Pengasuhan Positif

Jangan Lupakan Denggi

Demam denggi kerap dilaporkan dalam berita dari masa ke semasa. Hampir semua orang pernah dijangkiti (dan terselamat) atau mengetahui orang lain yang pernah dijangkitinya. Denggi semakin menular di negara ini dan nyamuk Aedes aegypti yang menyebarkan virus terbabit hidup dalam kalangan kita. Maka, bagaimana boleh kita mengelakkan diri kita daripada dijangkiti?

Statistik terkini bagi kes-kes denggi dan kematian di Malaysia semakin membimbangkan. Dari 1 Januari hingga 22 Januari 2014, 6155 kes denggi telah dilaporkan berbanding dengan 1792 kes dalam tempoh yang sama pada 2013 (peningkatan hampir sebanyak enam kali ganda). Jumlah kematian meningkat dua kali ganda daripada lima kematian pada 2013 kepada 10 kematian pada 2014 dalam tempoh yang sama. Tiada yang boleh terlepas daripada masalah ini kerana kes-kes denggi telahpun meningkat di 12 buah negeri di negara ini!

Tanda-tanda dan Gejala-gejala

Demam denggi adalah disebabkan oleh jangkitan virus. Pembawa virus tersebut adalah nyamuk Aedes aegypti betina yang menyebarkan virus terbabit dengan cara menggigit seseorang yang telah dijangkiti demam denggi. Nyamuk yang telah dijangkiti itu boleh terus menyebarkan virus tersebut sepanjang hayatnya. Satu gigitan sudah cukup untuk menjangkiti seseorang. Virus tersebut biasanya mengambil masa lima hingga lapan hari untuk mengeram sebelum gejala-gejalanya mula muncul.

Tiada antibiotik, ubat anti-viral atau vaksin yang boleh mengubati demam denggi. Rawatan yang diberikan adalah bertujuan untuk mengurangkan gejala-gejala demam denggi. Gejala-gejala denggi yang biasa adalah demam yang tinggi (40°C/104°F) secara tiba-tiba dan teruk sehingga seminggu lamanya serta diikuti oleh mana-mana gejala berikut – berasa seram sejuk, sakit kepala yang teruk, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi, loya dan muntah, keletihan. Ruam pula akan muncul beberapa hari kemudian. Gejala-gejala ini akan berlarutan selama dua hingga tujuh hari. Kebanyakan pesakit akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua minggu tetapi akan terus berasa letih dan tidak bersemangat untuk jangka masa yang agak lama sehingga mereka kembali normal.

Dalam sesetengah pesakit, komplikasi daripada demam denggi ini boleh bertambah sehingga menyebabkan demam denggi berdarah (DHF) atau sindrom renjatan denggi (DSS). Dalam DHF, gejala-gejalanya adalah deman yang tinggi atau sangat tinggi, pendarahan yang tidak normal secara tiba-tiba (pendarahan pada gusi), pendarahan di bawah kulit, pendarahan dalam usus dan kerosakan hati. DHF sering membawa maut jika tidak dirawat. Kebanyakan kematian yang dilaporkan adalah dalam kalangan orang dewasa yang masih muda tetapi kanak-kanak juga boleh mati sekiranya tidak dipantau dan diuruskan dengan baik.

Gejala-gejala DSS pula adalah termasuk demam yang sangat tinggi, pendarahan yang teruk, denyutan nadi yang lemah, penurunan tekanan darah, kegelisahan dan kulit lembap dan dingin serta tanda-tanda renjatan. Pada peringkat ini, kadar kematian boleh meningkat sehingga 50%. Dua pertiga daripada semua kematian yang disebabkan oleh DSS melibatkan kanak-kanak.

22795869

Demam Denggi dalam Kalangan Kanak-kanak

Kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak kecil dan bayi yang baru lahir sangat mudah terdedah kepada penyakit kerana sistem imuniti mereka masih belum matang. Ibu bapa perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan gejala-gejala awal bagi demam denggi dalam kanak-kanak dipantau dengan teliti dan dirawat dengan betul.

Denggi dalam bayi yang baru lahir dan kanak-kanak kecil menunjukkan simptom-simptom yang sama dengan demam selesema – demam, hidung berair, batuk dan kelihatan sedikit ruam pada kulit. Kanak-kanak yang lebih tua pula akan mengalami demam yang tinggi, sakit di belakang mata dan sendi, sakit kepala dan sakit belakang. Ini kemudiannya mungkin diikuti dengan ruam kemerah-merahan dengan tompok-tompok putih pada kulit, kurang selera makan, loya, muntah, dan kegatalan pada tapak tangan dan kaki. Anak anda akan berasa lemah dan tidak bermaya.

Rawatan bagi kanak-kanak

Jika gejala-gejala beserta demam telah dikesan, adalah lebih baik untuk berjumpa doktor dengan segera. Ujian darah akan mengesahkan sekiranya anak anda telah dijangkiti dengan virus denggi ataupun tidak. Jika telah disahkan sebagai demam denggi, doktor akan memberi preskripsi ubat untuk demam dan sakit (selalunya ubat parasetamol) dan ubatan sokongan lain jika diperlukan. Ubat-ubatan yang mengandungi aspirin harus dielakkan kerana ia akan menambah buruk lagi pendarahan atau menyebabkan masalah lain yang tidak berkaitan.

Setelah diagnosis dibuat, ujian darah akan dilakukan setiap hari untuk memeriksa paras platelet dan hematokrit dalam darah. Beri anak anda banyak cecair, sekurang-kurangnya 1 liter sehari jika anak anda berusia setahun dan di bawah 10 kg. Pengambilan cecair yang telah ditetapkan bagi kanak-kanak di atas 40 kg dan orang dewasa adalah sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Cecair dapat membantu untuk menghidratkan semula badannya yang telah banyak kehilangan air disebabkan oleh demam. Denggi juga boleh menyebabkan salur darah menjadi bocor dan ini akan meningkatkan kehilangan air daripada sistem peredaran darah. Kekurangan selera, muntah-muntah dan cirit-birit juga boleh menambah lagi kepada dehidrasi. Oleh itu, pastikan anak anda cukup hidrasinya dengan cecair seperti air, sup, jus dan buah-buahan.

Kemasukan ke Hospital

Jika keadaan anak anda menjadi semakin teruk iaitu jika mana-mana gejala seperti berikut hadir – pendarahan tanpa kecederaan, mengantuk, kesukaran untuk bernafas, kelesuan, muntah yang berlebihan, dan kurang pengambilan cecair, sakit perut dan pening, maka terus masukkan anak anda ke hospital. Ini adalah tanda-tanda bahawa anak anda mungkin berisiko.

Di hospital, anak anda akan dipasangkan dengan titisan cecair intravena dan tanda-tanda penting akan dipantau. Ujian darah akan dilakukan secara berkala untuk memeriksa kiraan platelet dan kepekatan darah. Jika terdapat pendarahan yang berlaku secara tiba-tiba dan paras platelet kurang daripada 20,000 serta terus menurun, transfusi platelet atau darah akan diberikan.

Anak anda hanya akan dibenarkan keluar dari hospital jika kiraan platelet telah meningkat dan menunjukkan aliran yang semakin menaik. Selepas keluar dari hospital, anak anda masih lagi akan berasa lemah dan letih serta perlukan rehat yang secukupnya dan elakkan daripada bermain secara aktif. Pengulangan ujian darah boleh dilakukan selepas 1-2 minggu untuk mengesahkan bahawa kiraan platelet telah kembali normal.

Langkah berjaga-jaga bagi kanak-kanak

Dengan mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan dalam membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes di rumah dan persekitaran anda, ibu bapa juga boleh mengurangkan risiko gigitan nyamuk dengan:

  • memasang penghalang nyamuk pada tingkap dan pintu;
  • menyapu bahan penghalau serangga pada anak-anak apabila mereka keluar bermain;
  • memastikan anak-anak berada di dalam rumah semasa waktu awal pagi dan lewat petang di mana nyamuk Aedes paling aktif menyerang pada waktu-waktu tersebut;
  • memakaikan anak-anak dengan pakaian yang berlengan panjang dan berseluar panjang ketika bermain di luar rumah;
  • menjauhkan anak-anak dari kawasan kejiranan di mana ada orang yang telah dijangkiti dengan demam denggi kerana terdapat kemungkinan yang tinggi nyamuk Aedes masih ada di kawasan terbabit;
  • mengambil langkah berjaga-jaga apabila bercuti ke negara-negara lain yang sedang mengalami penularan demam denggi dalam Asia Tenggara, Amerika Latin dan Caribbean. Denggi bukan sahaja di Malaysia!

Walaupun anak anda akan memperoleh imuniti terhadap strain tertentu bagi virus denggi yang menyebabkan jangkitan tersebut, terdapat tiga jenis strain virus denggi yang lain (termasuk strain kelima, denggi 5, yang dilaporkan di Sarawak baru-baru ini) yang boleh menyebabkan jangkitan semula. Oleh itu, sesiapa pun berkemungkinan untuk dijangkiti demam denggi sebanyak empat atau lima kali sepanjang hidup mereka. Dengan kemungkinan ini, adalah lebih baik untuk mengambil sebanyak mungkin langkah berjaga-jaga yang boleh daripada digigit oleh nyamuk Aedes!

Penyelidikan gigih dan mendalam telah dijalankan ke atas vaksin untuk jangkitan demam denggi dan ia mungkin boleh didapati lebih awal daripada yang kita jangkakan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen