyakan pakar, kini dengan pengetahuan baru mengenai penyakit berdehit di kalangan kanak-kanak, terlebih diagnos dan terlebih rawat pula menjadi perkara yang harus dielakkan.

18317572_l

Oleh yang demikian, sehingga penilaian yang lebih tepat dapat dilakukan, doktor-doktor mungkin memberi alat sedut untuk asma yang pada amnya selamat untuk bayi dan kanak-kanak, Ini dilakukan bertujuan melihat samada simptom-simptom mereka akan berkurangan. Ubat-ubat ini lebih lazim digunakan secara sementara atau bagi tempoh yang singkat. Keputusan untuk menggunakan rejim ubatan jangka panjang akan bergantung kepada pemerhatian yang lebih lama terhadap corak simptom dan pengenalpastian kriteria yang konsisten dengan asma.

Jangan cepat membuat kesimpulan. Para doktor tidak boleh melakukan keajiaban dan juga bukanlah seorang ahli silap mata. Lebih penting lagi adalah kesabaran dan sokongan emosi dan psikologi yang berterusan kepada anak anda. Walaupun begitu, anda juga harus mempertimbangkan untuk mendapatkan nasihat seorang pakar respiratori pediatrik mengenai masalah anak anda dan dapatkan pandangan pakar mengenai cara pengendalian simptom-simptom asma.

Walaupun asma tidak boleh sembuh sepenuhnya atau diubati, simptom-simptomnya boleh dicegah dan/atau serangannya dapat dikawal secara berkesan dengan mengikuti pelan pengendalian yang baik. Pelan pengendalian tersebut harus diteliti oleh anda sebagai ibu bapa dan juga mereka yang menjaga anak anda. Pengasuh-pengasuh juga harus memahami pelan pengendalian tersebut serta mempunyai pengetahuan dan persediaan secukupnya untuk bertindak sewajarnya jika berlaku serangan asma.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen